Wednesday, April 8, 2020

KAEDAH ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI TASKA WAJAR DICONTOHI DAN DIPRAKTIK DI RUMAH

Assalamualaikum ummi abi, ibu ayah dan mak abah semua. Salam keindahan dan kedamaian. Semoga sihat sejahtera hendaknya seisi keluarga.

Hari ini sudah masuk hari ke 22 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimana semua duduk di rumah tu. Harap segalanya baik dan semakin hari semakin tenang.

Pernah tak terfikir bagaimana pengasuh boleh menjaga kanak-kanak dalam bilangan yang ramai saban hari di TASKA berbanding kita di rumah yang kadang-kadang pening menjaga dua tiga orang anak sahaja. Mak Long pun sama dulu masa anak-anak kecil sehinggalah Mak Long menceburi bidang pengasuhan bermula dengan bekerja sebagai pengasuh. Banyak perkara yang Mak Long pelajari dari situ dan mempraktikan di rumah sepanjang proses membesarkan tiga orang anak-anak Mak Long.

Apa itu TASKA? Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menyediakan perkhidmatan asuhan gantian atau "alternative child care" kepada kanak-kanak di bawah umur 4 tahun bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa, khususnya wanita bekerja. Ianya tertakluk kepada Akta Taman Aauhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang  mengadakan memperuntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

TASKA bukan hanya menekankan aspek penjagaan. Ianya menawarkan khidmat asuhan dan didikan awal kanak-kanak berdasarkan Kurikulum PERMATA Negara (KPN) yang wajib digunapakai di semua TASKA berdaftar. 

Skop KPN meliputi dua komponen utama, iaitu Komponen asas Pengasuhan Bayi dan Kanak-kanak, dan bidang pembelajaran PERMATA untuk perkembangan kanak-kanak.

Jadi nak tahu bagaimana operasi TASKA dikendalikan setiap hari. 

📌Pertama- Persekitaran yang kondusif.

TASKA menyediakan persekitaran dalam dan luar dengan peralatan dan perabut yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak. Aspek keselamatan diutamakan. Ruang makan, rehat dan tidur serta sudut-sudut seperti sudut main peranan, sudut prabaca dan sudut blok diadakan untuk menggalakkan perkembangan bayi dan kanak-kanak.

TASKA wajib menyediakan ruang dan sudut serta peralatan dan perabut mengikut keperluan bilangan dan umur kanak-kanak yang diambil. Bilangan kanak-kanak yang boleh diambil adalah tertakluk kepada keluasan lantai 3.5m persegi untuk setiap kanak-kanak. Nisbah pengasuh:kanak-kanak adalah 1:3 untuk bayi bawah umur 1 tahun, 1:5 untuk kanak-kanak 1-3 tahun dan 1:10 untuk kanak-kanak 3-4 tahun. 

📌Kedua- Perancangan tahunan, jadual mingguan dan jadual harian sebagai panduan. 

Perancangan tahunan disediakan  di TASKA untuk memudahkan pengasuh merancang aktiviti atau program sepanjang tahun mengikut tema dan peristiwa sepanjang tahun.

Jadual mingguan TASKA mengandungi rutin dan pembelajaran yang dirancang sepanjang minggu. Ianya mengandungi elemen rutin, aktiviti PERMATA, transisi dan permainan bebas.

Jadual harian pula memudahkan pengasuh memahami dan melaksanakan proses pembelajaran kanak-kanak sepanjang hari.

Biasanya operasi TASKA bermula seawal pukul 7 pagi. Pengasuh menyambut ketibaan kanak-kanak dan melakukan pemeriksaan fizikal dilakukan untuk memastikan tahap kesihatan kanak-kanak dan merekodkan dalam buku log harian setiap kanak-kanak. 

Kemudian masa untuk mandi, berus gigi, bersiap untuk sarapan dan aktiviti "circle time" dalam kumpulan. 

Dalam pukul 9.00 pagi kanak-kanak menjalani aktiviti luar seperti "nature walk", main air, main pasir atau main bebas selama 1 jam dan masuk semula ke dalam untuk minum pagi. Bayi diberi susu dan waktu untuk tidur.

Kanak-kanak lain pula mengikuti aktiviti PERMATA yang dirancang seminggu sebelum oleh pengasuh mengikut pelaksanaan aktiviti pembelajaran PERMATA berdasarkan:-

Modul 1: Umur lahir hingga 6 bulan
Modul 2: Umur  6 bulan hingga 12 bulan
Modul 3: Umur 1 tahun hingga 2 tahun
Modul 4: Umur 2 hingga 3 tahun
Modul 5: Umur 3 hingga 4 tahun
Modul 6: Modul pengayaan untuk 4+ tahun

Aktiviti dirancang setiap minggu secara seimbang dan menyeluruh meliputi enam perkembangan iaitu:-

1. Perkembangan fizikal
2. Perkembangan sahsiah sosioemosi dan kerohanian
3, Perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal
4. Perkembangan awal matematik dan pemikiran logik
5. Perkembangan deria dan pemahaman dunia bersekitaran 
6. Perkembangan kreativiti dan estetika.

Contoh web aktiviti mingguan bayi berumur 9 bulan
http://rentis.blogspot.com/2019/02/aktiviti-bayi-di-taska.html

Makan tengahari pada pukul 11.30 pagi diikuti dengan gosok gigi dan mandi/bersihkan diri sebelum waktu tidur. Kanak-kanak rehat dan tidur dari 12.30 tengahari hingga sekitar pukul 3.00 petang.

Bagaimana kanak-kanak semua boleh  tidur serentak? Sebab mereka aktif dari pagi dan sudah penat. Kalau lambat sikit ada yang tertidur di merata tempat.

Waktu kanak-kanak tidur pengasuh bergilir-gilir rehat, makan dan solat.  Kemudian mengisi buku log harian yang mencatatkan aktiviti, perkembangan, tingkah laku kanak-kanak dan jika ada pesanan untuk ibu bapa. Mereka juga menyediakan bahan untuk aktiviti keesokkan harinya dan merancang aktiviti untuk minggu berikutnya.

Waktu ini bayi di bilik berasingan biasanya sudah bangun, disalin lampin dan diberi makan tengahari  Kemudian bayi juga mengikuti aktiviti yang dirancang dan aktiviti bebas sebelum tidur waktu petang.

Kanak-kanak bangun, mandi dan bersiap untuk minum petang dalam pukul 4.30 petang dan kemudian main bebas  di sudut-sudut pembelajaran.

5.30 petang biasanya kanak-kanak main di luar sambil menunggu ibu ayah menjemput mereka pulang.

Pengasuh hanya boleh pulang selepas semua kanak-kanak pulang biasanya paling awal 6.30 petang.

📌Ketiga- Kanak-kanak dilatih kemahiran urus diri.

Latihan mengurus diri diberikan supaya kanak-kanak boleh berdikari dan mengurus diri tanpa bantuan  Seawal usia 6 bulan bayi sudah dilatih mengurus diri mengikut tahap kebolehan dengan bimbingan dan bantuan. Pengasuh bertindak sebagai pemudahcara.

Melalui aktiviti rutin, kanak-kanak dilatih mengurus diri seperti makan, mandi, gosok gigi, buang air di tandas, memakai pakaian, menyediakan alat permainan, mengemas permainan dan sebagainya. Biasanya kanak-kanak 3 dan 4 tahun sudah mahir melakukan semuanya sendiri tanpa bantuan.

Adab dan doa juga diterapkan dalam rutin seperti adab dan doa sebelum dan selepas makan, masuk dan keluar tandas, sebelum tidur dan selepas bangun tidur dan sebagainya. Anak kecil mudah sekali mengamalkan adab dan menghafal doa melalui kaedah ini.

📌Keempat- Proses lebih penting dari hasilnya. 

Tiada tekanan kepada pengasuh untuk memaksa kanak-kanak mendapatkan hasil yang ditentukan atau membanding-bandingkan antara satu kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian dan hasil kerja mereka diterima seadanya. Mereka digalakkan berkembang dan progres mengikut kemampuan masing-masing. 

📌Kelima: TASKA menyediakan menu dan pemakanan seimbang.

Kanak-kanak diberikan makanan yang seimbang untuk pertumbuhan dan perkembangan yang baik selaras dengan Index BMI bagi umurnya.

Tiga set menu mingguan yang diulang setiap 3 minggu untuk bàyi enam bulan ke atas hingga 2 tahun dan kanak-kanak 2 hingga 4 tahun disediakan supaya kanak-kanak dapat pelbagai makanan seimbang dan tidak mudah jemu.

Aktiviti PERMATA bagi pemakanan juga dititikberatkan. Pengasuh merancang dan melaksanakan aktiviti bagi menggalakkan kanak-kanak memahami khasiat dan kebaikan makan pemakanan sihat dan mengamalkan kebersihan.

Contoh rancangan pelaksanaan aktiviti pemakanan.
http://rentis.blogspot.com/2018/11/rpa-di-taska-makan-ikan-baik-untuk-saya.html?m=1

📌Keenam- Memahami dan mengurus tingkah laku kanak-kanak. 

Amalan asuhan dan interaksi yang menyokong keperluan fizikal, emosi dan akal kanak-kanak di TASKA menggalakkan mereka membina rasa selamat, yakin diri, rasa diterima, disayangi dan dihargai. Ianya juga mengurangkan masalah tingkah laku dikalangan kanak-kanak.

Jika berlaku masalah tingkah laku ianya diurus oleh pengasuh yang diberi latihan berkaitan tingkah laku, jenis-jenis tingkah laku, bagaimana kanak-kanak mempelajarinya, faktor yang menyebabkan perubahan tingkah laku dan cara mengatasinya.

📌Ketujuh- Pemerhatian dan penaksiran.

Pemerhatian berterusan semasa kanak-kanak bermain, terlibat dalam aktiviti dan rutin seharian dilakukan oleh pengasuh untuk mendapatkan maklumat mengenai tingkah laku dan menilai tahap perkembangan bayi dan kanak-kanak pada setiap domain.

Pengesan awal juga dilakukan bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Pengasuh didedahkan dengan jenis keperluan khas, tanda awal, pakar rujuk, intervensi awal dan peranan serta tanggungjawab pengasuh.

Pelaporan rekod pertumbuhan dan kemajuan perkembangan dan perbincangan dengan ibu bapa diadakan dari masa ke semasa.

Sudah agak panjang lebar Mak Long menceritakan serba ringkas perjalanan operasi dan peranan serta tanggungjawab pengasuh.

Kerjaya sebagai pengasuh bukan mudah. Ianya memerlukan minat dan komitmen yang tinggi. Upahnya pula mungkin tidak setimpal. Rata-rata pengasuh TASKA masih dibayar gaji minimum.

PKP membawa rahmat yang banyak. Antaranya memberi kerehatan kepada pengasuh yang jarang-jarang dapat cuti yang lama. Berehatlah wahai pengasuh. Kumpulkan kekuatan untuk kembali bekerja selepas PKP.  Khidmatmu sangat diperlukan. Mana mungkin kami ibu bapa dapat keluar bekerja dengan tenang tanpa sokongan dan baktimu. Jasamu dikenang.

Pengasuh perlu bersedia untuk menghadapi sesi penyesuaian semula setelah lama anak-anak bercuti. Ramai juga yang akan menangis kerana tak mahu ditinggalkan.

PKP juga mengembalikan tugas dan tanggungjawab menjaga dan mendidik sepenuhnya kepada ibu bapa. Inilah peluang untuk ibu bapa menunaikan amanah yang Allah berikan kepada setiap ibu bapa sebaik mungkin.

Kaedah yang sistemetik yang digunapakai di TASKA wajar dicontohi dan dipraktikan dirumah supaya wujud kesinambungan asuhan dan didikan TASKA dan rumah demi kesejahteraan anak-anak. Ianya mungkin perlu disesuaikan dengan suasana di rumah dan keperluan setiap keluarga. Semoga ianya membantu melancarkan tugas dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak setiap hari.

Semoga Allah memudahkan segala urusan mengasuh dan mendidik anak-anak semasa PKP ini.  Kita jaga kita.

"Rumah Madrasah Pertama. Ibu Bapa Guru Utama."
"Kembalikan Peranan Ibu Bapa. Perkasakan Institusi Keluarga."

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 22

Monday, April 6, 2020

REFLEKSI DAN TRANSFORMASI DIRI IBU BAPA PENTING DALAM MENDIDIK ANAK.



Hari ini masuk hari ke 21 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Perintah duduk di rumah menyaksikan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak yang selama ini digalas bersama pengasuh dan guru kini terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa. Perubahan yang berlaku perlu diterima dan kita juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan yang agak sukar dan tidak menentu ini. Setiap orang ada cabarannya tersendiri dalam situasi sekarang. Ada yang perlu bekerja dari rumah. Ada juga yang hilang mata pencarian. 

Siapa pun kita dan apa jua cabaran yang dihadapi, PKP mengingatkan kita bahawa anak adalah amanah dan ujian. Bagaimana kita melaksanakan tanggungjawab menjaga, mendidik dan menghadapi karenah anak-anak di rumah sepanjang hari ini juga mencerminkan diri kita.

Bersabar itu bukan bermakna hanya menunggu keadaan pulih seperti biasa tetapi bagaimana sikap kita dalam menjalaninya. Bagaimana kita menangani masalah tingkah laku anak-anak saban hari. Adakah kita mengambil sikap mendidik atau hanya bertindak mengikut emosi. 

Contoh: Ibu sedang penat dengan kerja-kerja rumah dan tertekan dengan tugasan kerja dari rumah. Anak-anak pula bergaduh, jadi ibu memarahi dan meminta anak yang lebih besar beralah dengan yang lebih kecil tanpa usul periksa. Ibu itu tidak sedar tindakan seperti ini boleh menyebabkan anak merasa ibu pilih kasih dengan melebihkan si adik dan ianya boleh menyebabkan anak itu memberontak. Yang lebih parah lagi apabila ini berlaku ibu melabel anak itu degil dan susah dibentuk. Situasi yang berharga yang seharusnya diambil sebagai masa yang sesuai untuk mendidik anak dengan menegur secara hikmah dan membuat refleksi  bersama anak sudah menjadi situasi yang memberi kesan negatif kepada emosi ibu dan anak.

Dalam banyak keadaan apabila berlaku masalah tingkah laku, ibu bapa mahukan anak berubah tanpa menyedari bahawa ianya terlebih dahulu memerlukan proses refleksi dan tranformasi diri ibu bapa itu sendiri. Jika kita asyik bersikap menyalahkan anak dan bertindak dengan cara yang sama mana mungkin kita mengharapkan hasil yang berlainan. 

Seringkali juga kita menyalahkan faktor luaran seperti sekolah dan guru tanpa langsung melihat dari  perspektif peranan kita sebagai ibu bapa.

Kita tidak mampu untuk jadi sempurna dan sifat kesempurnaan bukan ada pada kita tetapi kita mampu menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.

Ayuh kita muhasabah diri, mengaku kelemahan diri, berusaha mencari ilmu dan kemahiran untuk terus progres pada jalan-jalan kebenaran dalam menyantuni anak-anak. Ianya adalah proses penyucian jiwa dengan berjihad melawan hawa nafsu dan berubah ke arah kebaikan, insyaaAllah.

Walau bagaimanapun ianya bukan sesuatu yang mudah. Kita akan terus melakukan kesilapan dalam mendidik anak-anak. Yang penting kita selalu melihat ke dalam diri terlebih dahulu, selalu memohon ampun atas kesilapan diri dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah. Kita hanya berusaha dan hasilnya Allah yang menentukan.  

Rahmat besar PKP adalah masa bersama keluarga. Manfaatkanlah  masa berharga yang ada untuk mendekati, mengeratkan hubungan dan mendidik anak-anak di rumah. Ayuh kita perkasakan peranan sebagai ibu bapa dan mengapai kesejahteraan, kebahagiaan serta kedamaian di rumah kita. Kita jaga kita.

Tidak lupa kepada anak-anak barisan harapan yang sedang berjuang. Semoga Allah memudahkan segala urusan semua. 

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar." 
(QS. At-Taghabun, 64 : 15)

Dikongsikan artikel berkaitan dari blog Mak Long  untuk rujukan.

http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-32-himpunan-doa-untuk-anak.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2017/08/teknik-sedar-dalam-menyantuni-fitrah.html?m=1

"Rumah Madrasah Pertama. Ibu Bapa Guru Utama"

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/ Mak Long
#SentuhabBapaBelaianIbu
#DudukDiRumah
Hari ke 21

Saturday, April 4, 2020

PIZZA SARDIN TANPA YIS ALA MAK LONG NAH

Salam semua. Masak apa hari ini? Meriah jugak masak memasak masa PKP ni. Mak Long pun terjebak jugak dengan mencuba pelbagai resepi. Hari ini rasa terpanggil nak share resepi pizza ala Mak Long.

Pizza ni ramai budak-budak suka. Boleh buat bersama anak-anak. Boleh juga buat pizza bersaiz kecil dengan topping mengikut kegemaran masing-masing.

Mak Long buat doh tanpa yis dengan menggunakan baking powder mengikut resepi youtube ni.
Maklong buat dua adunan untuk saiz pizza besar dulang 13×13 inci.

https://youtu.be/tAt3oo1i-lE

Untuk sosnya Mak Long guna sardin. Boleh masak sardin ikut kegemaran masing-masing. Mak Long ikut resepi ringkas turun temurun keluarga Mak Long yang menggunakan lada kecil.

RESEPI SAMBAL SARDIN

Bahan-bahan (kisar)

1. Bawang merah 3 ulas
2. Bawang putih 2 ulas
3. Lada kecil 7 biji (ikut suka nak pedas setara mana)

Bahan-bahan lain

1. Bawang besar 3 biji (dimayang)
Ikan sardin mackeral bersos dalam tin (sardin pun boleh)
2. Asam gelugor 1 keping
3. Garam secukup rasa

CARA MASAK SAMBAL SARDIN

1.Tumis bahan kisar hingga naik minyak
2. Masukkan sardin, garam dan asam gelugur
3. Kacau hingga hampir kering dan masukkan bawang yang dimayang. Masak sekejap hingga bawang layu. Tutup api dan sejukkan.

BAHAN-BAHAN UNTUK TOPPING

1. Cendawan butang 10 biji (dihiris nipis)
2. Nenas setengah biji (dipotong kecil)
(Boleh gunakan bahan lain ikut suka atau memadai dengan sardin sahaja)
3. Keju yang disagat anggaran 200 gram untuk saiz dulang pembakar 13x13 inci.

CARA SEDIAKAN PIZZA

1. Canai doh diatas dulang pembakar.
2. Sapukan nipis kuah sambal sardin beserta bawang di atas doh yang sebagai sosnya.
3. Taburkan separuh keju sagat.
4. Pecah-pecahkan ikan mackeral menjadi ketulan kecil tetapi tidak terlampau halus supaya ada rasa teksturnya. Taburkan atas doh.
5. Letakkan pula nenas dan cendawan butang. Jangan terlalu padat.
6. Taburkan lebihan keju dan sedia dibakar pada suhu 200 Celcius. Masanya ikut saiz pizza yang dibuat.

