Monday, October 1, 2018

Fitrah Sayangku

Fitrah Sayangku

Sayang,
Tika kau lahir
Tanganmu mengenggam erat
Laluku buka jari jemarimu
Ku beri kau sentuh pipiku
Dan pelbagai tekstur

Kau mula mengapai
Ku galakan kau mencapai
Mainan pilihanmu
Ku sediakan kerincing
Pelbagai bunyi
Untuk kau ketuk berulang kali

Kau memegang objek
Ku berikan mainan
Yang berwarna dan berbentuk
Untuk kau manipulasi
Moga menyeluruh perkembanganmu

Kau membuka dan menutup jari-jarimu
Ku nyanyikan lagu tradisi
“Cekur dan gamit ,
minta cekur beri kunyit”
Gelagatmu menciut hatiku
Ku cium pipimu
Tanda penghargaan dan kasih

Kau mengutip dengan tiga jari
Kau beri kau makan sendiri
Biar bersepah
Tak mengapa sayang
Agar kau mahir dan bertambah lembut jari jemarimu

Kau melepaskan barang
Ku galakan kau berlatih
Memasukkan dan mengeluarkan
Mainan dari bekas
Agar kuat otot jarimu

Kau pandai menconteng
Ku berikan krayon dan kertas
Ku terima dan puji apa saja usahamu
Ku hiaskan dinding rumah kita
Dengan karya senimu
Agar kau bertambah yakin

Kau pandai mengoyak
Ku berikan kertas
Untuk kau koyak
Supaya semakin halus skilmu

Kau suka meramas
Ku berikan span dan air
Agar kau berlatih
Ku buatkan doh
Agar kau membentuk
Dan mencipta sesukamu

Kau suka menuang
Ku sediakan cawan dan air
Agar kau lakukan sendiri
Kau menumpahkan
Ku berikan peluang
Kau menyelesaikan masalah
Agar kau berfikir
Ku sediakan peralatan mengelap
Agar kau bertanggungjawab

Kau mengetuk-getuk
Ku berikan apa minatmu
Untuk kau ketuk
Dan membezakan bunyi

Kau mula bertatih
“ Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi”
Alunan laguku
Mengiringi gerakmu

Langkahmu makin tegap
Kau berlari ke sana ke mari
Ku kejar langkahmu tanpa jemu
Ku bawa kau ke alam
Biar kau meneroka persekitaranmu
Agar kau kenal Penciptamu

Bila kau jatuh
Ku galakkan kau bangkit
Lari lagi sayang
Ku beri semangat
Kau mengadu calar kakimu
Ku cium lukamu
Penawar tangismu

Kau bercakap dan bertanya
Ku layan keletahmu
Ku bacakan buku cerita
Agar meningkat bahasamu

Sayangku,
Kau terus membesar
Ku rangsang dirimu
Ke asah bakatmu
Ku pupuk potensimu
Ku asuh fitrahmu
Ku santuni adab dan akhlakmu
Diiringi doa tanpa henti
Kerana
Kau insan hebat
Kau khalifah bumi tercinta
Kau pewaris perjuangan
Kau amanah buatku
Kau cahaya mataku.

Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: