Penerokaan kehidupan yang perlu dirintis dan dikongsi bagi memudahkan perjalanan semua dalam dunia yang sementara ini. Moga usaha kerdil ini memberi manfaat serta dirahmati dan diberkatiNYA.
Friday, August 3, 2007
SEMAI IMAN ANAK MELALUI INTERAKSI DENGAN ALAM
Pokok mangga di hadapan rumah kami semakin tua. Seusia anak sulung kami Nurin Husna, 12 tahun. Ia ditanam ketika kami mula-mula mendiami rumah teres lot tepi di halaman berukuran 25x 15 kaki.
Jiran-jiran dan kawan-kawan yang bertandang berpendapat pokok mangga jenis harum manis ini sudah terlalu besar. Ia harus ditebang kerana khuatir akarnya akan merosakkan rumah kami.
Walaupun akur dengan pendapat mereka, ia keputusan yang sukar bagi kami kerana pokok ini banyak berjasa. Ia setiap tahun berbuah lebat. Buahnya yang sedap kami agih-agihkan kepada jiran-jiran dan saudara mara.
Rimbunan daunnya menjadi tempat berteduh. Pokok angsana yang menumpang hidup di dahan menambahkan seri. Pokok-pokok bunga lain juga tumbuh subur di sekeliling. Suami saya suka menanam pokok lada dan herba dalam pasu di bawahnya.
Sesekali ada burung menumpang membuat sarang untuk bertelur. Taman kecil ini turut mengundang rama-rama, ulat, siput, katak, semut, belalang, labah-labah dan kumbang.
Suatu ketika halaman rumah kami menjadi tempat bermain paling popular di kalangan anak-anak. Kawasan kejiranan kami mempunyai kawasan yang terhad. Rumah teres dengan kawasan tanah yang kecil di hadapan dan belakang. Kebanyakan rumah jiran kami telah disimen atau disambung untuk menampung keperluan keluarga yang semakin bertambah.
Saya selalu menganggap kami sekeluarga bertuah walaupun masih belum mampu membesarkan rumah. Kami memiliki sesuatu yang sangat berharga iaitu elemen-elemen alam yang cukup mendamaikan, tempat kami melepaskan lelah serta mencari sedikit ketenangan.
Anak- anak kami dan anak-anak jiran berpeluang membesar bersama alam walaupun tidak sebagaimana zaman kanak-kanak saya yang jauh lebih terdedah kepada alam sekeliling yang masih terpelihara.
Pokok mangga kami adalah satu-satunya pokok yang boleh dipanjat. Buai yang diletakkan di bawahnya menjadi tempat bergayut, berbual dan berehat anak-anak. Daun-daunnya dibuat sayur dan rantingnya dibuat sudu dalam permainan masak-masak.
Taman kecil ini menjadi tempat anak-anak kami mendamaikan jiwa mereka. Anak kedua saya Muhammad Firdaus sejak berusia 4 tahun suka memanjat dan duduk seolah-olah bertafakur di atas dahan dicelah-celah daun. Kadang-kadang Muhammad dan rakan baiknya Abang Ngah akan berbual panjang di atas pokok.
Kini anak-anak di kawasan kejiranan kami semakin membesar. Abang Ngah dan keluarganya juga sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Keadaan tidak semeriah dulu dan kesunyian agak terasa. Hanya anak bongsu kami ’Izzuddin dan kawannya Harith sesekali bermain bersama.
Begitulah besar peranan alam dalam kehidupan. Kanak-kanak gemar bermain dan menikmati pelbagai keindahan alam yang memberi banyak penawar. Dunia mereka akan menjadi lebih luas, indah dan damai. Jiwa mereka akan sentiasa hidup dan lembut bersama alam yang sentiasa berzikir kepada penciptaNya.
Anak yang selalu berinteraksi dengan alam akan lebih tenang dan kurang meragam. Mereka juga menjadi lebih kreatif. Ini adalah kerana mereka bebas meneroka menggunakan pancaindera selari dengan fitrah kejadian. Melalui penerokaan mereka berkembang secara sihat, natural dan menyeluruh dari aspek rohani, fizikal, mental dan emosi.
Dr. Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya ”Pendidikan Anak- Anak di dalam Islam” memberi panduan antara tanggungjawab ibu bapa dan pendidik adalah membina anak-anak yang beriman kepada Allah, kekuasaanNya dan ciptaan-ciptaanNya Yang Maha Besar dengan jalan bertafakur mengenai penciptaan langit dan bumi.
Bimbingan ini diberikan ketika anak-anak sudah boleh membezakan sesuatu menggunakan metode sosialisasi berjenjang atau berperingkat iaitu dari hal yang dapat dicerna hanya dengan menggunakan pancaindera meningkat kepada hal-hal yang logik. Dari hal-hal yang bersifat partial kepada yang bersifat global dan dari hal-hal yang sederhana kepada yang lebih tersusun secara sistematik
Menurut beliau lagi kemudian barulah kita dapat membawa anak-anak kepada iman dengan cara yang logik dan argumentif.
Sosialisasi berjenjang dalam mencapai suatu hakikat seperti ini, sebenarnya adalah metode Al-Quran seperti ayat-ayat berikut:-‘
”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti siang dan malam, kapal belayar di lautan membawa keperluan manusia dan air hujan yang diturunkan Allah dari langit, lalu dengan air itu dihidupkanNya bumi yang tandus dan Dia kembang biakan di bumi ini binatang-binatang yang melata (termasuk manusia) dan perkisaran angin antara langit dan bumi; (semua itu) menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan.”- Surah Al-Baqarah ayat 164.
”Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana kami membangun dan menghiasinya dan langit itu tidak ada keretakan sedikit pun padanya. Dan Kami hamparkan bumi dan Kami tumbuhkan segala jenis tanaman yang indah di dalamnya. (Agar) menjadi pelajaran dan peringatan bagi setiap hamba yang kembali.”- Surah Qaf ayat 6-8.
Terdapat ayat-ayat lain dalam Al-Quran yang berkenaan kaedah ini.
Alam membuka pancaindera kanak-kanak terhadap sesuatu kekuasaan yang penuh mukjizat dan suatu kerajaan besar yang serba mengagumkan. Ketika melihat pepohonan yang hijau, bunga-bungaan yang indah dan beraneka warna serta bermacam-macam ciptaan Allah yang mengagumkan, hati akan khusyuk dan membangkitkan rasa keagungan Allah swt. Jiwa mereka akan tidak pernah jemu memandangnya, melahirkan rasa takwa dan nikmat beribadah kepadaNya.
Iman yang mantap, keyakinan yang mendalam dan pemikiran yang sempurna perlu disemat berasaskan dalil-dalil tauhid secara mendalam. Natijahnya hati dan perasaan anak sukar dipengaruhi anasir perosak.
Zaman kian berubah. Kehidupan zaman teknologi ini yang serba canggih dan cepat ini sebenarnya membawa kita semakin jauh dari alam. Hidup kita kini lebih banyak dikelilingi oleh peralatan elektronik yang mengikat kita untuk lebih selesa menghabiskan masa di dalam rumah.
Kanak-kanak hari ini juga semakin banyak menghabiskan masa di depan television, komputer dan bermain permainan yang dibuat daripada kertas, plastik dan besi. Kajian mendapati kanak-kanak yang terlalu lama menghabiskan masa berinteraksi dengan alat elektronik berbanding dengan manusia dan alam mempunyai kecerdasan emosi(EQ) yang rendah. Ini amat membimbangkan kerana EQ adalah 80% lebih dominan berbanding kecerdasan intelektual (IQ) dalam melahirkan individu cemerlang.
Terdapat juga ibu bapa yang khuatir anak mereka akan cedera atau kotor sekiranya bermain dengan elemen alam. Sebenarnya kanak-kanak akan belajar berinteraksi secara natural dan selamat. Pendedahan sejak kecil juga menjadikan mereka lebih selesa dan pandai berinteraksi dengan alam yang merupakan sebahagian besar daripada kehidupan.
Ibu bapa, pendidik dan orang dewasa berperanan mendekatkan kanak-kanak pada alam. Beri peluang mereka bermain dengan elemen alam seperti air, pasir, tanah, serangga, binatang, daun, ranting dan bunga. Bawa mereka melawat taman bunga, taman pertanian, ladang ternakan, hutan simpan, tepi pantai, sungai dan kawasan rekreasi.
Aktiviti balik kampung boleh diserikan dengan pelbagai aktiviti mendekati alam. Suami saya gemar membawa anak-anak mandi sungai setiap kali balik kampung dan memanjat pokok buah. Dia juga mahir membuat wau. Saya kagum apabila pertama kali melihat suami saya berjaya membuat wau yang boleh terbang tinggi. Bukan itu sahaja malah wau ini boleh ditinggalkan untuk terbang bebas di udara sepanjang malam tanpa pengawasan.
Saya pula gemar berjalan di sekeliling kampung dengan anak-anak sambil memperkenalkan mereka kepada spesies flora dan fauna. Sesekali saya masih memasak menggunakan dapur kayu di luar rumah. Anak-anak suka menolong mencari kayu api dan menghidupkan api.
Selain itu kita boleh menghiasi rumah dengan elemen alam. Saya lebih gemar menggunakan bunga hidup berbanding bunga tiruan sebagai perhiasan di dalam rumah.Ikan-ikan perhiasan di dalam akuarium, dua ekor kucing dan seekor kura-kura menjadi binatang peliharaan kami sekeluarga
Anak saya Nurin Husna suka mengutip pelbagai kulit kerang di pantai dan batu-batu sungai untuk hiasan dan membuat kraf tangan seperti bingkai gambar, kad ucapan dan anak patung. Dia juga menggunakan elemen alam seperti batu dan biji buah salak atau mata kucing untuk mengira dan bermain congkak.
Anak-anak perlu diasuh untuk memelihara dan menghargai alam sekitar. Amalan kitar semula banyak manfaatnya kepada alam dan kanak-kanak. Galakkan mereka melakukan aktiviti kreatif dan menghasilkan barang permainan daripada barang-barang terpakai seperti kotak, botol, kertas, sarang telur, perca kain dan kulit telur.
Manusia dan alam sememangnya tidak boleh dipisahkan. Anak yang dekat dengan alam sejak kecil bakal menjadi insan soleh dengan pancaran sinar iman dari dalam diri yang mampu mengajak manusia sejagat ke arah kebaikan.
Ayuh sama-sama kita pelihara alam kurniaan Allah di sekeliling kita untuk generasi akan datang.
Sekian. Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment