Sunday, July 22, 2007

AWAS APA YANG KITA FIKIRKAN

Oleh Rosnah Ahmad

Kebelakangan ini saya banyak mendapat jemputan untuk ceramah, forum dan bengkel dan agak sibuk sedikit.

Saya masih baru dalam dunia penyampaian ini. Jadi masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan persediaan mestilah mantap. Peserta datang dari pelbagai latarbelakang yang berbeza dan setiap penyampaian mestilah berbeza.

Biasanya apabila pertama kali membuat penyampaian untuk satu topik baru akan membuatkan saya mengalami pelbagai emosi-- syukur, gementar, stres, bimbang dan sebagainya.

Dua minggu lepas setelah tidak sampai sebulan pulang dari TOT Mahligai Kasih yang dikendalikan oleh Pak Utih, saya mendapat jemputan memberi ceramah berajuk Mahligai Kasih( memahami suami 1) untuk staf wanita dan isteri staf sebuah IPTA di Kuantan. Peluang mesti direbut. Satu topik yang sangat saya gemari kerana dekat dengan diri dan pengalaman akan banyak membantu.

Seminggu sebelum Mahligai Kasih, saya membuat persiapan rapi. Sepanjang .
minggu saya membaca, menyediakan nota penyampaian dan banyak berdoa untuk ilham dan bantuan Allah.

Satu hari saya pergi membeli belah untuk sepasang baju baru. Ini bagi menyahut saranan Pak Utih tentang menjaga imej diri sebagai penceramah. Saya membuat keputusan untuk membeli sehelai jubah berwarna kelabu kerana teringat motivasi oleh Dr Hj. Mohd Fadzillah Kamsah bahawa warna kelabu adalah menenangkan dan ada elemen penyembuhan. Saya yakin saya akan mendapat baju yang dihayati di sebuah gedung membelah belah di sini.

Ketika mencuba sepasang baju di sebuah butik, seorang gadis jurujual datang kepada saya dan berkata “ cuba akak pakai jubah ni”. Dia menyerahkan saya sehelai jubah yang berwarna kelabu dan bila saya mengenakannya, ia seperti dibuat untuk saiz saya dan harganya adalah sepertimana bajet saya.

Alhamdulillah saya dapat membeli sehelai jubah sebagaimana yang saya fikirkan. Kebetulan ia boleh dipadankan dengan tudung yang telah dibeli beberapa minggu lepas. Ini membantu saya untuk berasa lebih yakin semasa penyampaian nanti.

Sehari sebelum program Mahligai Kasih, ketika memandu saya memikirkan tentang semua persiapan dan entah mengapa saya berkata dalam fikiran “ Kalaulah sedang saya menggosok nanti terbakar tudung, mesti saya tak dapat mengenakan tudung yang sesuai dengan jubah yang saya beli ”.

Malamnya saya menggosok baju dan tudung. Saya mulakan dengan tudung. Tiba-tiba apa yang dikhuatiri benar-benar berlaku. Tudung saya terbakar kerana seterika terlalu panas. Rupa-rupanya anak saya telah menukar “setting” pada seterika kepada kepanasan yang tinggi dan saya tidak periksa dulu sebelum menggosok tudung. Hati saya terdetik. Inilah fikiran saya tadi dan menjadi doa. Akhirnya ianya benar-benar terjadi.

Cuba untuk bertenang saya berkata perkara telah berlaku apa yang patut saya lakukan adalah berfikiran positif. Tudung yang lebarnya 60 inci itu saya jahit bahagian koyaknya kerana terbakar yang bersaiz lebih kurang 2x 2 inci. Kemudian melipatnya dibahagian dalam. Alhamdulillah saya masih boleh memakainya tanpa kelihatan cacat.

Saya sepatutnya telah belajar dari kejayaan saya ketika membeli baju yang saya idamkan. Saya membayangkan baju yang saya kehendaki dan di mana saya akan dapatkan dan berjaya mendapatkannya.

Tetapi resam manusia, biasanya baru tersedar jika yang buruk terjadi berbanding dengan yang baik.

Menyedari peri pentingnya untuk selalu berfikir yang positif, saya berkata bahawa program Mahligai Kasih besok akan berjaya dijalankan. Semua peserta akan suka kepada cara saya dan mereka akan menjemput saya lagi. Semuanya akan berjalan lancar.

Alhamdulillah apa yang saya katakan menjadi. 118 orang peserta bersama saya hingga ke akhir. Saya mendapat maklum balas yang cukup baik sekali. Ahli Jawatankuasa pengelola program berjanji untuk menjemput saya untuk program Mahligai Kasih (memahami suami 2). Mereka juga berjanji akan menjemput saya untuk mengendalikan program keibubapaan setelah mengetahui latar belakang saya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Mudah sekali untuk gagal. Fikirkan kegagalan dan kita akan gagal. Jadi berhati-hati tentang apa yang kita katakan pada diri kita. Besar implikasinya. Sebenarnya ia adalah minda sedar kita mengatakan dan mendorong minda luar sedar kita untuk tunduk kepada fikiran kita.

Itulah “ the power of subconsious mind”

Saya ke Kuala Lumpur minggu lepas dan pergi “book hunting” di KLCC. Membeli beberapa buah buku termasuk “ The Power of Subconscious Mind” ( Dr Joseph Murphy and revised by Dr Ian Mc Mahan)

Antara yang dinyatakan dalam buku ini adalah:
Your mind is your precious possession.
The Law of live is the law of belief. A belief is a thought in your mind. Do not belief in things that will harm or hurt you. Believe in the power of your subconscious to heal, inspire, strengthen and prosper you
Change your thought, and you change your destiny.

Sebagai seorang Islam kita juga disarankan untuk berfikiran, bersangka dan berdoa yang baik-biak. Sepertimana hadis 1 Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap perkara mestilah dimulakan dengan niat. Insya-Allah ia akan menggerakkan diri untuk melakukan sepertimana yang diniatkan.

Mulakan setiap hari dengan niat-niat yang baik dan akhiri dengan muhasabah dan hasrat yang baik-baik sebelum tidur. Inilah jalan yang membawa kepada kejayaan, kesihatan, kekayaan, kebahagiaan dan ketenangan yang abadi. Kita akan sentiasa merasa dekat dengan pencipta kita. Maha suci Allah yang telah menjadikan kita dengan sebaik-baik kejadian. Yakinlah bahawa sumber kejayaan dan ketenangan itu ada dalam diri kita. Gali dan gunakan ia untuk mendapat redaNya.

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredai. Serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurga ku..”- Surah Al-Fajr ayat 27-30

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
Tadika dan Pusat Jagaan Nur Iman
Selasa 22 Rabiulawwal 1428H
10 April 2007
12.00 Tengah hari

2 comments:

Arenis said...

Pn Rosnah, boleh saya dapatkan no fon tadika n pusat jagaan nur iman. Lokasinya di mana? TQ.

Rosnah Ahmad/Mak Long said...

Tadika dan Pusat Jagaan Nur Iman terletak di No 2 dan 4 Lorong Berjaya Permai 2, Taman Berjaya Permai, Kuantan 25150, Pahang. Tel-013-9308873