Tuesday, March 20, 2007

CERITA MEMBENTUK PERIBADI ANAK

Februari lalu, genaplah 21 tahun arwah emak meninggal dunia. Semakin hari semakin banyak kenangan bersama arwah ibu luput dari ingatan saya. Tapi kenangan mendengar cerita arwah emak hampir setiap malam masih segar diingatan. Mengenangkannya cukup mendamaikan jiwa.

Masih terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak ketika bersungguh-sungguh bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah-kisah daripada Al-Quran, cerita-cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan cerita-cerita kesusahan hidup emak semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kami tidak jemu-jemu mendengar walaupun berkali-kali diceritakan cerita-cerita yang sama. Inilah aktiviti yang sangat kami sukai terutama di musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Bagi kami, arwah emak adalah penglipurlara yang sangat bagus. Dia mampu membuat kami terpegun, ketawa, menangis dan banyak berfikir.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak-anak saya yang berusia dua belas, sepuluh dan empat tahun sejak kecil lagi. Mata-mata mereka akan bersinar kegembiraan. Kadang-kadang dahi mereka berkerut kerana cuba memahami apa yang di ceritakan. Soalan-soalan mereka banyak sekali. Ketika masih belum boleh bercakap mereka cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi-bunyi yang belum difahami.

Sukar untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak-anak banyak sekali. Walau kadang-kadang agak meletihkan tetapi kegembiraan dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka sangat menghiburkan.

Kanak-kanak dan cerita seperti tidak boleh dipisahkan. Mereka menilai cerita sebagai bukti kasih sayang.

Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi , meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa dan membentuk peribadi mulia.

Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Aktiviti bercerita selepas ibu bapa pulang bekerja membantu menstabilkan emosi anak yang menagih kasih setelah seharian ditinggalkan.

Anak yang menunggu kehadiran adik baru contohnya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu.Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita tentang adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain difikiran mereka. Ini dapat menolong menyakinkan dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Menasihati anak melalui cerita lebih berkesan terutama kepada anak kecil yang belum banyak menguasai bahasa.

Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun sukar memahami apabila diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa.

Perkataan ‘menderhaka’ mungkin biasa bagi orang dewasa tetapi ianya merupakan perkataan baru yang sangat susah untuk anak kecil fahami. Cara yang paling berkesan menerangkan maksud’menderhaka’ adalah dengan bercerita. Contohnya kisah “Si Tanggang” yang derhaka kepada ibunya.

Anak-anak akan lebih memahami arahan atau nasihat apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita telah banyak telah diambil alih oleh cikgu sekolah, cikgu tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apapun ibu bapa haruslah memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak-anak. Bercerita merupakan aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak-anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang. Secara tidak langsung anak-anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak dibawah umur 12 tahun. Kanak-kanak diusia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa bagi menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan memperjelaskan mesej sebenar disebalik cerita.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita .Al-Quran mengandungi banyak kisah, dan dengan kisah itu dari generasi Nabi hingga sekarang manusia dapat memperolehi pelajaran yang berharga. Keunggulan Al-Quran telah terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya.

Kita diajak bercerita tentang kisah-kisah nyata yang diceritakan Allah didalam Al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:

“ Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir”

( Surah Al-A’raf 176)

Kisah-kisah Al-Quran sentiasa mengajarkan bahawa kebenaran akan melenyapkan kebathilan. Ini dapat memberikan kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.

Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita tentang kebaikan serta keindahan alam dan makhluk ciptaanNya. Fitrah anak suka kepada cerita binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Kisah Rasullulah SAW, para nabi, para sahabat dan para pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat-sifat terpuji mereka.

Kita juga boleh mereka sendiri watak-watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak.

Anak-anak saya sudah mengenali watak ‘Abu’ yang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti “Abu balik kampung”, “ Hari pertama Abu di sekolah” , “ Abu dapat adik baru ” dan banyak lagi.

Cerita-cerita ini saya reka secara spontan ketika menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur-unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini adalah lebih berkesan. Ego anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding dengan menasihati mereka secara terus.

Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan termasuklah bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan boneka. Cerita yang mengandungi unsur-unsur humor menarik perhatian anak-anak.

Nada suara dan mimik muka yang sesuai sangat menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan kanak-kanak. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak.

Dekati anak-anak dengan bercerita. Hidupkan aktiviti bercerita dirumah supaya emosi anak-anak tenang dan peribadi mereka lebih mudah dibentuk. Insya-Allah.

No comments: