Monday, July 16, 2007

MENGAKU SECARA SEDAR KEHEBATAN DIRI KUNCI KEJAYAAN

Berita Harian-28 Jun 2007

OLEH ROSNAH AHMAD

SEORANG insan yang bertaubat daripada keterlanjuran mempunyai rasa harga diri sangat rendah membawa kepada putus asa, malah ada membunuh diri. Kesakitan fizikal, seksaan mental dan deraan emosi memang tidak tertanggung. Pandangan negatif yang menghina penuh celaan daripada masyarakat keliling memang tidak dapat dielakkan.

Itu hanya seksaan dan balasan di dunia. Untuk menghadapi cabaran dahsyat ini, selain mendekatkan diri kepada Allah kita perlu bina kekuatan dalaman. Proses membersih diri adalah tazkirah yang perit daripada Allah. Perkara itu lebih dirasai apabila seseorang wanita itu mengandung dan melahirkan anak tanpa mempunyai suami sah.

Kesan peristiwa ini sangat mendalam dalam diri mereka, malah menghantui kehidupan mereka sehingga akhir hayat. Mereka ini tiada pilihan kecuali bertaubat nasuha, reda menerima ujian Allah dan cuba melawan perasaan berdosa, hina dan memperkasa diri.

Memperkasa diri melawan perasaan hina diri memerlukan seseorang mengubah gaya hidup, menukar cara bersosial, mencari rakan baru yang salih dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya boleh membuahkan hasil menakjubkan.

Seseorang itu akan rasa lebih tenteram, sihat mental, bertenaga dan positif menjalani kehidupan. Sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan sentiasa memperbaharui niat untuk melakukan amalan salih dan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Ia bukan bermaksud kita tidak boleh memperbaiki diri. Jika kita fikir tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki diri .

Sering kali kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kita kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran kita sebagai manusia adalah untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi berjaya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah At-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri yang menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, kita juga memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan kita bersikap agak tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara kita yang tersendiri.

Bila kita mengenali diri, kita akan kurang terikat kepada diri dan keunikan akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum. Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hambanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah misykaat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari semasa naiknya dan bukan saja semasa turunnya; hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An- Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah kita sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Ia bagi memastikan nur hidayah Allah dapat menembusi diri kita dan tidak terhalang oleh hati gelap.

Apa pun, kita sering kecundang dalam usaha menyerlahkan potensi kerana masalah dan cabaran. Daripada perspektif spiritual, masalah dan cabaran bukanlah ancaman, tetapi ia membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan mengenai diri.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal yang tinggi kita dapat memenuhi antara ciri masyarakat bertamadun iaitu memperkasakan diri.

Sekian. Wallahu'alam.

No comments: