Thursday, January 25, 2024

KISAH MAK LONG DAN HITAM

Ada beberapa kucing jalanan selalu singgah di rumah kami.

Saya tak sukakan kucing. Bukan apa saya sangat alahan pada kucing.

Tapi ada seekor kucing hitam seakan tidak berputusasa. Dia berusaha juga masuk ke perkarangan rumah kami.

Anak lelaki kedua saya sangat sukakan kucing walaupun dia pun alergik. Dia beli makanan dan beri kucing hitam itu makan.

Kucing hitam itu nakal sangat. Habis diterbalikkan pasu bunga saya. Kadang-kadang dia terlepas masuk dalam rumah. Curi makanan. 

Apa lagi serabut dan bertambah geramlah saya.

Kadang-kadang saya bergaduh dengan kucing itu. Hehe. Tapi dia semakin mendekati saya. Cuba gesel-gesel.

Satu hari saya "give up". Saya pujuk diri supaya terima kucing hitam itu seadanya.

Saya namakan dia Hitam sebab dia betul-betul hitam dan saya beritahu jiran-jiran itu kucing saya.

Saya tidak lagi mengelak apabila Hitam mendekati. Saya mula membelai dan bercakap dengan Hitam. 

Hitam suka rupanya. Dia mula jadi teman saya bila berkebun. Dia ikut ke mana dan tunggu saya berkebun. 

Dia jadi jinak dan sudah tidak merosak pasu-pasu saya.

Pagi hari apabila saya membuka pintu dia yang akan berlari dan mengeow. Mula saya ingat dia lapar. Beri makan. Rupanya dia nak perhatian saya. Gesel-gesel. Kadang-kadang saya kena jugak ambik ubat antihistamines sebab alahan. Tak apalah.

Tapi saya setkan "boundaries". Hitam tak boleh masuk ke dalam rumah. Setakat di porch sahaja. Saya sediakan tempat makan tidur dan makan dia di luar rumah. Jadi dia tahu sempadan sampai mana.

Baru-baru ini Hiitam tak ada bila saya membuka pintu. Risau. Cari tak nampak. Lepas dalam seminggu Hitam balik dengan sebelah kakinya jalan berdencut dan mata sepet sebelah. Kesian.

Anak saya belikan ubat dan rawat.

Pagi tadi saya tengok Hitam dah sembuh seperti sediakala. Alhamdulillah. Sedia menunggu apabila saya membuka pintu. Mengeow dan gesel-gesel. Manja.

Hitam mengajar saya banyak perkara terutama tentang hati. Melunakkan hati saya. Menerima tanpa syarat dahulu. Kesian Hitam saya kata dia nakal. Padahal dia hendakkan perhatian dan cuba mendekati saya. Itu cara Hitam.

Saya sayangkan Hitam.  Hidup saya lebih indah dan bermakna dengan kehadiran Hitam. Kasih sayang Hitam melunakkan hati saya. Subhanallah.

Hitam. Anugerah alam seekor binatang yang Allah hadirkan untuk saya muhasabah diri dan mujahadah memperbaiki diri.

Terima kasih Allah kerana menghadirkan saya Hitam. 

"Ya Allah, kau peliharalah Hitam, lanjutkan usianya, sihatkan ia dan jauhi ia dari mara bahaya."

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, “Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) itu terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya)” (HR Al-Bukhari : 2363)

Allahu 'Alam.

🌹Mak Long
#closetoyourheart
14 Rejab 1445H

No comments: