Tuesday, May 1, 2007

TIP 25: IBU SUSUAN

Anak ketiga saya, Muhammad 'Izzuddin ( 4 tahun) yang mempunyai ibu susuan iaitu adik saya sendiri yang dipanggil Mak Cik. Setelah habis pantang 40 hari, saya kembali sibuk. Walaupun bekerja di taska tetapi terpaksa keluar kerana pelbagai urusan pentadbiran. Disebabkan ‘Izzuddin menyusu badan dan menolak susu botol, adik saya yang juga bekerja di taska kami meminta kebenaran untuk menyusukan Izzuddin kerana pada masa tu dia juga menyusukan anaknya sendiri Ahmad Aqil, 4 bulan. Selepas berbincang dengan suami dan meminta kebenaran suami adik, kami bersetuju. Jadi ‘Izzuddin pun disusukan oleh mak ciknya bila saya tiada di taska.

Apa yang saya nampak hubungan anak, ibu dan keluarga susuan adalah sangat istimewa. Ianya adalah kemudahan yang Allah berikan dan mempunyai banyak kebaikan. Sebenarnya kasih sayang yang ada pada seorang anak sangat banyak. ‘ Izzuddin sangat menyayangi keluarga Mak Ciknya dan kasih sayang pada keluarga kandung juga tidak nampak kurangnya.

Adik saya mempunyai 2 orang anak. Seorang lagi lelaki, Ahmad Syazwan yang berumur 6 tahun. Kadang-kadang pada hari cuti pun ‘Izzuddin meminta untuk pergi ke rumah Mak Ciknya untuk bermain dengan adik-beradik susuannya. Tidur disana pun dia tidak menangis.

Syukur kerana 'Izzuddin memang seorang anak yang penyayang dan berdikari. Dia nampak matang berbanding kanak-kanak lain seusianya. Dia pandai membawa diri, memberi dan mendapat banyak kasih sayang daripada orang sekelilingnya.

Berkongsi tanggungjawab membesarkan seorang anak sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada semua pihak terutama kepada anak itu sendiri. Mereka dapat banyak kasih sayang dan pengalaman bersama orang-orang yang membesarkan mereka dan ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka. Sebagai ibu bapa elakkan daripada merasa takut kasih sayang anak akan beralih arah. Sekiranya kita pandai mengimbangi dan sentiasa fokus, perkara ini insya-Allah tidak akan berlaku. Saya sentiasa percaya kasih sayang yang Allah anugerahkan akan sentiasa bertambah sekiranya kita sentiasa memberi.

Sekian.Wallahu'alam

No comments: