Thursday, August 22, 2013

RAGAM KASIH

Nukilan Rosnah Ahmad

Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu

Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku

Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku
Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku

Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku

Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku

Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke taska lagi

Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Sementara aku ditinggalkan
Cepat pulang ya...
Sungguh aku rindu

Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu  
Demi masa yang sedikit

Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu…
Agar aku tahu aku disayangi…..


3.32 pagi 13 Syawal 1434H
Teratak Cenderawasih Indah


No comments: