"Siapa tak sayang anak."
Ya, betul ungkapan itu. Anak adalah kurniaan dan anugerah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri.
Cinta dan kasih sayang ibu ayah terhadap anak akan diuji dalam mendidik. Ada kala ibu bapa perlu CEKAL dalam melakukan sesuatu demi kebaikan anak.
Contoh: Menceraikan susu atau memisahkan tempat tidur anak apabila tiba masa yang disarankan. Ibu ayah perlu cekal dalam proses mendidik perubahan ini dan tidak mudah beralah dengan TANGISAN atau AMUKAN anak.
Yang lebih penting ibu ayah harus cekal mendidik anak untuk patuh kepada perintah Allah seperti mendidik anak untuk solat bermula usia 7 tahun. Mungkin ada ibu ayah yang kasihan untuk mengejutkan anak pada waktu subuh contohnya tapi ibu ayah perlu cekal melaksanakan amanah ini supaya anak terdidik dari usia 7 tahun, membentuk kebiasaan pada usia 10 tahun dan bersedia untuk solat dengan baik apabila baligh.
Contohilah ibu Nabi Musa yang begitu cekal melepaskan anaknya yang baru berumur 3 bulan waktu itu ke Sungai Nil apabila diperintahkan oleh Allah SWT.
Ibu Nabi Muhammad SAW juga cekal menyerahkan anaknya kepada Halimatus Saadiah iaitu wanita kampung dari suku Bani Saad bin Bakr yang baik, mulia yang berakhlak mulia dan beradab tinggi untuk disusukan dan dipelihara selama 4 tahun.
Ada kalanya bukan mudah untuk cekal dalam mendidik anak tetapi ianya perlu demi kebaikan mereka. Sikap cekal ibu ayah mampu melahirkan anak yang bukan sahaja berkeperibadian tinggi dan cerdas pemikiran tetapi juga melahirkan anak yang kuat fizikal dan berjiwa kental.
Anak adalah juga UJIAN dan AMANAH kepada ibu ayah. Sikap CEKAL dalam mendidik anak merupakan MUJAHADAH yang insyaAllah mendapat ganjaran di dunia dan akhirat.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
Wallahu'alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment