Friday, February 22, 2019

I FEEL YOU

I FEEL YOU
Rosnah Ahmad/Mak Long

I know...
What it is like
To be there
In a dark place
So alone...

I know what it is like
In fact...
I was there many times
Don't know where to grasp
I lost hope
They say...
There is light at the end of the tunnel
Yet...
I can't see it

My friend,
Reach in
Search your soul
There is always light
It is there
Have faith

My friend,
Reach out
There is always a shoulder to cry on
Someone who is willing to listen
Have some trust

My friend,
Hold on...
Do not lost hope
For His help is always near

My friend
Be there for me too
One day I might need you
Help me through
Don't make me fall too far
Pull me back up
I need you...
Reach out to me
Help me to reach in
After all, what are friends for

My friend,
Let us stay true
To each other
Only for the sake of...
The Light.

Thursday, February 21, 2019

KATAKAN "JANGAN" BILA PERLU

Orang kata: Elakkan daripada berkata "JANGAN" pada kanak-kanak kerana ianya akan menyekat perkembangan mereka.

Mak Long kata: Ada ketikanya kita PERLU berkata "JANGAN" pada anak-anak bagi tujuan mendidik, menegur dan menetapkan had dan peraturan.

1. Menerapkan akhlak dan adab.

Ya, anak-anak kecil membentuk sahsiah dari kebiasaan. Contoh: katakan "jangan" pada anak yang suka menyampuk orang tua sedang bercakap. Kemudian jelaskan mengapa perbuatan itu ditegah dan ajarkan cara yang betul.

2. Apabila anak tidak mengikut syariat Islam.

Contoh: Anak yang sudah baligh tidak menutup aurat dengan betul. Peringatkan anak tentang syariat atau peraturan menutup aurat dalam Islam.

3. Apabila anak membahayakan diri sendiri dan orang lain
.
Anak kecil belum boleh menilai banyak perkara. Jadi berkata  "jangan" dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.

Contoh: Anak 2 tahun yang menolak kanak-kanak lain. Katakan "jangan" dengan nada tegas dan beritahu bahawa perbuatan itu salah dan ianya membahayakan orang lain.

4. Apabila anak merosakkan barang, harta benda dan alam.

Anak perlu dididik untuk menjaga barang dan memulihara alam sejak kecil.

Contoh: Kalau anak memetik dan merosakkan pokok bunga. Katakan "jangan" dan didik anak supaya menghargai kecantikan dan memulihara alam.

5. Apabila anak makan dan minum yang memudharatkan.

Katakan "jangan" apabila anak makan dan minum berlebihan atau yang tidak baik untuk kesihatan seperti jajan dan minuman yang banyak kandungan gula.

Berkata jangan membantu kanak-kanak membezakan yang baik dan buruk serta belajar mengenai had dan peraturan.Selebihnya biasakan mengatakan "boleh tetapi" pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa.

Contohnya kalau anak nak main luar tetapi demam katakan "boleh tetapi biar baik demam dulu"
Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan lebih berkesan dengan menggunakan arahan-arahan positif seperti "jalan elok-elok" atau "hati-hati" berbanding "jangan berlari"sahaja.  Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan "sila duduk" dan elakkan berkata 'jangan berdiri'.

Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. InsyaAllah, dengan ilmu dan keinginan untuk berubah, perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

BEBASKAN SAJA


Akan tiba ketika
Kau dapati aku
Gemar sekali menconteng
Puas menconteng
Lembut cari jemariku melakar dan melukis...

Bebaskan saja
Aku menconteng dan melakar
Melukis dan mewarna
Mengikut kreativitiku...

Aku lakar rumah berbentuk bulat
Kau kata rumah berbentuk segiempat
Aku warna tayar kereta merah
Kau kata tayar warnanya hitam
Aku warna kelapa hitam
Kau kata kelapa warnanya hijau
Aku warna rambutan hijau
Kau kata rambutan warnanya merah
Aku lukis kapal  terbang  kecil
Kau kata kapal terbang itu besar
Bukan kecil seperti burung...

Lalu kau berikan aku gambar kapal terbang untuk aku warna
....sedih

Bebaskan saja
Usah dikongkong pemikiranku
Hasil yang kau mahu membelengguku
Menyekat kreativitiku...

Ketahuilah
Ada makna disebalik lukisan
Ada cerita disebalik luahan
Ada imaginasi disebalik ciptaan
Ada tanggapan disebalik pilihan
Itulah rumah mengikut kreativitiku
Pada ketika tahap aku hanya mampu melakar bentuk bulat
Tidak salah untuk aku impikan tayar kereta yang berwarna merah
Kelapa kulihat hitam selepas dibakar
Rambutan kulihat hijau ketika putik
Kapal terbang jauh di langit kelihatan kecil sekali
Seperti seekor burung yang sedang terbang...

Bebaskan saja
Biarkan saja aku lalui proses
Menconteng
Melakar
Melukis
Mewarna
Sesukaku
Semahuku
Sediakan peralatan yang sesuai
Berikan sokongan dengan kata-kata yang baik
Terima seadanya karyaku
Cantik sekali jika ditampal di dinding rumah kita

Hargai setiap usahaku
Imaginasi pemikiranku yang masih bebas
Galakkan saja kreativitiku berkembang
Seiring peningkatan kebolehanku
Keunikan potensi diriku
Anugerah Ilahi
Buat setiap insan kecil
Sepertiku...

NB. Puisi ini berkaitan tahap kanak-kanak peringkat awal (lahir hingga 6 tahun) yang masih dalam pemikiran bebas dan begaimana merangsang kemahiran jari dan kreativiti mereka.
Allahu A'lam.

Saturday, February 16, 2019

TINGKAH LAKU ANAK DAN TAHAP PERKEMBANGAN

Sejak "dapat kaki" ni Rayyan lasak sangat. Pantang alpa ada saja karenah dia. Baru ni habis sebotol shampoo dikerjakan. Dinding dan sofa kami pun kena conteng. Mengamuk tak usah cakaplah, tak dapat kehendak hati, dia berguling-guling mengamuk. Tak kira kat mana. Adoi, malu pun ada dibuatnya.

Begitulah luahan seorang ibu pada Mak Long berkaitan anaknya Rayyan yang baru berumur setahun lapan bulan.

"Karenah" anak sebaya Rayyan sebenarnya sangat normal dan sesuatu yang baik dari segi perkembangan. Ya! Ianya bukan karenah atau belum boleh dikatakan anak yang ada MASALAH tingkah laku.

Ianya adalah perubahan tingkah laku yang berlaku kerana kebolehan kanak--kanak pada satu-satu tahap. Dengan kata lain kanak-kanak mempunyai dorongan dari dalam diri bagi memenuhi keperluan perkembangan fizikal, kognitif, bahasa dan sosioemosinya.

Jadi tingkah laku anak yang ibu ayah nampak adalah sangat berkaitan dengan tahap kebolehan terutama bagi kanak-kanak bawah 4 tahun kerana perkembangan mereka yang sedang pesat berlaku.

Kebolehan pada satu-satu tahap juga mempengaruhi tahap perkembangan seterusnya. Contoh kanak-kanak menconteng, kemudian baru melakar, seterusnya melukis dan menulis. Ianya berlaku secara natural dan berterusan.

Kanak-kanak sebaya Rayyan tadi kelihatan sangat lasak berlari. Dari segi motor halus juga mereka semakin mahir menggunakan jari jemari untuk melakukan banyak perkara. Pada masa yang sama apa sahaja hendak diusik kerana tahap "ujikaji" dari segi kognitif atau perkembangan akal yang suka mencuba dan meneroka. Tambah memeningkan ibu ayah pada usia ini anak masih belum begitu menguasai perkembangan bahasa dan tidak berapa faham apa yang diterangkan, egosentrik, suka melakukan banyak perkara sendiri dan mudah sahaja mengamuk tanpa diketahui apa sebabnya.

Apa pun adalah sangat penting untuk ibu ayah tahu bagaimana meraikan fitrah perkembangan dan pada masa yang sama menyantuni akhlak dan adab serta mendisiplinkan anak dengan meletakkan had dan peraturan yang bersesuaian dengan umur.

Dalam situasi mengamuk disekitar usia 2 tahun adalah tingkah laku yang normal tetapi jika tidak dibendung pada usia ini ianya mungkin berlarutan hingga melewati 3 tahun ke atas. Pada usia 3 tahun biasanya anak sudah sampai tahap "sedar" dan mula boleh berkongsi, bertolak ansur, memahami perasaan dan boleh mengikut arahan. Mengamuk boleh menjadi masalah tingkah laku jika berlarutan hingga ke besar.

Sila rujuk artikel berkaitan mengamuk
https://rentis.blogspot.com/search?q=mengamuk&m=1

Dikongsikan dari blog Mak Long puisi berkaitan tahap kebolehan dan bagaimana merangsang perkembangan anak.

Fitrah Sayangku

Sayang,
Tika kau lahir
Tanganmu mengenggam erat
Laluku buka jari jemarimu
Ku beri kau sentuh pipiku
Dan pelbagai tekstur

Kau mula mengapai
Ku galakan kau mencapai
Mainan pilihanmu
Ku sediakan kerincing
Pelbagai bunyi
Untuk kau ketuk berulang kali

Kau memegang objek
Ku berikan mainan
Yang berwarna dan berbentuk
Untuk kau manipulasi
Moga menyeluruh perkembanganmu

Kau membuka dan menutup jari-jarimu
Ku nyanyikan lagu tradisi
“Cekur dan gamit ,
minta cekur beri kunyit”
Gelagatmu menciut hatiku
Ku cium pipimu
Tanda penghargaan dan kasih

Kau mengutip dengan tiga jari
Kau beri kau makan sendiri
Biar bersepah
Tak mengapa sayang
Agar kau mahir dan bertambah lembut jari jemarimu

Kau melepaskan barang
Ku galakan kau berlatih
Memasukkan dan mengeluarkan
Mainan dari bekas
Agar kuat otot jarimu

Kau pandai menconteng
Ku berikan krayon dan kertas
Ku terima dan puji apa saja usahamu
Ku hiaskan dinding rumah kita
Dengan karya senimu
Agar kau bertambah yakin

Kau pandai mengoyak
Ku berikan kertas
Untuk kau koyak
Supaya semakin halus skilmu

Kau suka meramas
Ku berikan span dan air
Agar kau berlatih
Ku buatkan doh
Agar kau membentuk
Dan mencipta sesukamu

Kau suka menuang
Ku sediakan cawan dan air
Agar kau lakukan sendiri
Kau menumpahkan
Ku berikan peluang
Kau menyelesaikan masalah
Agar kau berfikir
Ku sediakan peralatan mengelap
Agar kau bertanggungjawab

Kau mengetuk-getuk
Ku berikan apa minatmu
Untuk kau ketuk
Dan membezakan bunyi

Kau mula bertatih
“ Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi”
Alunan laguku
Mengiringi gerakmu

Langkahmu makin tegap
Kau berlari ke sana ke mari
Ku kejar langkahmu tanpa jemu
Ku bawa kau ke alam
Biar kau meneroka persekitaranmu
Agar kau kenal Penciptamu

Bila kau jatuh
Ku galakkan kau bangkit
Lari lagi sayang
Ku beri semangat
Kau mengadu calar kakimu
Ku cium lukamu
Penawar tangismu

Kau bercakap dan bertanya
Ku layan keletahmu
Ku bacakan buku cerita
Agar meningkat bahasamu

Sayangku,
Kau terus membesar
Ku rangsang dirimu
Ke asah bakatmu
Ku pupuk potensimu
Ku asuh fitrahmu
Ku santuni adab dan akhlakmu
Diiringi doa tanpa henti

Kerana
Kau insan hebat
Kau khalifah bumi tercinta
Kau pewaris perjuangan
Kau amanah buatku
Kau cahaya mataku.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Sunday, February 10, 2019

FAHAMI RAGAM ANAK, SANTUNI FITRAH YANG MINTA DIPENUHI


Anak kecil belum mampu dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkan isi hati jika emosi mereka terganggu. Mereka dilihat menunjukkan pelbagai ragam. Begitulah cara si kecil untuk meraih perhatian ibu ayah kerana diri mereka perlu kembali disantuni.

Ragam itu sesuatu yang normal dan berlaku untuk memastikan hak anak dipenuhi. Contoh mereka perlukan kasih sayang, perlu rangsangan fizikal, bahasa pemikiran dan jiwa.

Anak juga meragam apabila dikongkong. Mereka perlu BERMAIN dan meneroka dengan bebas supaya mereka melalui proses mengalami dan memaknai kehidupan. Itu sesuatu yang alami kerana anak dilahirkan untuk memikul amanah sebagai KHALIFAH dimukabumi Allah SWT.

Hidup dan suburkan JIWA dan semai IMAN anak secara fitrah. Santuni HAK mereka.

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali

"Semai iman anak melalui interaksi alam"-Abdullah Nashih Ulwan

"Melakukan kekerasan pada anak adalah memudharatkan"-Ibnu Khaldun

Dikongsikan antara koleksi puisi Mak Long yang berkaitan.

RAGAM KASIH

Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu

Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku

Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku

Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku

Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku

Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku

Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke taska lagi

Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Sementara aku ditinggalkan
Cepat pulang ya...
Sungguh aku rindu

Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu 
Demi masa yang sedikit

Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu…
Agar aku tahu aku disayangi…..

Allahu A'lam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, February 9, 2019

GALAK PROSES BERFIKIR BAGI MELAHIRKAN ANAK YANG BERMANFAAT


Mengapa burung terbang?
Kenapa ayam ada kepak tapi tak boleh terbang macam burung?
Kenapa ikan hidup dalam air?

Ya! banyak sekali pertanyaan anak-anak kecil yang sudah petah bercakap. Apa, kenapa, mengapa, mana, bagaimana, siapa dan bila?

Apa pula respon ibu ayah apabila anak bertanya? Dalam contoh "Mengapa burung terbang?", mungkin ada ibu atau ayah yang menjawab "sebab dia ada sayap, sebab Allah jadikan sayap supaya burung boleh terbang dan lain-lain lagi".

Persoalannya adakah wajar kita memberi jawapan terus pada anak atau menggalakkan anak berfikir?
Dari segi KOGNITIF atau perkembangan akal, kita seharusnya menggalakkan anak berfikir. Banyak ayat Quran yang menyarankan begini. Antaranya:

Surah Ar-Rad, Ayat 4:
وَفِي الْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَاءٍ وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الْأُكُلِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya
 ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Apabila si kecil mula bertanya tandanya otaknya sudah berkembang ke tahap boleh berfikir secara logik, menaakul, mengaitkan sesuatu, memikirkan kesan dan akibat, meramal, menilai, menyelesaikan masalah, membuat kesimpulan dan pelbagai lagi.

Anggapan bahawa anak perlu mengingati banyak perkara membuatkan kita cenderung untuk menjawab persoalan anak kerana memberi input atau info. Apa yang lebih penting anak tu melalui proses berfikir, menaakul, mengalami dan meMAKNAi sesuatu.

Kembali kepada soalan "mengapa burung terbang?" tadi kita boleh merangsang pemikiran logik anak dengan memberi analogi seperti "cuba fikir manusia berjalan untuk apa? Jadi burung terbang untuk apa?"

Dengan ini anak dapat mengaitkan burung terbang untuk mencari makanan, mencari kawan, mencari ranting untuk membuat rumah, melarikan diri dari musuh dan banyak lagi. Pemikiran anak boleh dicambahkan lagi dengan mengaitkan lagi apa yang terbang.

Meneroka jawapan-jawapan yang banyak memberi lebih pengalaman dan makna yang membawa anak untuk merasai bahawa ada kuasa yang HEBAT dan  lebih besar iaitu Allah Yang Maha Pencipta. Inilah proses menyemai dan menyuburkan IMAN dalam diri anak melalui proses berfikir mengenai kejadian alam dan memahami.

Jika kita terus menjawab untuk memberi input dan info sahaja kita hanya meminta anak menerima jawapan dan hanya mengingati fakta tanpa memahami sesuatu dengan lebih mendalam dan mengaitkan kejadian dengan kebesaran Allah.

Membacakan ayat Al-Quran yang berkaitan akan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa kanak-kanak yang masih suci dan sangat bermakna kerana ianya dikaitkan dengan soalan yang dikemukakan mereka. Ini menggalakkan mereka menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Surah Al-Anaam, Ayat 38:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Sebagai ibu bapa dan guru kita perlu bertindak sebagai PEMUDAHCARA dengan menggalakkan anak berfikir kerana kita bertanggungjawab untuk merangsang dan meningkatkan perkembangan kognitif, sahsiah dan kerohanian mereka.

Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan dibekalkan akal yang sangat hebat sesuai dengan tugas manusia sebagai Khalifah yang memakmurkan di muka bumi ini.

Dari proses pemerhatian, pemikiran dan memahami kejadian alam, insyaAllah anak dapat menjadi orang berMANFAAT bagi orang lain. Contoh manusia mencipta kapal terbang yang sangat banyak manfaatnya dari proses memikirkan kejadian burung.

Surah Al-Imran Ayat 190-191
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang
 terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

"Sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat bagi orang lain." - Hadith Riwayat Ahmad
Allahu A'lam.




#SentuhanBapaBelaianIbu


Thursday, February 7, 2019

SHOW AND TELL-KERETA SAYA


RANCANGAN PELAKSANAAN AKTIVITI (RPA) DI TASKA
SHOW AND TELL-KERETA SAYA 

Bidang: Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal (BKLA)
Umur Kanak-Kanak: 2 tahun
Bilangan Kanak-Kanak: 3 orang
Tema: Hanya untuk 3 tahun ke atas
Tajuk: Show and Tell-Kereta saya

Pengetahuan Sedia Ada/Kebolehan: Kanak-kanak sudah boleh bercerita dengan ayat mudah dan pendek (2-3 patah perkataan)

Objektif:
1. Kanak-kanak boleh bercerita dengan ayat panjang (4-5 patah perkataan) (BKLA)
2. Kanak-kanak berani dan yakin bercerita di hadapan kawan (SSEK)
3. Kanak-kanak boleh mengambil giliran dalam bercerita BKLA)

Bahan:
1. Kereta mainan (yang dibawa sendiri dari rumah)

Ruang: Ruang depan

Langkah: (Nota: Pedagogi yang digunakan adalah permainan bahasa)

1. Ucap salam kepada kanak-kanak. Galakkan kanak-kanak duduk dalam bulatan.
2. Bermesra dengan kanak-kanak dengan bercerita tentang kereta dan siapa bawa kereta mainan.
3.Terangkan peraturan bercerita iaitu mengambil giliran, memberi perhatian dan mendengar dengan baik apabila kawan bercerita.
4. Tanya siapa yang ingin mula bercerita tentang “kereta saya”.
5. Galakkan kanak-kanak bercerita mengenai “kereta saya” dengan ayat panjang seperti “Ini kereta saya.   
    Kereta saya berwarna merah. Saya suka main kereta dengan adik saya.”
6. Galakkan kanak-kanak berani dan yakin bercerita di hadapan kawan.
7. Galakkan kanak-kanak mengambil giliran dalam bercerita.
8. Sekiranya kanak-kanak dapat bercerita dengan mudah, galakkan kanak-kanak bercerita dengan lebih     
    panjang dengan bertanya soalan yang relevan (kontigensi plan)
9. Beri pujian pada usaha, keberanian dan keyakinan kanak-kanak bercerita di hadapan kawan dan beri galakan serta bimbingan sepanjang proses bercerita.
10. Bersoal jawab dan membuat rumusan dengan kanak-kanak apabila semua kanak-kanak selesai bercerita mengenai “kereta saya”.
11. Berikan penghargaan dan ucap terima kasih kepada kanak-kanak atas kerjasama yang diberikan.
12. Kembalikan kanak-kanak kepada pendidik.

Perhatian:
Keselamatan
1. Pastikan kanak-kanak membawa mainan yang selamat.

Kebersihan.
1. Pastikan kanak-kanak kereta mainan yang dibawa itu bersih.

Kesihatan
1. Pastikan tidak memaksa kanak-kanak jika mereka tidak dapat bercerita dengan baik. Galakkan dengan lembut dan ikut kemampuan mereka.
2. Pastikan kanak-kanak lain tidak mengejek atau mentertawakan rakan sepanjang proses bercerita.






Tuesday, February 5, 2019

LOMPAT BERHALANGAN

RPA DI TASKA
LOMPAT BERHALANGAN

Bidang: Fizikal (F)
Umur kanak-kanak: 4 tahun
Bil kanak-kanak: 5 orang
Tema: Keluarga Saya 
Tajuk: Lompat Berhalangan

Pengetahuan sedia ada/kebolehan: Kanak-kanak boleh  melompat mengelilingi halangan dengan menggunakan 2 kaki.

Objektif:
1. Kanak-kanak boleh melompat mengelilingi halangan menggunakan 1 kaki. (F)
2. Kanak-kanak boleh mengikut peraturan (SSEK)
3. Kanak-kanak boleh mengambil giliran (SSEK)

Bahan:
1. Kon (3) 
2. Masking tape/Tali rafia
3. Tuala tangan

Ruang: Ruang luar

Langkah:(Nota:pedagogi yang digunakan adalah permainan fizikal)

1. Bawa kanak-kanak ke ruang lapang di luar taska
2. Bermesra dengan kanak-kanak dengan menyanyikan dan bergerak mengikut lagu “ Lompat si katak lompat”.
3. Galakkan kanak-kanak sama-sama menyusun peralatan untuk permainan. (garis mula, jarak 1m, kon, jarak satu meter dan garis penamat). Pendidik  menunjukkan contoh permainan lompat berhalangan terlebih dahulu.
4. Galakkan kanak-kanak beratur di belakang garisan permulaan.
5. Galakkan kanak-kanak melompat satu kaki  mengelilingi halangan hingga ke garisan penamat.
6. Beri pujian dan galakkan kepada kanak-kanak apabila mereka berusaha melompat satu kaki mengelilingi halangan. Jika kanak-kanak tidak boleh melompat mengelilingi halangan dengan satu kaki, beri sokongan dan galakan.
7. Galakkan kanak-kanak mengambil giliran dan tidak berebut.
8. Galakkan kanak-kanak mengikut peraturan lari berhalangan sepanjang masa bermain.
9. Jika aktiviti terlalu mudah, teruskan aktiviti dengan menambah lagi kon menjadi 2 atau 3 halangan.
10. Perhatikan kemampuan kanak-kanak dan galakkan kanak-kanak melompat 1 kaki mengelilingi 2 atau 3 halangan mengikut kemampuan.
11. Galakkan kanak-kanak bekerjasama mengemas peralatan.
12. Bawa kanak-kanak masuk ke taska dan mencuci dan mengelap tangan.
13. Ucap terima kasih kepada kanak-kanak dan pulangkan kanak-kanak kepada pengasuh.

Perhatian:

Keselamatan
1. Pastikan kanak-kanak memakai pakaian dan kasut yang sesuai.
2. Pastikan ruang luas, kering, tidak beralun dan tiada batu supaya kanak-kanak dapat berlari dengan selesa dan selamat.

Kesihatan
1. Pastikan aktiviti tidak dilakukan terlalu lama dan meletihkan kanak-kanak.

Kebersihan
1. Pastikan ruang dan peralatan yang digunakan bersih.
2. Pastikan kanak-kanak membasuh tangan dengan bersih dan lapkan tangan selepas aktiviti. 


Disediakan oleh: Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringYou!

JOM MAIN LAMBUNG BOLA SAMA-SAMA

RANCANGAN PELAKSANAAN AKTIVITI (RPA) DI TASKA
JOM MAIN LAMBUNG BOLA SAMA-SAMA

Bidang: Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohaniaan (SSEK)
Umur kanak-kanak: 3 tahun
Bil kanak-kanak: 4 orang
Tema: Diri Saya
Tajuk: Jom Main Lambung Bola Sama-sama
Pengetahuan sedia ada/kebolehan: Kanak-kanak suka melihat kanak-kanak lain bermain tetapi jarang melibatkan diri bersama.
Objektif:
1. Kanak-kanak boleh bermain bersama kawan-kawan (SSEK)
2. Kanak-kanak boleh bekerjasama (SSEK)
3. Kanak-kanak boleh melambung bola dengan lebih tinggi (F)
Bahan:
1. Bola sederhana besar
2. Kain (anggaran 3 meter panjang dan lebar)
Ruang: Ruang depan

Langkah: (Nota:pedagogi yang digunakan adalah permainan fizikal)

1. Bermesra dengan kanak-kanak dengan berbual tentang keseronokan bermain bersama kawan-kawan.
2. Bawa kanak-kanak ke ruang hadapan dan galakkan kanak-kanak berdiri dalam bulatan.
3. Terangkan peraturan permainan lambung bola dengan kain( bola diletakkan di tengah kain, lambungkan bola bersama-sama dengan mengangkat bucu kain dan bola mesti sentiasa mesti berada di atas kain).
4. Galakkan setiap kanak-kanak memegang kain di setiap bucu dan tidak melepaskannya semasa bermain.
5. Mulakan permainan dengan menggalakkan kanak-kanak bermain bersama melambung bola agar bola tidak terkeluar daripada kain.
6. Sekiranya bola terjatuh, galakkan kanak-kanak berhenti bermain, bekerjasama mengambil bola dan meletakkan semula di atas kain.
7. Apabila kanak-kanak sudah boleh bermain bersama melambung bola dengan kain, galakkan kanak-kanak melambung bola dengan lebih tinggi.
8. Beri pujian pada usaha kanak-kanak dan beri galakan serta bimbingan sepanjang proses bermain.
9. Bersoal jawab dan membuat rumusan dengan kanak-kanak selepas bermain. Contoh: ”Seronok tak dapat bermain bersama kawan-kawan?”
10. Galakkan kanak-kanak bekerjasama  mengemas peralatan
11. Berikan penghargaan dan ucap terima kasih kepada kanak-kanak atas kerjasama yang diberikan.
12. Kembalikan kanak-kanak kepada pengasuh.

Perhatian:

Keselamatan
1. Pastikan lantai tidak licin.
2. Pastikan bola tidak berat

Kebersihan.
1. Pastikan kain dan bola yang digunakan bersih.

Kesihatan
1. Pastikan kanak-kanak tidak melambung bola terlalu cepat supaya tiada kanak-kanak rasa ketinggalan atau tidak mampu mengikut permainan.

Disediakan oleh: Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringYou!

Februari muncul lagi-6 Feb 2019

Demi masa
Yang saban tahun ku titi
Demi usia
Yang kian memamah tubuh
Demi waktu
Yang kian sedikit...

Sedarlah wahai diri,
Usah kau mengumpul untuk ditinggalkan
Usah mengejar yang semakin jauh
Usah berharap pada yang fana
Berdamailah dengan DIA
Berdamailah dengan dirimu
Berdamailah dengan semua...

Ingatlah wahai diri,
Kapan saja kamu bisa ke sana
Belajarlah melepaskan di sini
Berbaktilah demi masa berbaki
Demi meraih redhanya Tuhan
Yang Maha Pengampun
Yang Maha Mengasihani...

Insaflah wahai diri,
Selalulah mengingati yang PASTI
MATI yang bakal menjemputmu
Pertingkatkan amalmu yang baik
Perindahkan qalbumu
Di kala rumahmu berkata pergi
Moga tempat tinggal yang lebih baik
Sedia menantimu...

🌾Mak Long
6 Feb 2019

KANAK-KANAK BERKEMBANG DENGAN BAIK JIKA DIBERI PELUANG MELAKUKAN SENDIRI KERJA-KERJA RUMAH

Kanak-kanak berkembang dengan baik dan natural sahaja jika diberi peluang melakukan banyak perkara dalam rutin seharian di rumah.

Ya, memberi peluang kepada kanak-kanak melakukan sendiri kerja-kerja rumah seperti membasuh pingan, melipat kain, menuang air, mengemas, menyapu dan menolong membasuh kereta dapat mempertingkatkan perkembangan mereka dari segala aspek.

Contoh dari segi perkembangan fizikal. Ciri perkembangan fizikal adalah:

1. Kebolehan
2. Kesediaan dan
3. Urutan pengalaman.

Bagaimana nak tahu kanak-kanak sudah boleh dan bersedia? Mudah saja. Apabila mereka ingin melakukan sendiri dan suka menolong. Inilah masa terbaik atau tempoh sensitif untuk mereka memperolehi sesuatu skil, menyerap ilmu pengetahuan dan mempelajari sesuatu.

Peranan ibu ayah adalah untuk menjadi pemudah cara dengan menyokong kebolehan anak dan menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat seperti meletakkan cawan dan bekas air plastik di meja rendah supaya anak mudah untuk menuang air.

Urutan pengalaman pada satu tahap mempengaruhi tahap seterusnya. Sila rujuk https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156941693979231&id=697059230 video anak Mak Long  'Izzuddin sekitar umur 3 tahun dalam Video 1, 5 tahun dalam Video 2 dan 7 tahun dalam Video 3. Lihat bagaimana skil membasuh pinggan itu bertambah halus (fine) dengan pengalaman dan latihan yang banyak.

Kanak-kanak yang biasa melakukan kerja-kerja rumah akan lebih lembut jari-jari mereka. Ini juga memudahkan proses belajar menulis ..

Memberi peluang dan galakkan untuk melakukan banyak perkara sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motor skil kanak-kanak malah dapat memperkasakan mereka untuk mengurus diri, meningkatkan kemahiran berfikir, menaakul dan  menyelesaikan masalah serta membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan emosi yang stabil.

Utamakan keselamatan! Pengawasan sangat penting dalam tempoh ini kerana naluri ingin tahu dan keinginan kanak-kanak untuk meneroka dan mencuba adalah sangat tinggi. Apa pun pengorbanan masa dan tenaga ibu ayah adalah pelaburan jangka panjang yang insyaAllah sangat menguntungkan.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya"

Raikan fitrah. Santuni akhlaq dan adab.

Allahu 'Alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Madrasah Pertama, Ibu bapa Guru Utama

Monday, February 4, 2019

ANAK LEBIH MUDAH MENULIS JIKA PROSESNYA NATURAL


Nak anak mudah menulis sebenarnya bermula sejak lahir dan prosesnya natural sahaja. Kembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata tangan sejak lahir dengan memberi rangsangan yang sesuai dengan umur dan kebolehan.

Bagi banyak peluang bermain dengan bahan maujud dan galakkan anak menggunakan kemahiran motor halus seperti memegang, meramas, memicit, memerah, mengoyak, menguli, memulas dan memutar. Juga menggunakan motor halus dan koordinasi mata tangan seperti menguntai, menuang, menggunting, membutang, menconteng, melakar dan menulis. Bila jari-jari dah lembut mudah saja anak membentuk tulisan dengan meniru.

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sesuatu yang hebat bermula dengan apa yg FITRAH. Anak memang gembira dan bersedia melakukan semua secara natural dan berperingkat- peringkat. Ibu ayah dan guru perlu berterusan merangsang perkembangan mengikut TAHAP KEBOLEHAN anak.

Cara yang natural menyebabkan kanak-kanak lebih seronok, dapat banyak peluang berlatih dan insyaAllah berkembang dengan baik. Emosi mereka juga tenang dengan cara ini yang tidak terlalu berstruktur.

Jika kita ganggu atau sekat apa yang FITRAH, PROSES menulis jadi sesuatu yang sukar dan membosankan anak. Ini boleh mengganggu emosi dan menyebabkan masalah tingkah laku.

Zaman berubah tetapi fitrah anak tidak. Kembalikan yang fitrah.

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, February 2, 2019

AKTIVITI BAYI DI TASKA

Dikongsikan contoh WEB aktiviti mingguan TASKA untuk bayi berumur 9 bulan.
Moga bermanfaat.
https://drive.google.com/file/d/1hEC0OY41VHzadzFvyyNqr06Z1CJHnDId/view?usp=drivesdk
Allahu A'lam.

WEB AKTIVITI MINGGUAN TASKA-2 TAHUN, BAHAN ASAS-KERETA MAINAN

Dikongsikan web mingguan untuk kanak-kanak 2 tahun. Mak Long mudahkan dengan memilih kereta sebagai bahan asas sepanjang minggu untuk pengukuhan dan memudahkan. Anak  2 tahun pun minat dengan kereta terutama yang lelaki.

Dari web ni boleh dapat 10 RPA. Selamat menulis RPA. Mak Long belum sempat nak tulis semua RPA tu. Sempat tulis satu contoh dari web ni.

Untuk web dan cth RPA...Sila
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156934797419231&id=697059230

*Yang merah tu urutan aktiviti mengikut hari.
Bolehlah cuba lepas cuti CNY ni. Boleh bagi feedback juga di sini.hehe.

Kalau ada silap, bagi tahu ye.
Semoga bermanfaat.

NOTA. Terima kasih kepada Puan Norma Abd Wahab atas segala tunjuk ajar berkaitan menulis RPA yang simple tetapi berkesan. Jasamu dikenang. Semoga Allah memberkati Puan Norma dan keluarga.

Friday, February 1, 2019

KESENANGAN DAN KEMEWAHAN BOLEH MENYEBABKAN KEBIASAAN YANG SUKAR DIBENTUK


Orang kata: Biarlah dulu kita je susah, anak kita biarlah senang.

Mak Long kata: Ibu ayah perlu berhemah dalam memenuhi keperluan dan kehendak anak. Usah biasakan anak dengan kemewahan dan kesenangan kerana ia boleh merosakkan.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ayyuha Al-Walad, anak harus dihindari dari kehidupan mewah dan bersenang lenang kerana dikhuatiri mereka tidak biasa dengan ujian hidup pada masa akan datang. Jika dibiarkan ia boleh jadi kebiasaan atau I'tiyad dan sukar dibentuk.

Pesanan ini harus kita hayati terutama mutakhir ini iaitu zaman yang sangat mencabar di mana  kebendaan sudah menjadi ukuran dan perbandingan kejayaan serta kebanggaan.

Zaman ibu bapa saya dahulu mungkin lebih mudah kerana mereka hidup dalam serba kekurangan. Jadi anak-anak dibiasakan dengan sikap tolong menolong, berkongsi dan bersyukur dengan rezki yang ada. Contoh waktu makan anak-anak makan bersama apa sahaja yang dihidangkan tanpa meminta-minta selain apa yang ada. Mereka bukan sahaja menolong dalam proses memasak dan mengemas malah menolong menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan.

Kadangkala oleh kerana kesusahan dahulu menyebabkan ada ibu bapa sekarang yang lebih berada cuba memenuhi kehendak  dan menyediakan segalanya untuk anak-anak.

Apa pun anak-anak belum tahu menilai sepenuhnya dan tidak tahu apa yg baik untuk mereka. Seharusnya ibu ayah menilai kehendak anak dan memberi keperluan yang berpatutan.

Sebaiknya biasakan anak-anak untuk terlibat dalam kerja-kerja rumah yang mampu mereka lakukan mengikut tahap umur. Jelaskan pada anak-anak proses kehidupan melalui cerita dan nasihat. Latihlah mereka dengan gaya hidup sederhana dengan bersyukur terhadap nikmat Allah walaupun sedikit. Ajar anak untuk menghargai, berjimat cermat dan menabung dari usia awal.

Dikongsikan artikel Pengurusan Kewangan Si Kecil dari blog saya.

http://rentis.blogspot.my/2014/11/pengurusan-kewangan-si-kecil.html?m=1

Anak-anak adalah rahmat dan ujian. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menjadi ibu bapa yang mendidik anak-anak menurut ajaran Islam.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Allahu A'lam
#SentuhanBapaBelaianIbu