Segalanya bermula kira-kira 26 tahun yang lalu.
Pada satu malam, sedang Mak Long (saya bahasakan diri dengan panggilan Mak Long) kusyuk membaca buku A Book Of Child Care” oleh Dr Hugh Jolly, tiba-tiba kedengaran getus suami Mak Long (lebih dikenali dengan gelaran Pak Awang) “Nah ni bila dah lahir anak nanti kalau tak reti juga jaga anak, abang tak tahulah”. Ketika itu Mak Long sedang sarat mengandungkan anak sulong kami Nurin Husna.
Tahun 1995, the good old days, zaman sebelum adanya internet dan smartphone. Membaca buku, majalah dan suratkhabar adalah sumber ilmu, maklumat dan hiburan ketika itu. Saban hari Mak Long berusaha membaca bagi menyiapkan diri sebagai seorang ibu yang sudah sekian lama Mak Long impikan.
Mak Long berkahwin pada usia 28 tahun dan Pak Awang berusia 33 tahun. Pada usia begitu kami sangat teruja dan menganggap kami sudah bersedia untuk mempunyai anak.
Namun, segalanya tidak seperti yang dijangkakan. Mak Long akur bahawa menjadi ibu bukan seperti yang diimpikan dan bukan mudah untuk mempraktikkan ilmu yang ada.
Menjaga si kecil pada awal kelahiran sahaja sesuatu yang sangat menguji. Mak Long sendiri sudah tidak mempunyai ibu untuk dirujuk di dalam pantang. Anak kami Nurin Husna pula seorang bayi yang perut meragam(cholic). Tiga bulan pertama tidak tidur lena, asyik menangis saja. Ada kalanya sepanjang malam langsung tak lena. Sudah tiada beza siang dan malam kami. Segalanya berpusatkan keperluan dan ragam si kecil.
Then I had an aha moment.
“Jika aku yang menyiapkan diri dengan ilmu menghadapi kesukaran begini, bagaimana pula orang lain yang tiada ilmu.”
Mengandung anak kedua selepas 11 bulan menambahkan lagi cabaran. Hakikat sebenar kehidupan berumahtangga semakin kami rasai. Maka bermulalah kehidupan berkeluarga kami yang penuh warna warni. Kami harungi jua suka duka dalam ketidaksempurnaan dan segala kepayahan.
Kemudian timbul satu kesedaran diri. Ilmu sahaja tidak mencukupi. Ianya perlu disertakan dengan kemahiran daripada orang yang lebih berpengalaman dan ibu bapa perlukan sokongan dalam membesarkan anak-anak. Tapi di manakah perkara-perkara ini boleh didapati?
Mak Long tiada pilihan. Memilih untuk menjadikan masalah sebagai peluang untuk berubah ke arah kebaikan atau terus tertekan dengan keadaan.
Bermulalah langkah meneroka dan membina skil keibubapaan sendiri. Bukan mudah. Banyak proses muhasabah dan mujahadah yang perlu dilalui.
Membuka TASKA pada tahun 1997 dan menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-knak (KAAK) memberi kesedaran yang lebih tinggi. Banyak sekali yang Mak Long perlu pelajari berkaitan pertumbuhan dan perkembangan anak daripada jurulatih-jurulatih bertauliah dan berpengalaman.
Mak Long berazam mengamalkan kemahiran yang dipelajari kepada anak-anak sendiri dan anak-anak di TASKA.
Kemudian Mak Long berjinak-jinak dengan penulisan untuk berkongsi pengalaman dengan tajuk "Tip Keibubapaan" di blog sendiri rentis.blogspot.com dan berazam menjadi seorang juruatih yang bertauliah.
No comments:
Post a Comment