Orang kata: Mainan yang banyak baik untuk kanak-kanak kerana ianya meningkatkan minat bermain dan membantu menggalakkan perkembangan.
Mak Long kata: Mainan adalah salah satu alat yang dapat membantu kanak-kanak berkembang tetapi mainan yang terlalu banyak pun tidak bagus kerana ianya sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak baik kepada kreativiti, imaginasi, kemahiran bergaul, sikap dan nilai seorang anak.
Mainan kanak-kanak hari ini semakin canggih dan lebih mampu dimiliki.
Malah lambakan mainan yang diperbuat dari plastik yang murah mudah sahaja didapati di mana-mana sekarang ini. Ada pelbagai bentuk, rupa dan kegunaan. Tidak kurang yang boleh berfungsi seperti robot dan keretapi yang boleh bergerak dengan kuasa bateri.
Mainan yang terlalu banyak dan sedia dimain kurang merangsang kreativiti, imaginasi dan fantasi kanak-kanak. Barang mainan yang asas dan boleh dimanipulasikan sebenarnya lebih baik. Contoh blok atau bongkah kayu yang boleh dicantum menjadi pelbagai objek dan bahan dari kos rendah atau bahan terbuang seperti kotak yang boleh dijadikan kereta , rumah, dapur dan sebagainya. Mainan begini juga lebih menggalakkan permainan berkumpulan yang sangat baik untuk memupuk kemahiran sosial.
Menurut David Elkind dalam bukunya "The Power of Play", mempunyai mainan yang terlalu banyak dan boleh diperolehi pada setiap masa menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membina "attachment" dengan mainan dan memilih mainan mana yang boleh merangsang imaginasi dan fantasi mereka.
Mainan yang terlalu banyak juga membuatkan kanak-kanak kurang menghargai dan kerap bertukar mainan dalam masa yang singkat.
Kanak-kanak perlukan tempoh masa bermain yang lama untuk mencapai kreativiti, innovasi dan imaginasi tersendiri dalam proses bermain dengan sesuatu jenis mainan.
Mainan juga sudah dijadikan "umpan" apabila anak "buat perangai". Tidak kurang anak yang meminta-minta dibelikan mainan saban hari dan ibu bapa mengikut sahaja kehendak anak dengan alasan murah dan tidak tahan dengan rengekan dan amukan anak. Ada sahaja mainan baru dan biasanya anak akan bermain sehari dua dan kemudian tidak berminat lagi dan meminta dibelikan mainan baru.
Gaya hidup sekarang dalam dunia "consumerism" dan kuasa membeli perlu dikawal supaya anak tidak terlalu bergantung kepada material.
Rujuk kepada artikel Mak Long bertajuk "Dedahkan Anak Pada Yang Natural dan Alami Supaya Tidak Bersifat Kebendaan" https://rentis.blogspot.com/2019/07/dedahkan-anak-pada-yang-natural-dan.html?m=1
Semoga kita terus berusaha mendidik anak untuk lebih menghargai dan berhemah dalam kehidupan bermula dengan kesedaran dan amalan kita sebagai contoh kepada anak-anak.
"Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."- Surah Al-Furqan, ayat 67
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
Allahu "Alam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Ikuti catatan Mak Long di Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong
No comments:
Post a Comment