Monday, June 25, 2007

ARTIKEL PILIHAN:CABARAN TUGAS PENGASUH

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com

SELAIN suka berdampingan dengan kanak-kanak, tugas dalam bidang pengasuhan mempunyai cabarannya tersendiri bagi memastikan kanak-kanak yang dijaga itu menerima asuhan berkualiti.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah, berkata tugas pengasuh lebih mencabar apabila kanak-kanak terbabit bukan saja dijaga makan minumnya malah perlu diberi asuhan, kasih sayang dan perhatian daripada semua aspek termasuk keselamatan dan kesihatan supaya pertumbuhan serta perkembangan menyeluruh berlaku di peringkat usia mereka.

Katanya, bidang itu tidak memerlukan pendidikan tinggi tetapi apa yang penting dan paling diperlukan ialah sahsiah diri yang tinggi serta mempunyai kebolehan dalam mengendalikan dan berkomunikasi dengan kanak-kanak.

“Pada masa sama, bidang ini membantu ramai wanita yang tidak berpendidikan tinggi termasuk ibu tunggal untuk mencari pendapatan melalui perkhidmatan asuhan.

“Kriteria profesional amat penting sekiranya ingin menjadi pengasuh memandangkan mereka mempunyai peranan kritikal dalam membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak ini.

“Selain minat, ada juga antara pengasuh yang menceburi bidang ini disebabkan tiada pilihan dan ada juga yang berjaya kerana dapat memahami bagaimana ingin melakukan tugas itu secara berkesan menerusi kursus dan bengkel yang dijalankan PPBM,” katanya.

Mengikut syarat yang ditetapkan dalam Akta Taska (Taman Asuhan Kanak-kanak) 1984, pengasuh mesti berumur 18 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, pengasuh mesti mempunyai pengetahuan mengenai perkembangan awal kanak-kanak dan wajib menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanan (KAAK) yang ditetapkan dalam akta berkenaan.

Norsheila berkata, menerusi PPBM, profesionalisme seseorang pengasuh itu diukur berdasarkan minat masing-masing untuk mengendalikan kanak-kanak, mempunyai sahsiah yang baik, boleh berkomunikasi dan memahami keperluan kanak-kanak terlebih dulu berbanding kehendak ibu bapa serta menggalakkan pembelajaran kanak-kanak dengan baik.

“Mereka perlu mempunyai komitmen dalam melakukan tugas sebagai pengasuh dan mampu memahami keperluan kanak-kanak ini mengikut tahap umur dan kebolehan mereka,” katanya.

Dia berkata mereka yang ‘berani’ bergiat dalam bidang asuhan dengan mengusahakan taska melakukannya hanya kerana minat mendalam terhadap kanak-kanak serta ingin menyediakan perkhidmatan kepada golongan ibu bapa yang sibuk bekerja.

“Jadi, jika diikutkan pendapatan yang diterima itu tidaklah terlalu lumayan kerana kebanyakan mereka yang melakukannya disebabkan minat kepada kanak-kanak.

“Bagi PPBM, taska adalah salah satu perkhidmatan dan bukannya perniagaan yang membawa keuntungan besar terutama apabila kos bulanan diambil kira,” katanya.

Tip Asuhan berkualiti

- SEKIRANYA minat mengendalikan kanak-kanak, bidang asuhan adalah kerjaya yang sesuai dilakukan.

- UNTUK menjadi pengasuh, apa yang paling diutamakan ialah sahsiah diri yang tinggi dan mampu memberi asuhan berkualiti.

- PENDIDIKAN tinggi tidak diperlukan namun sekurang-kurangnya seorang pengasuh mesti berkelulusan SPM.

- PENGASUH mesti mempunyai pengetahuan mengenai perkembangan awal kanak-kanak dan wajib menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanan (KAAK) yang ditetapkan dalam akta berkenaan.

- SELAIN itu, pengasuh mestilah berkebolehan untuk berkomunikasi dan memahami keperluan kanak-kanak terlebih dulu berbanding kehendak ibu bapa serta menggalakkan pembelajaran kanak-kanak dengan baik.

No comments: