Thursday, December 27, 2018

ARAHAN KEPADA ANAK LELAKI PERLU SATU PERSATU DAN JELAS


Di suatu pagi ketika saya sedang sibuk di dapur, kelihatan hari yang tadinya mendung mula cerah.

Saya menghampiri anak lelaki (16 tahun) yang sedang menonton TV dan berkata, 'Izzuddin boleh tolong mak jemur kain, hari dah mula panas ni."

'Izzudin bangkit dan terus menjemur baju. Selesai menjemur saya minta tolong lagi.

" Tolong buang sampah ni pulak ya Din" pinta saya sambil menunjukkan sampah kitar semula yang hendak dibuang.

" Terima kasih Din" saya berikan penghargaan pada usaha 'Izzuddin.

Kenapa saya menghampiri anak dan memberi arahan dengan jelas satu persatu,  tidak memberi arahan dari jauh dan sekaligus iaitu dua arahan pada masa yang sama?

Ini adalah kerana saya mengambil kira perbezaan otak lelaki dan otak perempuan.

Perempuan mempunyai binaan otak yang " mutitasking" berbanding lelaki yang lebih fokus pada satu aktiviti pada satu masa.

Anak lelaki memang akan memberi tumpuan atau fokus pada perkara atau tugasan yang sedang dilakukannya. Contoh apabila sedang menonton TV fokus dan pendengarannya hanya pada TV. Jadi jika kita memberi arahan dari jauh sukar untuk dia mendengar dan memahami arahan.

Ibu bapa eloklah memberi arahan satu persatu kepada anak lelaki. Bila selesai satu tugasan baru beri arahan tugasan yang satu lagi. Arahan yang banyak sekaligus menyebabkan anak lelaki mudah "lupa" dan sukar melakukan semuanya.

Arahan bertulis untuk anak lelaki pula perlu secara terperinci dengan meletakkan tugasan dalam bentuk nombor bukan dalam bentuk ayat yang bersambung. Contoh:

'Izzudin tolong mak:-

1. Jemur kain.
2. Buang sampah kitar semula yang telah dibungkus di dapur.

Terima kasih.

( Pada anak lelaki yang dah besar sekarang,  saya guna whatsapp sahaja untuk memberi arahan bertulis😃).

Anak perempuan dan anak lelaki perlu diberi tanggungjawab dan diasuh mengurus diri. Cuma caranya perlu dibezakan kerana cara binaan otak anak perempuan dan anak lelaki untuk berfikir, memproses maklumat dan bertindak berbeza.

Raikan perbezaan dan santuni fitrah anak dengan bijak.

Wallahu'alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu

🌱Rujukan :-
1. Suami Hensem Isteri Ohsem- Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Pak Utih)
2. Rahsia Perbezaan Otak Lelaki dan Otak Perempuan- As'adi Muhammad

No comments: