"Mak Long, anak saya ni dah nak masuk umur 2 tahun. Kawan-kawan saya kebanyakannya dah hantar anak ke Prasekolah atau Playschool. Anak saya belum. Saya surirumah sepenuh masa jadi anak dengan saya je. Patutkah saya hantar anak saya juga supaya dia tidak ketinggalan nanti dari segi pelajaran? "
Begitulah seorang ibu melontarkan persoalan berkaitan anaknya kepada saya baru-baru ini.
Bagi saya, persoalan ibu itu menunjukkan sedikit kerisauan kerana menganggap bahawa anak yang ke Prasekolah atau Playschool akan lebih ke depan berbanding anak yang dijaga sepenuh masa di rumah.
Anak lahir dan membesar dalam keluarga. Pada pendapat saya, asuhan dan didikan awal di rumah oleh ibu bapa adalah yang TERBAIK.
Rumah adalah sekolah pertama dan ibu bapa adalah guru utama. Pada usia awal kanak-kanak bermain untuk belajar.
Apabila anak sudah bersedia di sekitar umur 4, 5 atau 6 tahun bolehlah di masukkan ke prasekolah. Ada juga ibu bapa yang memilih untuk terus mendidik anak di rumah atau "homeschool" anak-anak mereka.
Walau bagaimanapun senario hari ini menyaksikan ramai ibu yang bekerja memilih untuk menghantar anak-anak ke institusi sokongan seperti TASKA dan Playschool sejak bayi lagi. Ini ada kalanya menimbulkan kerisauan kepada ibu yang menjaga anak sepenuh masa di rumah. Strategi pemasaran oleh pusat jagaan kanak-kanak dan perkongsian di media sosial oleh ibu bapa berkaitan pencapaian anak-anak menambahkan lagi rasa kekurangan dan kebimbangan.
Ibu yang tidak bekerja sebenarnya adalah orang yang sangat beruntung. Di rumah adalah syurga tempat isteri dan ibu melaksanakan amanah dan ibadah dengan lebih teratur dan tenang. Anak merasa lebih selamat dan aman kerana mendapat perhatian dan kasih sayang seorang ibu sepenuh masa. Mereka akan membesar dan berkembang dengan baik, insyaAllah.
Wanita yang berbakti kepada keluarga dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.
Apa pun wanita perlu bijak mengurus masa dan mengurus stres samada menjadi surirumah sepenuh masa atau bekerja supaya dapat mengurus keluarga dengan baik apabila hak diri mereka dijaga.
Rumah juga adalah tempat anak membesar dalam konteks sosial, membentuk akhlak dan abab. Keluarga adalah asas kepada pembentukkan peradaban manusia.
Perkasakan institusi keluarga. Kembalikan peranan ibu bapa.
Sila rujuk artikel saya yang berkaitan topik ini.
Artikel main sendiri itu penting- https://rentis.blogspot.com/2019/01/orang-kata-ibu-bapa-perlu-kreatif.html
Artikel media sosial mempengaruhi gaya keibubapaan-http://rentis.blogspot.com/2018/04/media-sosial-mempengaruhi-gaya.html
Wallahua'lam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment