Monday, September 24, 2018

FITRAH DAN PERKEMBANGAN EMOSI ANAK

" Aisyah sejak dapat adik ni asyik merengek je terutama ketika saya menyusu adiknya. Masa itulah dia suruh saya bacakan buku cerita. Kadang-kadang Aisyah pukul adiknya tapi dia juga menunjukkan rasa sayang contohnya dia tak bagi orang lain pegang adik dia." Puan Aida mengadu kepada saya berkaitan anak sulongnya Aisyah (2 1/2 tahun ) yang baru dapat adik 2 minggu yang lepas.

Situasi seperti ini adalah normal dan sesuai dengan fitrah anak kecil seusia Aisyah yang menunjukkan emosi sayang dan pada masa yang sama cemburu dengan adiknya.

Emosi seperti gembira, sedih dan takut adalah reaksi yang subjektif terhadap pengalaman yang berkaitan dengan perubahan psikologi dan tingkah laku (Sroufe, 1997). Bagaimana seseorang menunjukkan emosi terhadap sesuatu peristiwa atau keadaan banyak dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya.

Bayi dibekalkan emosi asas iaitu gembira, sedih, takut, dan marah untuk memulakan kehidupan. Emosi awal yang ditunjukkan bayi memberikan petanda penting kepada perkembangan selanjutnya. Bayi menangis apabila lapar  atau tidak selesa. Respon sewajarnya yang diberikan oleh penjaga membuat bayi rasa selamat. Dengan ini bayi membina kawalan diri dan perhubungan yang baik dengan orang lain.

Seperti perkembangan fizikal, bahasa dan kognitif, perkembangan emosi juga berlaku secara berperingkat. Empati, dan cemburu hadir hanya selepas kanak-kanak mencapai tahap kesedaran kendiri atau "self-awareness" iaitu tahap apabila seorang kanak-kanak mula sedar bahawa mereka adalah individu yang berbeza dan tindakan mereka memberi kesan kepada orang lain. Ianya bermula sekitar usia 15 hingga 24 bulan. Ini juga fitrah sesuai dengan keperluan hidup seorang anak yang semakin membesar. Seperti perasaan cemburu Aisyah timbul sesuai dengan usianya mendapat adik.

Emosi cemburu yang ditunjukkan Aisyah memberi petunjuk kepada ibu bapanya untuk lebih peka kepada perasaan Aisyah dan berlaku adil. Apapun pada masa yang sama kanak-kanak perlu belajar mengurus emosi. Dalam situasi Aisyah yang meminta dibacakan buku ketika ibunya menyusu adik, ibu boleh memberikan buku bergambar dan menggalakkan Aisyah melihat gambar dahulu sementara ibu menyusukan adik. Usai menyusu, ibu  meletakkan adik dan beri perhatian kepada Aisyah pula dengan membacakan buku cerita. Dengan ini Aisyah belajar bertolak ansur, bersabar serta merasa dirinya diberi perhatian dan tidak merasa terpinggir. Proses ini juga membantu Aisyah menerima dan menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli keluarga yang baru.

Sekitar 3 tahun, kanak-kanak akan memperolehi lebih banyak pengetahuan berkaitan adab,  budaya dan peraturan dalam persekitaran sosial. Mereka semakin mahir menilai pemikiran, kehendak, dan tingkah laku yang diterima. Kemudian emosi seperti rasa bersalah, bangga, malu dan emosi yang lebih kompleks terus berkembang sesuai dengan umur dan tahap kesediaan mereka.

Emosi yang ditunjukkan anak perlu diterima dan ditangani dengan bijak. Ibu bapa harus peka, memahami, memenuhi keperluan dan membantu anak mengurus emosi dengan baik sejak kecil.

Perkembangan emosi  mempengaruhi aspek perkembangan yang lain. Emosi yang sihat melahirkan anak yang cergas dan cerdas.

Wallahu'alam.

No comments: