Teringat kisah Mak Long ketika konsultansi di sebuah TADIKA beberapa tahun yang lepas.
Murid 6 tahun sedang membuat kerja iaitu menulis dan mewarna. Tiba-tiba kedengaran suara seorang budak perempuan menangis.
"Cikgu, Kaisah tak bagi Alia pinjam colour dia" Maryam laungkan aduannya pada cikgu.
"Alia! tak baik gitu. Kita kena berkongsi. Berilah Alia pinjam ya" arah cikgu tu dari meja guru.
Cikgu itu kemudian menoleh pada saya dan menyatakan bahawa Alia memang kedekut sikit.
Saya mengambil inisiatif mendekati meja kumpulan Alia dan kawan-kawannya seraya bertanya "Apa yang berlaku, boleh cikgu bantu?"
"Ini colour abang saya cikgu. Abang saya beli harga 7 ringgit." jawab Kaisah dengan nada tegas sambil memegang colour dan menjeling pada Alia. Alia masih menangis.
"Oh! Kaisah nak jaga colour abang tu dengan baik ya" jawab saya dengan nada memahami. Kaisah mengangguk.
"Alia minta izin dulu tak tadi sebelum mengambil pensil warna abang Kaisah?" tanya saya sambil memandang mata Alia. Alia mengalihkan pandangan tapi mengelengkan kepala dengan perlahan. Saya tersenyum. Geli hati pun ada.
"Baik, kalau Alia minta izin dahulu dan Kaisah beritahu Alia supaya guna dengan elok dan kemudian selepas guna masukkan balik dalam bekas, boleh tak Kaisah pinjamkan Alia pensil warna tu?"
"Boleh" ujar Kaisah dengan yakin.
Saya mendorong Alia untuk minta izin dan beri peluang Kaisah terangkan peraturan menggunakan pensil warna abangnya.
Alia berhenti menangis. Saya meninggalkan meja mereka. Tidak lama kemudian kelihatan mereka berkawan semula dan nampak seronok berkongsi dan menyiapkan tugasan.
Mudah sahaja untuk kita orang dewasa melabel kanak-kanak tanpa mendekati, memahami dan mengenalpasti punca masalah.
Apa yang adik Kaisah lakukan adalah mempertahankan haknya dan bertanggungjawab terhadap harta abangnya yang dipinjam. Itu adalah sikap yang baik. Dia bukanlah kedekut tetapi sebenarnya inginkan kawan-kawan menghormati haknya dan sama-sama menjaga barangnya.
Ini adalah penting kerana anak-anak membina rasa hormat pada diri sendiri dan mahukan orang lain menghormati hak dirinya. Kita tidak boleh menyalahkan anak jika berbuat begini dan anak juga tidak salah mempertahankan haknya. Seringkali yang berlaku adalah sebaliknya. Anak yang menpertahankan haknya dipersalahkan dan anak yang tidak menghormati hak orang lain seolah-olah di"benar"kan tindakan mereka. Ini adalah TIDAK ADIL.
Allah memberi perasaan yang berbeza-beza adalah antaranya untuk kita menjaga hak diri. Contoh Kaisah marah apabila kawannya Alia mengambil pensil warnanya tanpa izin dan Kaisah ingin menjaga pensil warna abang yang dipinjam.
Kita sebagai ibu bapa dan pendidik perlu ingat apa yang nampak itu selalunya bukan punca masalah. Kita perlu lebih peka dan mencari punca serta membimbing anak dan berlaku adil. Anak mudah mengikut jika fitrahnya difahami, hak dirinya diberikan dan dirinya diadili dengan hikmah.
“Sesungguhnya Allah memerintahkan (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan) serta membantu kaum kerabat. Dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu, agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl ayat 90)
Ibu bapa dan guru adalah pemimpin. Santuni anak dengan amanah, ihsan dan adil.
Wallahu'alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment