Wednesday, January 16, 2019

MAIN SENDIRI ITU PENTING

Orang kata: Ibu bapa perlu kreatif memikir dan menyediakan aktiviti untuk anak-anak dari awal usia.

Mak Long kata: Sesuatu yang NATURAL sudah menjadi semakin RUMIT.

Bukan maksud saya ibu bapa tidak boleh memikirkan dan menyediakan aktiviti untuk anak tetapi kadang-kadang terlampau sangat melayan sampai anak hilang daya usaha sendiri atau "grit" dalam banyak perkara.

Anak-anak fitrahnya pandai bermain sendiri dan pandai cari kawan untuk bermain. Mereka perlu main apa yang mereka mahu bukan apa yang ibu bapa mahu mereka main sahaja.(unstructured vs structured play).

Aktiviti yang dirancang untuk kanak-kanak adalah "structured play".  Biasanya ia dipandu mengikut arahan orang dewasa supaya kanak-kanak memperolehi sesuatu skil. Aktiviti lebih cenderung kepada perkembangan fizikal dan kognitif atau pemikiran.

"Unstructured play" pula bermaksud permainan yang terbit dari kemahuan (self-directed play) atau permainan kreatif yang memberi peluang pembelajaran yang sangat luas kepada kanak-kanak. Ia memberi pengalaman dari segi kreativiti, imaginasi, membuat keputusan, memahami emosi dan skil bersosial.

Kanak-kanak memiliki potensi besar untuk mempelajari sesuatu dengan baiknya apabila aktiviti yang dibuat itu adalah terbitan dari keinginan mereka sendiri.  Akal mereka berada dalam KESEDIAAN menerima maklumat atau pembelajaran.

Menurut Penyelidik Tossani, kanak-kanak boleh fokus lebih lama apabila mereka menentukan apa yang ingin dipelajari (3E-Explore, Experience and Experiment). Motivasi diri mereka juga lebih tinggi kerana mereka memilih apa yang mereka minat.

Naluri semulajadi mendorong kanak-kanak bermain permainan yang menyokong perkembangan mereka. Oleh itu ibu bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif dan bertindak sebagai pemudah cara bagi menyokong kebolehan dan potensi mereka.

Selebihnya anak suka bersama ibu bapa dalam rutin kehidupan setiap hari seperti memasak, mengemas dan berkebun. Dalam rutin ada PROSES yang sarat dengan pengajaran dan pembelajaran seperti mengikut arahan, tolong menolong dan mengambil giliran. Ibu bapa perlu berhubung, berinteraksi, berkomunikasi dan menyantuni anak dengan amalan yang bersesuaian dengan perkembangan anak (ABP) dalam proses kehidupan seharian.

Zaman berubah tetapi FITRAH manusia tetap sama. PERKASAkan institusi keluarga dan raikan fitrah anak. Rumah dan kejiranan tempat anak membesar. Kembalikan zaman kanak-kanak kepada anak-anak kita. Itu HAK mereka.

" Anak yang tidak dibenarkan bermain itu akan mati jiwanya"- Imam Al-Ghazali.

"Children are biologically designed to educate themselves through play and exploration. We don't need to educate them, we need to provide the conditions to allow them to educate themselves"-Peter Gray, author of "free to learn"

Wallahu'alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: