2020 akan meninggalkan kita. Tahun yang memberi pelbagai cabaran dan dugaan. Juga tahun yang membawa erti dan pengajaran bagi sesiapa yang mahu mengambilnya.
Saya juga sangat terkesan dari segala segi. Kesihatan, perasaan, pemikiran, kewangan dan perhubungan.
Apa pun saya bersyukur kerana 2020 menemukan kembali diri saya yang hilang. Saya menemui juga keajaiban alam yang sudah lama saya miliki tetapi tidak begitu saya hargai.
Ya, alam yang melaluinya saya menyegarkan diri, meluahkan rasa dan mendapatkan ilham.
Saban pagi saya akan ke laman kecil rumah kami. Sesuatu yang saya tunggu. Ibarat anak kecil yang tidak sabar menunggu pagi untuk bermain di alam.
Laman Mak Long yang kecil itu cukup membahagiakan.
"My sanctuary. A place where I retreat, being mindful and feel His presence."
Berjemur di bawah sinaran mentari pagi menyegarkan sekali. Apa sahaja masalah seakan terluah. Alam yang sedia mendengar dan membisikkan harapan baru.
Laman kecil kami sudah semakin menghijau. Mekar dengan bunga-bungaan dan pepohonan yang mengundang burung-burung yang berkicauan dan unggas yang berterbangan.
Alam menjadi teman sejati. Damai jua hati ini. Alhamdulillah.
Sesungguhnya, Tuhan, alam dan manusia tidak boleh dipisahkan.
Selamat datang 2021.
"Get connected. Execute!"
🌹Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringYou
No comments:
Post a Comment