Wednesday, October 11, 2023

BUAT KAMU YANG SERING MEMIKIRKAN ORANG LAIN SEBELUM DIRIMU

Petikan dari buku "Tentang Pergi" oleh Hafizul Faiz

BUAT KAMU YANG SERING MEMIKIRKAN ORANG LAIN SEBELUM DIRIMU

Buat kamu yang sering meletakkan rasa orang lain melebihi dirimu.

Buat kamu yang sering menghulur tangan,sedang tangan yang kamu hulur itu sudah tidak berupaya memegang 

Buat kamu yang sering cuba menyatukan, mesti kamu terpaksa dipersalah, disalah anggap dan dijadikan watak jahat dalam cerita seseorang.

Buat kamu yang tidak tahu batas berbuat kebaikan, hingga orang lain bisa sahaja mengambil kesempatan.

Buat kamu yang malam-malamnya runsing memikirkan perihal orang lain, hingga tidak punya masa memikirkan perihalmu sendiri.

Aku tahu rasanya bagaimana -- lelah kerana asyik memberi, dan untuk melawan rasa aneh saat bertanya apa pula yang kamu perolehi, kamu terus memberi lagi.

Aku tahu ada bahagia yang tumbuh dari dasar jiwa, saat kamu berhasil menjadi cahaya bagi setiap raga.

Namun aku merayu, kali ini, berehatlah sementara waktu.

Agar kamu tidak lupa bahawa dirimu juga perlu waktu. Dirimu juga perlu kasih dan penghargaan, dan juga pelukan.

Kerana aku khuatir saat tanganmu sering berbuat sesuatu kepada orang lain, nanti yang diingat cuma tanganmu, bukan hatimu.
.
.
"Yang indah itu lahir dari hati yang damai"-Mak Long
.
.
🌹Mak Long
rentis.blogspot.com
#closetoyourheart

No comments: