Mendekati anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam kesibukan kita ibu bapa menjalankan tanggungjawab bekerja dan menguruskan rumahtangga, kadang-kadang kita hilang keseimbangan dan anak-anak rasa terpinggir. Apabila ini berlaku anak-anak akan sengaja melakukan perkara-perkara yang memeningkan kepala ibu bapa hanya sekadar ingin menarik perhatian mereka.
Salah satu cara yang telah saya amalkan untuk mendekati dan membuatkan anak-anak rasa isimewa adalah keluar dengan seorang anak secara bergilir-gilir. Contohnya hari ini saya menghabiskan sepetang bersama anak sulung Nurin Husna yang berusia 9 tahun. Kami pergi membeli-belah dan makan bersama. Sepanjang tempoh itu saya banyak memberi nasihat, kata-kata perangsang dan motivasi.
Saya juga memberi keutamaan pada anak untuk membeli keperluan peribadinya yang munasabah. Anak-anak merasai diri mereka sangat dihargai dan istimewa kerana bila keluar beramai-ramai mereka hanya mengikut sahaja dan ibu bapa selalunya mengutamakan keperluan keluarga.
Kadang-kadang rasa kasihan apabila melihat ada anak yang ketinggalan jauh di belakang semasa mengikut ibu bapa mereka membeli belah.
Saya dapati anak-anak lebih mudah meluahkan isi hati mereka dengan cara ini. Anak-anak saya juga sudah memahami dan sedia bergilir untuk keluar bersama saya. Seronok melihat anak rasa dihargai dan memegang erat tangan saya semasa berjalan bersama.
Saya usaha lakukan tip ini sebulan sekali tapi kadang-kadang ada anak yang memerlukan perhatian yang lebih kerana beberapa faktor seperti semasa kami baru dapat anak ketiga. Muhammad Firdaus, anak kedua saya pada ketika itu berusia enam tahun merasa agak tersisih dan cepat terasa. Jadi saya lakukan dengan lebih kerap. Kadang-kadang kalau tak berkesempatan untuk keluar saya mengajak anak berjalan-jalan keliling kawasan perumahan dan berbual dari hati ke hati.
Wallahua'lam.
Rosnah Ahmad
rentis.blogspot.com
Artikel tip keibubapaan 2004 edited...
No comments:
Post a Comment