Masak memasak membawa bahagia. "Stay safe. Stay healthy everyone"
Selamat mencuba😀. 

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#DudukDiRumah
Hari ke 17


Thursday, April 2, 2020

MANFAATKAN TEMPOH PKP UNTUK LEBIH PEKA DAN SEDAR KEPERLUAN DIRI DAN KELUARGA

Salam ibu ayah, ummi abi, mak abah semua. Semoga baik-baik selalu dan sabar menyantuni diri dan keluarga di rumah.

Banyak sekali tanggungjawab yang perlu dilunaskan setiap hari di rumah terutama apabila balik dari kerja. Ibu-ibu biasanya cekap "multitasking" beberapa kerja rumah serentak dan menyiapkan kerja dengan cepat. Ramai yang merasa senang hati jika dapat melakukan semua kerja kerana berjaya menjadi "supermom".

Mak Long pernah membaca bahawa "multitasking" boleh menyebabkan kita stress, kurang peka dan sedar tindakan kita. Dalam banyak keadaan kita hanya tertumpu kepada menyempurnakan tugasan tetapi kurang menghayati proses yang dilalui. Contoh ibu balik kerja terus sahaja bergegas ke dapur untuk memasak dan pada yang sama memasukkan baju dalam mesin basuh dan melayan keperluan dan karenah anak-anak kecil.

Masa dikejar saban hari sehingga kadangkala kita sudah jadi umpama robot atau kita menjadi cepat menyinga. Huhu. 

Sesuatu yang Mak Long dapati menarik berlaku dalam tempoh PKP ini. Memasak menjadi semakin popular. Banyak perkongsian di laman sosial yang menggambarkan memasak dilakukan dengan suasana yang lebih santai dan terserlah kebahagiaan si tukang masak. Hasil masakan juga tampak lebih kreatif dan ada sentuhan peribadi  masing-masing. Yang lebih memberangsangkan , tergambar amalan asuhan yang baik, interaksi dan komunikasi dua hala ibu-ibu dengan anak-anak dalam proses memasak yang berlaku.

Memasak bukan lagi tugasan yang membosankan dan memenatkan tetapi sudah menjadi hobi dan aktiviti yang membawa kedamaian dan keceriaan kepada ibu, ayah dan anak-anak.

Memperuntukan masa untuk melakukan kerja dengan lebih tenang dan fokus pada satu-satu tugasan menjadikan kita yang lebih sedar apa yang berlaku dalam proses yang dilalui. Contoh anak yang ingin turut serta membantu di dapur tidak dianggap mengacau atau melambatkan kerja tetapi dialu-alukan sebagai peluang untuk memupuk semangat kerjasama, tolong menolong dan sikap bertanggungjawab.

Perhatian yang diberi pada anak-anak membuat mereka merasa lebih diterima, dihargai dan disayangi. Ibu ayah juga dapat mengenali dan membina hubungan yang baik dengan anak. Ini memudahkan ibu ayah untuk berkomunikasi  dan mendidik anak secara efektif.

Tempoh PKP boleh kita jadikan antara hikmahnya sebagai masa untuk "thomaninah" menyantuni fitrah diri kita yang dilupakan supaya kembali tenang dan lebih bersedia untuk menunaikan amanah menyantuni keluarga dengan lebih berkesan dan bermakna. 

Ibu ayah yang tenang insyaAllah melahirkan anak-anak yang tenang. 

Dikongsikan beberapa artikel dari blog Mak Long yang berkaitan. Semoga bermanfaat.

http://rentis.blogspot.com/2017/08/teknik-sedar-dalam-menyantuni-fitrah.html?m=1

http://rentis.blogspot.com/2016/10/perbaiki-hubungan-dengan-anak-terlebih.html?m=1

http://rentis.blogspot.com/2018/11/bimbing-anak-berfikir-dalam-menangani_28.html?m=1

http://rentis.blogspot.com/2018/11/komunikasi-berkesan-membantu-anak.html?m=1

Ayuh kita cipta momen-momen indah di rumah.

Allahu 'Alam

Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
#StayAtHome
Day 16


Salam ibu ayah semua,

Salam ibu ayah, ummi abi, mak abah semua. Semoga baik-baik dan sabar menyantuni diri dan keluarga di rumah.

Jika sebelum ini bagi yg bekerja setiap hari banyak sekali tanggungjawab yang perlu dilunaskan

Saturday, March 28, 2020

TERIMA HAKIKAT KALAU PERLU TUTUP BISNES DAN KREATIF MENCARI ALTERNATF

Petikan dr FB Puan Suhaili Ikhsan.

Kita, usahawan perlu kreatif, bertindak cepat & responding dengan situasi semasa.

Jika perlu tutup, tutuplah dulu.
Jika perlu ubah, ubahlah.
Jika perlu bincang, bincanglah dulu.
Jika perlu tangguh, tangguhlah.
Jika perlu pinjam, pinjamlah... 

Dunia sedang berubah, justeru kita akan
memasuki order baru dunia.

Fokus kepada apa yang kita boleh kawal.

Jangan bertindak seperti orang politik.
Cari nahas namanya.

______________

Maklong setuju dengan pandangan dan cadanagan Puan Suhaili Ikhsan.

"It is strictly business". Kalau perlu tutup tutup. Usah terlalu bersedih, nostalgia atau sayang ke apa ke. Perubahan berlaku tanpa kawalan kita dan ada hikmahnya. Kita perlu bertindak dan kreatif mencari alternatif. Tak boleh lama-lama melayan emosi.

Ujian datang dalam pelbagai jenis. Orang dahulu juga sudah melaluinya. Walaupun sukar kita perlu belajar menerima dan redha jua dalam apa keadàan.

Maklong sudah melalui banyak perubahan sejak memulakan bisnes pada tahun 1997 dengan menubuhkan TASKA pada zaman gawat ketika itu.

Sedikit mengenai perkembangan Maklong yang terkini. Terpanggil untuk berkongsi pada masa sukar ini kerana mungkin dapat membantu mereka yang melalui masa yang mencabar dan tiada kepastian ini. 

Dua tahun lepas bisnes latihan Maklong juga terpaksa ditutup kerana tidak mampu lagi bertahan. Bukan mudah untuk Maklong membuat keputusan itu tetapi ianya perlu dihadapi supaya tidak menzalimi diri dengan bertahan lebih lama. 

Kemudian Maklong meneruskan usaha menjadi "freelance trainer"dan projek usahasama. Alhamdulillah pertengahan tahun lepas sudah menampakkan hasilnya. Pada ketika baru nak menikmati pendapatan stabil semula Maklong diuji dengan sakit (hyperthyroid yang agak teruk). Jadi jadual latihan tak dapat dipenuhi. Maklong terpaksa akur kerana tak mampu untuk bekerja. Memang payah juga untuk menerima apa yang berlaku dan macam-macam difikirkan. 

Apa pun hakikat hidup dan mati menyedarkan Maklong untuk lebih berlapang dada dan bersangka baik dengan Allah. Masih banyak lagi perlu disyukuri dan dihargai. Banyak sekali pengajaran yang Maklong dapat. Banyak sekali ego yang Maklong perlu tundukkan. Banyak sekali impian yang perlu dilepaskan. 

Maklong ingatkan pada diri. Fokus hari ini, saat ini dengan lebih sedar. "Be more present dan conscious". Terasa terlalu banyak kurniaan Allah yang selama ini Maklong dustakan. Banyak sekali fitrah diri yang diabaikan. Banyak sekali amanah yang dialpakan.

Masa untuk muhasabah diri dan kembali. Syukur Ya Allah atas ujian ini.

Alhamdulillah selepas 4 bulan kemudian Maklong beransur sihat dan "slowly pickup" kerja-kerja rumah.  Macam belajar berjalan semula.

Tak lama kemudian wabak virus corono semakin menular dan arahan PKP dikeluarkan. Sambung duduk di rumah lagilah. Tapi alah bisa tegal biasa. Tak terasa sangat berkurung.

Empati dengan luahan Pengusaha TASKA di laman sosial mengenai permasalahan mereka berikutan penutupan TASKA berikutan arahan PKP ini. Tapi bak kata Puan Suhaili Ikhsan dunia bisnes ini kejam. Yang melaluinya saja akan benar-benar faham. Ibarat pepatah melayu kalau tak sanggup dilambung ombak usah berumah di tepi pantai.

Dunia latihan juga mungkin terjejas teruk. Maklong buat masa ini memilih untuk jadi suri rumah sepenuh masa. Ia menuntut Maklong untuk sekian kalinya mengubah layar bahtera kehidupan. Buat masa ini kena banyak berhemah dengan pendapatan suami yang insyaAllah masih ada masa setahun lagi bekerja sebagai juruteknik.

Dalam hidup ni kita hanya mampu merancang. Kita tak berkuasa tatkala nyawa kita pun belum tentu sampai bila. Segalanya pinjaman dan sementara. Semua yang ada milikNya.

Apa pun syukur jua atas ujian dan proses yang dilalui kerana ianya membawa Maklong lebih mengenal dan menemui kembali fitrah diri. Alhamdulillah. Rasa seronok pulak duduk di rumah dengan hanya memikirkan pengurusan rutin kerja-kerja rumah. Lebih tenang. 

Syukur juga arahan PKP ini, semua ahli keluarga ada di rumah ni. Terubat juga sindrom "empthy nest" ini.

Itu saja coretan Maklong. Bukan bertujuan untuk memberi gambaran negatif tetapi sekadar berkongsi perspektif yang Maklong lalui. Moga kita dapat melalui masa-masa yang sukar dan mencabar ini dengan banyak bersabar dan bersyukur.

Allahu'Alam.

#DudukRumah
Hari ke 11

Sunday, March 22, 2020

SKIL MENJAHIT BERI MANFAAT



Ramai yang berkongsi aktiviti memasak semasa PKP ni. Bagus, masa yang ada elok dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran diri dan ahli keluarga kepada perkara-perkara asas dalam kehidupan seperti mengenal bahan masakan,memasak dan mengemas.

Selain memasak, menjahit juga bagus untuk mengisi masa dan sangat bermanfaat.

Kita boleh mulakan dengan membaiki pakaian yang mana perlu. Contoh baju anak yang masih elok tapi sudah singkat boleh ditampung bawahnya secara kreatif dengan ropol atau kain yg singkat boleh ditongka (ni bahasa kampung Maklong yang membawa maksud menambah kain lain sedikit dibahagian atas untuk melabuhkan)

Pada yang tiada mesin jahit, menjahit menggunakan tangan pun boleh. Anak-anak biasanya suka bersama melihat ibu mereka menjahit. Mereka akan bertanya banyak perkara dan ingin mencuba. Inilah masa yang sesuai untuk mendedahkan kepada skil jahitan yang mudah dengan menggunakan kain perca, jarum dan benang. Bila susah mahir boleh ajar anak buat yang mudah seperti baju anak patung yang ringkas atau sarung bantal asas yang sangat mudah.

Skil asas dalam kehidupan perlu ada pada anak- anak walaupun sekarang segalanya mudah dan murah. Ianya juga mendidik anak untuk lebih menghargai dan berjimat cermat.

Kita tak tahu bila kita akan memerlukan skil-skil asas dalam kehidupan. Disamping itu skil membantu mengimbangi kehidupan contoh menjahit boleh dijadikan hobi yang membantu memberi ketenangan.

Bahagia itu ada di rumah. Menjahit juga membawa bahagia.

Selamat mencuba😃

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Maklong
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu