Friday, May 10, 2013

HADIAH POKOK TOMATO SEMPENA HARI IBU


Salam,

Banyak sekali posting kawan-kawan sempena hari ibu di laman muka buku. Ramai ibu-ibu yang menerima hadiah daripada anak-anak.

Saya tertarik dengan posting seorang anak sahabat saya Solihah yang bernama Anisah. Anisah, suami dan anak mereka Suhayb berusia tiga tahun  sekarang menetap di Brisbane, Australia.

Anisah berkongsi gambar anak pohon tomato dalam pasu yang cantik dihias yang dihadiahkan oleh Suhayb kepada ibunya sempena hari ibu apabila ibunya mengambilnya pulang dari Taska.  

                                             Suhayb brought home a happy mother's day plant- Anisah Najib

Saya komen betapa menarik sekali usaha taska tersebut dalam menggalakkan anak kecil menghargai alam. 

Kanak-kanak menghadiahkan pokok sebenar dan  tidak menggunakan bunga plastik atau kertas sebagaimana biasa diamalkan di sini. Saya sendiri saban tahun mendapat bunga plastik atau kraf daripada kertas apabila anak-anak pulang dari tadika atau sekolah sempena hari ibu. 

Saya kemudian dimaklumkan Solihah bahawa usaha memupuk kanak-kanak mencintai alam sangat dititikberatkan di Australia.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Menggalakkan seorang anak kecil mencintai dan memelihara alam akan memberi kesan yang positif dalam diri seorang anak.

Melihat dan terlibat dalam penjagaan anak pokok tomato itu kemudian sudah tentu dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak serta mengaitkan kejadian dengan kekuasaan Allah SWT. 

Marilah kita memupuk anak mencintai alam sejak kecil dengan meningkatkan usaha-usaha kecil seperti ini. Moga usaha-usaha kecil kita membantu membina anak-anak yang beriman kepada Allah serta menjadikan bumi Allah ini lebih indah dan selamat untuk semua.

" Tanggungjawab ibu bapa dan pendidik adalah membina anak-anak yang beriman dengan Allah, kekuasaan Nya dan ciptaan-ciptaan Yanga Maha Besar dengan cara banyaknya berfikir tentang penciptaan langit dan bumi"-Abdullah Nashih 'Ulwan ( Pendidikan Anak-anak dalam Islam)

Anak yang mencintai alam akan menghargai dan memelihara alam ini.

Sekian. Wallahua’lam

No comments: