Orang kata: Biarlah dulu kita je susah, anak kita biarlah senang.
Mak Long kata: Ibu ayah perlu berhemah dalam memenuhi keperluan dan kehendak anak. Usah biasakan anak dengan kemewahan dan kesenangan kerana ia boleh merosakkan.
Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ayyuha Al-Walad, anak harus dihindari dari kehidupan mewah dan bersenang lenang kerana dikhuatiri mereka tidak biasa dengan ujian hidup pada masa akan datang. Jika dibiarkan ia boleh jadi kebiasaan atau I'tiyad dan sukar dibentuk.
Pesanan ini harus kita hayati terutama mutakhir ini iaitu zaman yang sangat mencabar di mana kebendaan sudah menjadi ukuran dan perbandingan kejayaan serta kebanggaan.
Zaman ibu bapa saya dahulu mungkin lebih mudah kerana mereka hidup dalam serba kekurangan. Jadi anak-anak dibiasakan dengan sikap tolong menolong, berkongsi dan bersyukur dengan rezki yang ada. Contoh waktu makan anak-anak makan bersama apa sahaja yang dihidangkan tanpa meminta-minta selain apa yang ada. Mereka bukan sahaja menolong dalam proses memasak dan mengemas malah menolong menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan.
Kadangkala oleh kerana kesusahan dahulu menyebabkan ada ibu bapa sekarang yang lebih berada cuba memenuhi kehendak dan menyediakan segalanya untuk anak-anak.
Apa pun anak-anak belum tahu menilai sepenuhnya dan tidak tahu apa yg baik untuk mereka. Seharusnya ibu ayah menilai kehendak anak dan memberi keperluan yang berpatutan.
Sebaiknya biasakan anak-anak untuk terlibat dalam kerja-kerja rumah yang mampu mereka lakukan mengikut tahap umur. Jelaskan pada anak-anak proses kehidupan melalui cerita dan nasihat. Latihlah mereka dengan gaya hidup sederhana dengan bersyukur terhadap nikmat Allah walaupun sedikit. Ajar anak untuk menghargai, berjimat cermat dan menabung dari usia awal.
Dikongsikan artikel Pengurusan Kewangan Si Kecil dari blog saya.
http://rentis.blogspot.my/2014/11/pengurusan-kewangan-si-kecil.html?m=1
Anak-anak adalah rahmat dan ujian. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menjadi ibu bapa yang mendidik anak-anak menurut ajaran Islam.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
Allahu A'lam
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment