Friday, October 30, 2026

BILA BAIK ITU MEMENATKAN



Pernah tak kita terlalu menjaga hati orang lain, sampai kita lupa hati sendiri juga perlu dijaga?

Kita mengalah, walaupun kita yang terluka.
Kita kata "tak apa", walaupun sebenarnya kita penat.
Kita tetap bantu, walaupun diri sendiri sedang bergelut.

Kita takut orang kecewa. Takut dianggap mementingkan diri. Rasa bersalah hanya kerana terpaksa berkata "tidak".

Lama-lama, kita jadi tempat semua orang bergantung harap, tapi tak ramai yang sedar betapa penatnya kita.

Hakikatnya, menjadi baik tidak bermaksud perlu mengorbankan diri tanpa batas.

Bila terlalu sibuk menjaga emosi orang lain, kita mula abaikan emosi sendiri. Kita pendam rasa tidak puas hati, kita kumpul kecewa, kita simpan penat tanpa pernah diluahkan.

Tanpa sedar, kita mula letakkan nilai diri pada sejauh mana orang lain menyukai kita.

Kita rasa berguna hanya apabila diperlukan.

Kita takut ditinggalkan jika tidak lagi membantu.

Kita sukar menolak kerana bimbang kasih sayang orang lain akan hilang.

Sedangkan, orang yang baik juga berhak ada batas. Berhak untuk berehat. Dan berhak untuk berkata tidak.

*Dalam Islam sendiri, Allah mengingatkan kita:*

> *لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا*
> _"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."_
> *(Surah Al-Baqarah: 286)*

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berbuat baik juga perlu mengikut kemampuan diri. Kita tidak dituntut untuk memikul beban yang melebihi daya kita, apatah lagi sehingga menzalimi diri sendiri.

Belajar bezakan:

Membantu dengan memikul semua beban orang lain itu berbeza.
Bertolak ansur dengan membiarkan diri dipergunakan itu berbeza.
Menjaga hubungan dengan mengorbankan kesejahteraan diri itu juga berbeza.

Kita tidak akan mampu buat semua orang gembira. Akan ada orang yang tetap tidak puas hati, walaupun kita sudah beri yang terbaik.

Jadi, anda masih boleh jadi orang yang baik tanpa perlu kata "YA" pada semua perkara.

Belajarlah untuk berkata:

"Maaf, saya tak mampu bantu kali ini."

"Saya perlukan masa untuk diri sendiri."

"Saya faham keadaan awak, tapi saya juga ada batas."

Itu bukan bermaksud kita kejam. Itu bermaksud kita sedang belajar menghormati diri sendiri.

*Soalan untuk renungan:*
Adakah anda berbuat baik kerana ikhlas, atau kerana takut orang tidak lagi menyukai anda jika anda berhenti memenuhi kehendak mereka?

Jangan hanya belajar menjadi baik kepada orang lain. Belajar juga menjadi adil kepada diri sendiri kerana diri anda beeharga dan anda juga berhak bahagia dan berjaya.

Jaga diri ya.

Sayang kamu
🌹ML
#closetoyourheart 
_Menemani Luka, Merawat Jiwa._
#KesihatanMental #MLSharing

No comments: