Wednesday, October 31, 2018

BERMAIN-Dr Fb Hazhari Ismail

Dari fb Hazhari Ismail

“Adik belajar apa kat sekolah hari ini?”

"Hari ini main je. Hari-hari main”

Sesi pembelajaran dan sampai ke penghujungnya. Pernah tak tanya soalan begini kepada anak-anak? Jika pernah, Alhamdulillah, anda seorang ibu bapa yang sangat prihatin kepada mereka. Sekurang-kurangnya, anda ambil tahu segala aktiviti dan perkembangan anak di sekolah, serta tidak meletakkan semua tanggungjawab di pundak para cikgu. 

Tapi, yang menjadi masalah apabila ibu bapa tidak faham konsep bermain.

“Asyik main je, tak belajar ke?”

Masih membezakan bermain dan belajar. Kata mereka, bermain itu bukan belajar. Bermain tidak berpotensi meningkatkan daya fikir anak-anak. Kanak-kanak perlu belajar. Belajar itu perlu duduk di dalam kelas, membaca, mengira, menulis etc. Itu fahaman mereka.

“Cikgu, buat apa saya bayar tadika mahal-mahal kalau anak saya asyik bermain je di sekolah?”

Pening cikgu-cikgu nak menghadap karenah ibu bapa yang pelbagai. Tidak mengapa cikgu, tugas mu mulia. Fahamkan mereka.

Kenapa kita susah nak faham ya? Sebab zaman kita, telah disogokkan yang bermain dan belajar itu berbeza. Dan, kita terus-menerus terapkan doktrin yang salah ini kepada anak-anak.  Percayalah, kalau ia masih berterusan, tidak tergamak saya katakan padangan dhaif ini akan berlanjut ke cucu cicit.

Kanak-kanak itu sifatnya aktif. Mereka mengkaji, mencari, mencipta dan berfikir. Maka cikgu perlu juga aktif menyediakan pelbagai aktiviti yang variasi supaya perkembangan anak tidak sia-sia. Bayangkan kalau anak-anak hanya duduk membaca di dalam kelas tanpa ada aktiviti, bagaimana otak mereka akan aktif? Jangan salah kan mereka kalau mereka nampak lembik dan lemau. Bukan fizikal sahaja lembik dan lemau, otak mereka pun sama. Tak dapat berfikir secara kreatif dan kritis.

Tatkala seluruh dunia percaya Bermain adalah pedagogi yang berkesan kepada kanak-kanak, malah dah dikembangkan kepada outdoor play, risky play dan sebagainya, kita menidakkannya. Atas dasar konsep ini tidak pernah selari dengan budaya. Tidak menepati akal fikir dan jiwa rakyat Malaysia. Tidak kisahlah walaupun telah disahkan prestasi pendidikan rakyat Malaysia antara yang tercorot di dunia, kita perlu setia dengan budaya. Maka, Bermain bukan budaya kita. Cam gitu ke?

Sedarlah. Bermain itu tidak perlu menepati ciri-ciri budaya sebuah bangsa. Kerana itu adalah fitrah si anak kecil, impaknya adalah seluruh kehidupan si anak.

Dan Bermain itu sebahagian daripada belajar. Jangan beza-bezakan. Biarkan mereka bermain. Galakkan mereka bermain. Jangan halang. Pandang anak-anak dengan kasih sayang, bukan dengan dangkal akal dan sangka.

“Adik belajar apa kat sekolah hari ini?”

"Hari ini  adik main. Hari-hari main”

“Alhamdulillah..”

No comments: