Tuesday, January 22, 2019

BERTEGAS DAN MENEGUR ANAK

Orang kata: Anak-anak sekarang tak macam anak-anak zaman dulu. Kalau bertegas sangat nanti kasih anak pada ibu ayah berkurang. Nak tegur beria sangat pun bimbang anak lari dari rumah.

Mak Long kata: Ibu ayah usah takut nak berTEGAS dan meNEGUR anak-anak bermula dari AWAL USIA kerana takut anak tak sayang atau lari dari rumah.

FITRAH anak sebenarnya memang hendakkan ketegasan dan teguran bila perlu. Bertegas dan menegur dengan bahasa dan nada yang betul bukan dengan marah dan menggunakan bahasa yang kasar.

Anak akan lebih sayang dan menghormati ibu ayah kerana dengan bertegas dan memberi teguran mereka membina rasa selamat, membezakan yang baik dan buruk serta belajar tentang had dan peraturan atau "boundaries".

Anak juga tahu menghormati hak diri sendiri dan orang lain.

Mendidik bukan saja menyeru anak kepada kebaikan tetapi perlu juga  menghalang anak daripada melakukan kemungkaran dengan ketegasan dan memberi teguran yang membina.

Surah Al-Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Wallahu'alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com

Sunday, January 20, 2019

Pesan seorang Ibu

Petikan dr fb Ibu Faridah Hanim Harun

Post ni ibu nak tujukan kepada semua anak perempuan ibu. Tak kisahlah anak kandung ke, anak didik ke, belum jadi anak didik ke. Sesiapa sahaja yang bergelar isteri, ibu, business woman, wanita bekerjaya.

Wanita bukan makhluk yang lemah. Allah itu adil. Manusia adalah makhluk terbaik ciptaannya, tidak terkecuali wanita.

Kita adalah makhluk yang kuat emosinya. Lalu, kita selalu disalah anggap sebagai makhluk yang beremosi. Sedangkan emosi itu menjadi mekanisme pelindung untuk kita.

Tetapi ...!

Jangan sekali-kali benarkan emosi itu menguasai dan mengawal diri kita. Sekali kita benarkan, that’s it, kita akan terus berada dalam ‘cengkamannya’.

Apa sahaja perkara yang berjaya mengawal fikiran waras kita, akan menghancurkan kita. Ingat itu.

Sudah-sudahlah menuntut untuk dihargai. Bukan tidak boleh merajuk dan berjauh hati, tapi berpada-pada. Jangan sehingga kita terus melupakan semua impian, meninggalkan semua kenangan manis, dan melupakan kebaikan-kebaikan dan kebahagiaan-kebahagiaan yang sangat banyak dalam hidup kita.

Benar, banyak yang kita korbankan dan perjuangkan sepanjang hidup kita demi orang-orang yang kita sayang. Kita bersengkang mata membantu suami mencari rezeki. Sama-sama buat bisnes dan bekerja siang dan malam di samping suami. Belum lagi kerja-kerja rumah yang tidak pernah habis, apatah lagi mengasuh dan membesarkan anak-anak.

Allah pandang semua itu, sayang ... percaya cakap ibu. Tidak ada satu pun yang Allah tak hitung. Semuanya Allah pandang. Jangan hanya kerana kita tidak mendapat pengiktirafan daripada orang lain, tidak kira daripada siapa pun, kita terus merasakan semua itu sia-sia.

Satu-satunya orang yang MESTI menghargai dan menyayangi diri kita sepenuh hati ialah KITA.

Menangislah jika mahu. Itu cara kita melindungi diri kita daripada perasaan luka dan kecewa yang terpendam. Perasaan itu akan lama kelamaan menghancurkan diri kita jika ia tidak dilepaskan dan dibiarkan begitu saja.

Namun jangan kita biarkan syaitan berjaya menghasut dan melemahkan hati kita. Jangan biarkan segala usaha dan pengorbanan kita selama ini benar-benar menjadi sia-sia.

Bangun, nak! Jangan terlalu dilayankan perasaan. Kuasai semula emosi dan perasaan itu.

Perjuangan dan pengorbanan kita dalam hidup, lebih besar maknanya daripada sekadar mengharapkan penghargaan.

Ini pesanan ibu sebagai seorang ibu, bukan sebagai seorang guru bisnes semata-mata.

ASUH & DIDIK ANAK DI RUMAH ITU LAH YANG TERBAIK

"Mak Long, anak saya ni dah nak masuk umur 2 tahun. Kawan-kawan saya kebanyakannya dah hantar anak ke Prasekolah atau Playschool. Anak saya belum. Saya surirumah sepenuh masa jadi anak dengan saya je. Patutkah saya hantar anak saya juga supaya dia tidak ketinggalan nanti dari segi pelajaran? "

Begitulah seorang ibu melontarkan persoalan berkaitan anaknya kepada saya baru-baru ini.

Bagi saya, persoalan ibu itu menunjukkan sedikit kerisauan kerana menganggap bahawa anak yang ke Prasekolah atau Playschool akan lebih ke depan berbanding anak yang dijaga sepenuh masa di rumah.

Anak lahir dan membesar dalam keluarga. Pada pendapat saya, asuhan dan didikan awal di rumah oleh ibu bapa adalah yang TERBAIK.

Rumah adalah sekolah pertama dan ibu bapa adalah guru utama. Pada usia awal kanak-kanak bermain untuk belajar.

Apabila anak sudah bersedia di sekitar umur 4, 5 atau 6 tahun bolehlah di masukkan ke prasekolah. Ada juga ibu bapa yang memilih untuk terus mendidik anak di rumah atau  "homeschool" anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun senario hari ini menyaksikan ramai ibu yang bekerja memilih untuk menghantar anak-anak ke institusi sokongan seperti TASKA dan Playschool sejak bayi lagi. Ini ada kalanya menimbulkan kerisauan kepada ibu yang menjaga anak sepenuh masa di rumah. Strategi pemasaran oleh pusat jagaan kanak-kanak dan perkongsian di media sosial oleh ibu bapa berkaitan  pencapaian anak-anak menambahkan lagi rasa kekurangan dan kebimbangan.

Ibu yang tidak bekerja sebenarnya adalah orang yang sangat beruntung. Di rumah adalah syurga tempat isteri dan ibu melaksanakan amanah dan ibadah dengan lebih teratur dan tenang. Anak merasa lebih selamat dan aman kerana mendapat perhatian dan kasih sayang seorang ibu sepenuh masa. Mereka akan membesar dan berkembang dengan baik, insyaAllah.

Wanita yang berbakti kepada keluarga dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Apa pun wanita perlu bijak mengurus masa dan mengurus stres samada  menjadi surirumah sepenuh masa atau bekerja supaya dapat mengurus keluarga dengan baik apabila hak diri mereka dijaga.

Rumah juga adalah tempat anak membesar dalam konteks sosial,  membentuk akhlak dan abab. Keluarga adalah asas kepada pembentukkan peradaban manusia.

Perkasakan institusi keluarga. Kembalikan peranan ibu bapa.

Sila rujuk artikel saya yang berkaitan topik ini.

Artikel main sendiri itu penting- https://rentis.blogspot.com/2019/01/orang-kata-ibu-bapa-perlu-kreatif.html

Artikel media sosial mempengaruhi gaya keibubapaan-http://rentis.blogspot.com/2018/04/media-sosial-mempengaruhi-gaya.html

Wallahua'lam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu

Friday, January 18, 2019

Tegur Sebelum Jadi Kebiasaan

Orang kata: Ala budak-budak, biasalah, kadang-kadang bergurau  kasar.

Mak Long kata: TEGURlah anak-anak kita, tak kiralah anak siapa pun. Jangan ambil mudah. Ikut suka hati  nak bergurau tak kena tempat dan tak kena bahasa. Saja je nak sentapkan orang. Bergurau pun ada adabnya.

Sebagai orang dewasa kita bertanggungjawab untuk menegur bila nampak anak-anak kurang berADAB. Nanti boleh jadi kebiasaan hingga ke besar. Dengan orang tua atau guru pun boleh bergurau ikut suka hati.

Yang biasa boleh jadi kebiasaan.
TEGUR sebelum jadi kebiasaan.
Betulkan yang biasa. Biasakan yang betul.

Akhlak dan adab generasi kita mencerminkan cara didikan yang mereka terima. Renung-renungkan!

Wednesday, January 16, 2019

MAIN SENDIRI ITU PENTING

Orang kata: Ibu bapa perlu kreatif memikir dan menyediakan aktiviti untuk anak-anak dari awal usia.

Mak Long kata: Sesuatu yang NATURAL sudah menjadi semakin RUMIT.

Bukan maksud saya ibu bapa tidak boleh memikirkan dan menyediakan aktiviti untuk anak tetapi kadang-kadang terlampau sangat melayan sampai anak hilang daya usaha sendiri atau "grit" dalam banyak perkara.

Anak-anak fitrahnya pandai bermain sendiri dan pandai cari kawan untuk bermain. Mereka perlu main apa yang mereka mahu bukan apa yang ibu bapa mahu mereka main sahaja.(unstructured vs structured play).

Aktiviti yang dirancang untuk kanak-kanak adalah "structured play".  Biasanya ia dipandu mengikut arahan orang dewasa supaya kanak-kanak memperolehi sesuatu skil. Aktiviti lebih cenderung kepada perkembangan fizikal dan kognitif atau pemikiran.

"Unstructured play" pula bermaksud permainan yang terbit dari kemahuan (self-directed play) atau permainan kreatif yang memberi peluang pembelajaran yang sangat luas kepada kanak-kanak. Ia memberi pengalaman dari segi kreativiti, imaginasi, membuat keputusan, memahami emosi dan skil bersosial.

Kanak-kanak memiliki potensi besar untuk mempelajari sesuatu dengan baiknya apabila aktiviti yang dibuat itu adalah terbitan dari keinginan mereka sendiri.  Akal mereka berada dalam KESEDIAAN menerima maklumat atau pembelajaran.

Menurut Penyelidik Tossani, kanak-kanak boleh fokus lebih lama apabila mereka menentukan apa yang ingin dipelajari (3E-Explore, Experience and Experiment). Motivasi diri mereka juga lebih tinggi kerana mereka memilih apa yang mereka minat.

Naluri semulajadi mendorong kanak-kanak bermain permainan yang menyokong perkembangan mereka. Oleh itu ibu bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif dan bertindak sebagai pemudah cara bagi menyokong kebolehan dan potensi mereka.

Selebihnya anak suka bersama ibu bapa dalam rutin kehidupan setiap hari seperti memasak, mengemas dan berkebun. Dalam rutin ada PROSES yang sarat dengan pengajaran dan pembelajaran seperti mengikut arahan, tolong menolong dan mengambil giliran. Ibu bapa perlu berhubung, berinteraksi, berkomunikasi dan menyantuni anak dengan amalan yang bersesuaian dengan perkembangan anak (ABP) dalam proses kehidupan seharian.

Zaman berubah tetapi FITRAH manusia tetap sama. PERKASAkan institusi keluarga dan raikan fitrah anak. Rumah dan kejiranan tempat anak membesar. Kembalikan zaman kanak-kanak kepada anak-anak kita. Itu HAK mereka.

" Anak yang tidak dibenarkan bermain itu akan mati jiwanya"- Imam Al-Ghazali.

"Children are biologically designed to educate themselves through play and exploration. We don't need to educate them, we need to provide the conditions to allow them to educate themselves"-Peter Gray, author of "free to learn"

Wallahu'alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Thursday, January 10, 2019

Layan VS Tegas

Orang kata: Layanlah karenah anak kerana anak perlukan perhatian.

Mak Long kata: Layanan perlu bertempat juga. Anda perlu bertegas untuk tidak melayan amukan dan karenah anak yang tak perlu. Jika tidak ia akan menjadi MASALAH tingkah laku.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Wednesday, January 9, 2019

ANAK YANG MEMPERTAHANKAN HAK DIRINYA HARUS DIADILI DENGAN HIKMAH


Teringat kisah Mak Long ketika konsultansi di sebuah TADIKA beberapa tahun yang lepas.

Murid 6 tahun sedang membuat kerja iaitu menulis dan mewarna. Tiba-tiba kedengaran suara seorang budak perempuan menangis.

"Cikgu, Kaisah tak bagi Alia pinjam colour dia" Maryam laungkan aduannya pada cikgu.

"Alia! tak baik gitu. Kita kena berkongsi. Berilah Alia pinjam ya" arah cikgu tu dari meja guru.

Cikgu itu kemudian menoleh pada saya dan menyatakan bahawa Alia  memang kedekut sikit.

Saya mengambil inisiatif mendekati meja kumpulan Alia dan kawan-kawannya seraya bertanya "Apa yang berlaku, boleh cikgu bantu?"

"Ini colour abang saya cikgu. Abang saya beli harga 7 ringgit." jawab Kaisah dengan nada tegas sambil memegang colour dan menjeling pada Alia. Alia masih menangis.

"Oh! Kaisah nak jaga colour abang tu dengan baik ya" jawab saya dengan nada memahami. Kaisah mengangguk.

"Alia minta izin dulu tak tadi sebelum mengambil pensil warna abang Kaisah?"  tanya saya sambil memandang mata Alia. Alia mengalihkan pandangan tapi mengelengkan kepala dengan perlahan. Saya tersenyum. Geli hati pun ada.

"Baik, kalau Alia minta izin dahulu dan Kaisah beritahu Alia supaya guna dengan elok dan kemudian selepas guna masukkan balik dalam bekas, boleh tak Kaisah pinjamkan Alia pensil warna tu?"

"Boleh" ujar Kaisah dengan yakin.

Saya mendorong Alia untuk minta izin dan beri peluang Kaisah terangkan peraturan menggunakan pensil warna abangnya.

Alia berhenti menangis. Saya meninggalkan meja mereka. Tidak lama kemudian kelihatan mereka berkawan semula dan nampak seronok berkongsi dan menyiapkan tugasan.

Mudah sahaja untuk kita orang dewasa melabel kanak-kanak tanpa mendekati, memahami dan mengenalpasti punca masalah.

Apa yang adik Kaisah lakukan adalah  mempertahankan haknya dan bertanggungjawab terhadap harta abangnya yang dipinjam. Itu adalah sikap yang baik. Dia bukanlah kedekut tetapi sebenarnya inginkan kawan-kawan menghormati haknya dan sama-sama menjaga barangnya.

Ini adalah penting kerana anak-anak membina rasa hormat pada diri sendiri dan mahukan orang lain menghormati hak dirinya. Kita tidak boleh menyalahkan anak jika berbuat begini dan anak juga tidak salah mempertahankan haknya. Seringkali yang berlaku adalah sebaliknya. Anak yang menpertahankan haknya dipersalahkan dan anak yang tidak menghormati hak orang lain seolah-olah di"benar"kan tindakan mereka. Ini adalah TIDAK ADIL.

Allah memberi perasaan yang berbeza-beza adalah antaranya untuk kita menjaga hak diri. Contoh Kaisah marah apabila kawannya Alia mengambil pensil warnanya tanpa izin dan Kaisah ingin menjaga pensil warna abang yang dipinjam.

Kita sebagai ibu bapa dan pendidik perlu ingat apa yang nampak itu selalunya bukan punca masalah. Kita perlu lebih peka dan mencari punca serta membimbing anak dan berlaku adil. Anak mudah mengikut jika fitrahnya difahami, hak dirinya diberikan dan dirinya diadili dengan hikmah.

“Sesungguhnya Allah memerintahkan (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan) serta membantu kaum kerabat. Dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu, agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl ayat 90)

Ibu bapa dan guru adalah pemimpin. Santuni anak dengan amanah, ihsan dan adil.

Wallahu'alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu