Semalam anak saya Muhammad Firdaus (19) kembali dari bercuti dan menghadiahkan bunga hidup yang dibeli dari Cameroon Highland. Ada yang untuk ditanam dan ada untuk hiasan dalam.
Saya suka bunga hidup untuk hiasan dalam dan luar rumah. Elemen alam yang sangat cantik dan menenangkan.
Bunga hidup juga sentiasa berubah. Semalam bunga ros contohnya belum mekar sepenuhnya. Setiap hari ada perubahan yang berlaku. Ini adalah rangsangan yang memberi input yang berlainan kepada otak anak.
Ianya juga baik untuk perkembangan deria anak dan pemahaman dunia persekitaran anak.
Anak-anak perlu didedahkan dengan nilai estetika. Nilai estetika timbul dari keindahan suatu objek yang di lihat. Keindahan yang dilihat akan dicerap oleh otak melalui pancaindera dan menilai seberapa indah objek tersebut.
Saya juga suka melukis elemen alam. Selain hiasan rumah, saya menjadikan bunga-bunga sebagai objek untuk anak-anak berkreatif menggunakan pelbagai alat seperti krayon, pensil warna, berus, span dan warna air. Cara ini sangat bagus berbanding dengan hanya mewarna sahaja dengan pensil warna.
Anak yang mempunyai nilai estetika akan menghargai keindahan. Mereka juga in syaa Allah melihat kebesaran Allah SWT dan berusaha menjaga keindahan alam ini.
Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya Allah itu cantik, Ia suka kepada yang cantik"- Riwayat Muslim.
Santuni dan raikan fitrah anak.
Sekian.Wallahua'lam.
Rosnah Ahmad
No comments:
Post a Comment