Monday, June 22, 2020

MOMEN BERSAMA SI KECIL: KONSEP BERMAKNA BENTUK SAHSIAH DIRI

Apalah agaknya Hamzah sedang buat sekarang. Rindu pada anak kecil yang bijak dan kelatah itu. Baru mencecah usia 3 tahun itu tapi sudah faham banyak makna kehidupan dan suka bertanya. Dua hari bersama Hamzah membuatkan hidup saya lebih ceria dan meriah.

Kelmarin ketika saya menghantar Hamzah dan nendanya ke Terminal Bas Kuantan, Hamzah yang memang suka menolong, menarik beg besar yang beroda. Kesian pula saya tengok. Yalah, beg yang ditarik hampir sama besar dengan tubuhnya.

"Hamzah, berat beg tu. Mari Wan tolong tarik".

Saya mencapai pemegang beg. Tiba-tiba Hamzah menunjukkan reaksi tidak puas hati.

Menyedari emosi yang ditunjukkan Hamzah, saya sedar bahawa niat saya untuk menolong tidak disukai Hamzah. Dia mahu buat sendiri.

Saya ubah cara.

"Mari kita tarik sama-sama", ujar saya sambil menarik beg bersama si kecil.

Hamzah membenarkan. Kami berjalan beriringan, bekerjasama menarik beg. 

"Tarik sama-sama beg jadi ringan kan Wan", kata Hamzah sambil mendongak memandang seakan meminta kepastian.

"MasyaAllah, bijak khalifah kecil itu," bisik hati saya.

"Ya Hamzah, yang berat jadi lebih ringan bila kita tarik sama-sama."

Hamzah tersenyum. Puas hati agaknya dengan penerangan saya. 

Saya melepaskan beg dan anak kecil itu berangkat pergi di pintu masuk balai menunggu. SOP tidak membenarkan saya menghantar hingga ke dalam. 

Lambaian Hamzah mengingatkan saya pada amanah yang besar. Amanah untuk terus istiqamah menyebarkan ilmu demi khalifah kecil generasi pewaris.
.
.
Konsep adalah asas yang penting dalam perkembangan awal matematik dan pemikiran logik. Ianya dibentuk melalui bermain dan interaksi sosial.

Dalam peristiwa tadi, Hamzah bukan sahaja sudah faham konsep berat dan ringan malah mengaitkan dengan kehidupan. Contoh, kerjasama menjadikan beg yang berat, ringan ditarik. 

Konsep yang bermakna juga membentuk sahsiah. InsyaAllah, Hamzah akan lebih empati bila melihat orang sedang membawa barang berat dan suka menolong.

Main sendiri atau "free play" baik untuk pembentukan konsep. 

Galakkan kanak-kanak kecil bermain sendiri dan berilah aktiviti yang bermakna. Bukan sekadar aktiviti yang "mengajar" konsep tetapi tidak bermakna. Contoh, minta anak bezakan yang mana ringan, yang mana berat. Aktiviti begini bukan sahaja tidak bermakna malah membosankan.

Aktiviti yang bermakna untuk pembentukan konsep adalah yang dikaitkan dengan kehidupan seharian kanak-kanak. Contoh Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) "Mari mengemas meja makan"
http://rentis.blogspot.com/2014/11/mari-mengemas-meja-makan-rpa.html?m=1

Dikongsikan artikel saya berkaitan konsep.

✏"Matematik dan sains bermula dengan pembentukan konsep."
http://rentis.blogspot.com/2016/10/matematik-dan-sains-bermula-dengan.html?m=1

✏"Congkak dan Matematik"
http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-16congkak-dan-metamatik.html?m=1

✏"Bermain penting untuk pembentukan konsep"
http://rentis.blogspot.com/2019/08/bermain-penting-untuk-pembentukan-konsep.html?m=1

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali

Raikan fitrah. Santuni akhlak.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
t.me/RentisMakLong
#SentuhanBapaBelaianIbu


No comments: