Thursday, February 21, 2019

KATAKAN "JANGAN" BILA PERLU

Orang kata: Elakkan daripada berkata "JANGAN" pada kanak-kanak kerana ianya akan menyekat perkembangan mereka.

Mak Long kata: Ada ketikanya kita PERLU berkata "JANGAN" pada anak-anak bagi tujuan mendidik, menegur dan menetapkan had dan peraturan.

1. Menerapkan akhlak dan adab.

Ya, anak-anak kecil membentuk sahsiah dari kebiasaan. Contoh: katakan "jangan" pada anak yang suka menyampuk orang tua sedang bercakap. Kemudian jelaskan mengapa perbuatan itu ditegah dan ajarkan cara yang betul.

2. Apabila anak tidak mengikut syariat Islam.

Contoh: Anak yang sudah baligh tidak menutup aurat dengan betul. Peringatkan anak tentang syariat atau peraturan menutup aurat dalam Islam.

3. Apabila anak membahayakan diri sendiri dan orang lain
.
Anak kecil belum boleh menilai banyak perkara. Jadi berkata  "jangan" dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.

Contoh: Anak 2 tahun yang menolak kanak-kanak lain. Katakan "jangan" dengan nada tegas dan beritahu bahawa perbuatan itu salah dan ianya membahayakan orang lain.

4. Apabila anak merosakkan barang, harta benda dan alam.

Anak perlu dididik untuk menjaga barang dan memulihara alam sejak kecil.

Contoh: Kalau anak memetik dan merosakkan pokok bunga. Katakan "jangan" dan didik anak supaya menghargai kecantikan dan memulihara alam.

5. Apabila anak makan dan minum yang memudharatkan.

Katakan "jangan" apabila anak makan dan minum berlebihan atau yang tidak baik untuk kesihatan seperti jajan dan minuman yang banyak kandungan gula.

Berkata jangan membantu kanak-kanak membezakan yang baik dan buruk serta belajar mengenai had dan peraturan.Selebihnya biasakan mengatakan "boleh tetapi" pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa.

Contohnya kalau anak nak main luar tetapi demam katakan "boleh tetapi biar baik demam dulu"
Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan lebih berkesan dengan menggunakan arahan-arahan positif seperti "jalan elok-elok" atau "hati-hati" berbanding "jangan berlari"sahaja.  Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan "sila duduk" dan elakkan berkata 'jangan berdiri'.

Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. InsyaAllah, dengan ilmu dan keinginan untuk berubah, perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: