Saturday, September 28, 2019

WANITA PERLU BIJAK MELETAKKAN SEMPADAN DIRI DAN KEUTAMAAN SUPAYA TIDAK TERBEBAN DAN TERANIAYA

Ramai wanita sekarang merasa terbeban dan teraniaya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu, kakak, adik, anak, majikan atau pekerja. Masalah kesihatan mental juga semakin meningkat dikalangan wanita.

Namun persoalannya adakah wanita menjadi mangsa dianiaya oleh orang lain iaitu faktor luaran sahaja? Bagaimana pula dengan faktor dalaman atau faktor psikologi wanita itu sendiri. Bagaimana wanita menjaga hak diri dan mengenal kemampuan diri dalam melaksanakan tanggungjawab. Adakah wanita bijak meletakkan SEMPADAN diri ("personal boundaries") dan mengamalkan ketegasan dalam menyantuni keluarga dan bekerja. Jika tidak wanita itu sendiri yang membenarkan orang lain untuk menganiaya diri mereka.

Contoh: Wanita kena jelas tahap kemampuan diri dan mengurus kewangan dengan bijak. Seorang isteri yang bekerja membantu suami tetapi setakat manakah jumlah wang yang mahu dan mampu disumbangkan untuk keluarga. Isteri harus berani mengatakan "tidak" jika suami meminta lebih dari jumlah yang diperuntukkan dan tidak dibendung rasa bersalah hingga berusaha melebihi kemampuan supaya dapat memenuhi kehendak suami. Isteri yang meletakkan had menjadikan suami lebih berusaha mencari rezeki.

Wanita juga perlu bijak meletakkan KEUTAMAAN ( "priority") dalam kehidupan supaya tidak terbeban dan terlalu letih sehingga menjejaskan kesihatan.

Contoh: Menyusun kerja-kerja rumah mengikut keutamaan dan bijak membahagikan masa menguruskan kerja-kerja rumah dengan efisian. Suami dan anak-anak juga diperkasakan untuk berperanan dan membantu bukan melakukan segala kerja rumah kerana beranggapan isteri dan ibu yang solehah itu melakukan segalanya untuk suami dan anak-anak.

Wanita yang bijak meletakkan sempadan diri dan keutamaan adalah wanita yang berprinsip dan menyayangi diri. Mereka memperuntukkan masa untuk menjaga kebajikan diri("self care") dan membahagiakan diri sendiri. Dengan ini mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik dan membahagiakan orang lain dalam keluarga dan komuniti. Wanita begini akan lebih dihormati dan menjadi contoh.

Jika wanita gagal meletakkan sempadan diri dan keutamaan, orang lain mudah sahaja mengambil kesempatan atas kebaikan dan kelembutan tanpa ketegasan mereka.

Akhirnya wanita itu sendiri terbeban melebihi kemampuan diri dan mengalami stres yang kronik hingga boleh menyebabkan kemurungan.

Ahli keluarga, komuniti dan masyarakat seharusnya peka dan prihatin terhadap hak-hak wanita serta ambil peduli terhadap kesihatan mental wanita di sekeliling mereka.

Media massa juga berperanan memaparkan imej wanita yang berilmu dan berprinsip bukan memaparkan imej wanita yang menjadi mangsa dan sering berkorban hingga terkorban.

Dikongsikan artikel berkaitan bertajuk "Drama dan filem melayu perlu lebih mendidik peranan sebenar wanita"
https://rentis.blogspot.com/2018/10/drama-dan-filem-melayu-perlu-lebih.html?m=1

Wanita hari ini disarankan untuk memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran berkaitan pengurusan diri dan memperhiaskan diri dengan iman dan taqwa supaya terpelihara dari perkara-perkara yang merosakkan diri mereka.

Surah Yunus, Ayat 44:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Surah An-Nahl, Ayat 97:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

"Wanita yang bahagia itu membahagiakan"

Allahu 'Alam.

🌾Mak Long
#MenyantuniUmmahMembawaBerkat
#EmpoweringYou!

Ikuti catatan Mak Long di Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong

No comments: