Thursday, September 4, 2008

MERINTIS KEHIDUPAN DENGAN PENUH RASA SYUKUR

Salam,

Menemui para pembaca moga sentiasa berada dalam kemanisan iman dan sihat sejahtera sekeluarga.

Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini saya memohon kemaafan dan berdoa agar kita memperbaiki amal dan iman serta berjaya kembali kepada fitrah kita yang suci. Juga Moga Aidil Fitri tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan.

Ya, sudah agak lama saya tidak menulis. Banyak perkara yang agak mencabar terjadi pada diri dan keluarga saya pada tahun ini.

Bermula dengan awal sesi persekolahan tahun yang agak berlainan. Kami mengambil keputusan menghantar anak sulung, Nurin Husna (13 tahun) ke sekolah berasrama penuh setelah solat istikharah sekeluarga. Namun, ia merupakan satu keputusan yang begitu sukar. Tidak disangka perpisahan menyebabkan naluri keibuan saya menjadi keliru.

Pada mulanya ia seakan satu keputusan yang silap. Saban hari Nurin menelefon. Perpisahan, persekitaran baru dan rutin harian asrama yang ketat menyukarkan proses penyesuaian. Sebagai ibu saya tertanya adakah perlu mendedahkan seorang anak kepada situasi begini pada usia semuda ini. Walau bagaimanapun ia juga mengingatkan kepada kehidupan saya di asrama. Saya percaya pengalaman tinggal di asrama sedikit sebanyak membantu menjadikan saya bersedia menghadapi kehidupan yang mencabar ini.

Saban hari saya terus dihantui kekeliruan. Apa pun naluri kecil saya mengatakan saya perlu mengikuti nasihat sahabat-sahabat supaya cekal dan banyak bersabar kerana biasanya proses penyesuaian anak yang tinggal di asrama mengambil masa dua hingga tiga bulan.

Keadaan menjadi semakin baik. Kesibukan di awal tahun dengan kemasukan murid baru di tadika dan aktiviti persatuan juga membantu saya menyesuaikan diri. Dalam pada itu, saban minggu kami menjenguk Nurin di asrama.

Saya merasakan sesuatu yang baik terjadi iaitu hubungan kami sekeluarga bertambah erat. Sebelum ini kami jarang betul-betul duduk berborak sekeluarga tetapi dengan menjengok Nurin, kami berbual, berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Hubungan saya dan suami juga bertambah akrab.

Dalam bulan Mac pula ibu mertua saya kembali kerahmatullah. Kehilangan yang sangat dirasai oleh kami sekeluarga.

Kemudian, mungkin kerana penat dan tidak cukup rehat, saya demam dan batuk berpanjangan sehingga melarat menjadi lelah. Secara tak langsung berat badan saya menurun. Teringat saya bahawa satu hari sebelum itu saya mengeloh, ” Ya Allah sudah lama aku gemuk, berikan aku kurus pula”. Ia adalah satu lintasan secara spontan. Saya merasai bahawa doa tersebut dimakbulkan tapi dengan hikmahNya yang tersendiri.

Saya sepatutnya lebih bersyukur kerana sihat. Apa pun sakit membuatkan saya menghargai sihat umpama kata-kata kawan saya, Rafeah Daud ”orang sakit memandang orang yang sihat seperti memakai mahkota dikepala”. Saya faham.

Menghidapi lelah menyebabkan saya memahami apa yang dilalui oleh orang yang mengidapi penyakit ini dan bagaiman kematian dirasakan hampir sekali setiap kali cuba bernafas. Paling menyentuh peraasaan adalah mengenangkan arwah emak yang menghidapi lelah sejak kecil, kemudian dihinggapi pnemonia dan meninggal pada usia 38 tahun. Lebih menginsafkan apabila teringat emak membasuh kain, memasak dan melakukan kerja-kerja rumah tanpa bantuan peralatan elektrik dalam keadaan kesihatan yang begitu.

Ia membuatkan saya lebih bersyukur apabila penat melakukan kerja-kerja rumah. Apa yang saya sedang lalui jauh lebih baik daripada apa yang perlu dilalui oleh arwah emak saya.

Alhamdullillah setelah hampir 5 bulan, saya semakin sembuh tetapi perlu menjaga pemakanan dan mendapat rehat yang cukup. Sakit menuntut saya untuk berubah dan sedar bahawa sesungguhnya apa yang berlaku memberi pelbagai hikmah sekiranya saya terus berfikiran dan bersikap positif. Badan berasa bertambah segar dan ringan setelah kehilangan hampir 10 kilogram. Saya masih perlu menurunkan sekurang-kurangnya 7 kilogram untuk mencapai berat badan yang ideal. Sekarang cabaran yang lebih hebat adalah untuk kekal sihat dan mencapai berat badan yang unggul.

Dalam pada saya mengalami lelah, suami dan anak-anak terlibat dalam kemalangan kecil. Tiada yang cedera fizikal tetapi anak kedua kami Muhammad (12 tahun) yang pada ketika itu duduk sebelah abahnya yang sedang memandu agak terkejut dan mula takut setiap kali menaiki kereta setelah kejadian. Kereta kami remuk teruk di bahagian hadapan. Kehidupan tanpa kereta selama sebulan juga menginsafkan.

Tahun ini juga Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) mendapat mandat daripada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia untuk menjalankan Projek Asuhan Prihatin. Projek yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia ini bertujuan memberi kemahiran kepada wanita, ibu tunggal dan suri rumah daripada keluarga yang berpendapatan rendah untuk mengusahakan Taska Rumah. Projek ini termasuk mengadakan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) selama 5 hari dan bimbingan selama 6 bulan.

Sebagai Naib Pengerusi PPNP saya juga merangkap bendahari kepada projek ini bagi negeri Pahang disamping menjadi salah seorang jurulatih.

Pelbagai cabaran yang kami harungi dalam menjayakan projek ini. Cabaran utama adalah mendapatkan sasaran peserta dan mengajak mereka untuk menghadiri kursus 5 hari 4 malam.

Pasukan PPNP berjaya mengadakan kursus sebanyak 6 kali dan hampir 200 orang peserta daripada seluruh Pahang mendapat faedah. Segala kebaikan yang hadir daripada projek ini bukan hanya kepada peserta malah juga kepada diri kami. Bagi saya, ia sesuatu sukar digambarkan tetapi teringat akan ayat Quran yang bermaksud:

” Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga......” ( Surat Al-Isra’ Ayat 7)

Projek ini membawa kami mendekati wanita-wanita yang menghadapi pelbagai masalah dan dugaan. Ada yang suami meninggal, ditinggalkan suami tanpa khabar berita dan nafkah, bercerai dan wanita yang bersuami tetapi menjadi tunggak keluarga. Terdapat juga wanita-wanita yang didera emosi dan fizikal. Cabaran yang lebih hebat adalah memperkasakan mereka untuk bangkit dan yakin meneruskan kehidupan.

Pengalaman bersama mereka membawa saya untuk lebih memahami erti syukur dan merasai segala masalah gugur bersama perjuangan mendekati mereka.

Kini saya tidak banyak meminta atau merungut. Sebenarnya saya ada banyak perkara yang harus disyukuri. Segala rasa kekurangan yang ada sebelum ini pada diri, suami dan keluarga bertukar kepada rahmat yang tidak ternilai.

Yang lebih penting dengan apa yang ada dan ilmu yang sedikit kita sebenarnya mampu menyumbang dan kebaikannya akan kita rasai.

Kehidupan adalah satu perjalanan yang perlu dirintis dengan penuh rasa syukur. Hargai apa yang ada. Sesungguhnya kita masih diberi umur untuk terus berbakti dan menyayangi.


” Dan dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”. ( Surah Al-Mukminun Ayat 78

Sekian. Wallahua’lam.

Wassalam.

Rosnah Ahmad
Cenderawasih
4 Ramadhan 1429H

No comments: