Sepagi saya bersama anak-anak di Majlis Ihtifal dan Convocation CIC Indera Mahkota 2023.
Saya rindukan kanak-kanak.
Masa muda saya meriah dengan kanak-kanak. Anak-anak sendiri, anak-,anak saudara, anak-anak jagaan di TASKA dan TADIKA kami dan anak-anak di kawasan kejiranan kami. Taman Cenderawasih, Bukit Setongkol, Kuantan.
Sekarang anak-anak itu sudah remaja dan dewasa. Ramai juga sudah berumahtangga.
Adalah satu pasangan muda menyewa di hadapan rumah kami dengan baby Yusuf yang berumur 6 bulan. MasyaAllah comel dan keletah sangat. Maknya tidak bekerja, jadi dia selalu membawa Yusof keluar untuk mendapatkan cahaya mentari pagi dan berjumpa saya ketika berkebun.
Mengimbau masa lalu di kawasan kejiranan kami mengamit memori indah.
Anak-anak bebas berlari, berbasikal dan berkawan sesuka mereka. Kami ibu bapa juga saling mengenali. Waktu petang kami para ibu berkumpul, berborak sambil memerhati anak-anak bermain. Yang kecil ada dekat kami.
Setiap bulan ada saja majlis hari jadi yang diraikan.
"We are a close knit community."
Sekarang suasana kejiranan sudah tidak lagi seperti dahulu. Masa dan keadaan banyak mengubah.
Tetapi fitrah anak tidak. Tetap sama.
Kanak-kanak perlukan kolaborasi ibu bapa guru dan komuniti untuk mereka membesar dengan baik.
Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979) menekankan bahawa kanak-kanak memerlukan sistem persekitaran yang mementingkan interaksi di antara satu sama lain bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Menurut Bronfenbrenner, penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak juga sangat penting. Ia memberi kesan kepada perkembangan anak. Di ldapati kanak-kanak yang ibu bapanya melibatkan diri secara aktif di sekolah adalah lebih maju (lebih kurang setahun ke hadapan) berbanding kanak-kanak yang ibu bapanya tidak melibatkan diri.
Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan kolaborasi ibu bapa, pendidik dan komuniti setempat.
Terima kasih CIC Indera Mahkota kerana menjemput saya merasmikan majlis ihtifal yang bertema "Glory Of Allah".
Semoga semua graduan cilik 2023 terus maju jaya di peringkat sekolah rendah seterusnya peringkat menengah dan tinggi bagi menjadi anak yang soleh wa musleh yang bermanfaat kepada ummah.
Terima kasih Allah kerana menganugerahkan anak-anak yang mewarnai hidup kami.
"Ya Allah, satukan hati-hati kami, suburkan kasih sayang antara kami dan mudahkan usaha kami menyantuni generasi pewaris."
وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”(QS: Al-Furqan-74)
"Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing"- Pepatah Melayu
"Ibu bapa yang baik bukanlah yang tidak pernah melakukan kesilapan tetapi adalah ibu bapa yang selalu membuat refleksi dan menambah ilmu bagi menjana perubahan ke arah kebaikan demi kesejahteraan anak."- Mak Long
Allahu 'Alam.
No comments:
Post a Comment