Lagu kanak-kanak Klasik Melayu Membentuk Sahsiah Anak
Oleh
Rosnah binti Ahmad
Arwah ibu saya telah kembali kerahmatullah 21 tahun dahulu. Ibu seorang yang pandai menyanyi dan bercerita pada anak-anak. Zaman kanak-kanak kami adik beradik dipenuhi dengan lagu-lagu dan cerita-cerita. Bagi ibu anak-anak adalah hiburan dan bagi kami ibu adalah penyanyi dan penglipurlara yang paling digemari. Kasih sayang kami terhadap ibu masih segar bersama kenangan yang indah ini. Mengalir air mata saya ketika menulis artikel ini dan setiap kali membacanya. Moga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.
Arwah ibu sentiasa memdodoi anak-anak dengan zikir-zikir dan menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak klasik Melayu yang sarat dengan mesej dan aksi.
Dimana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sekarang saya turut melakukan perkara yang sama kepada anak-anak saya mengikut tahap perkembangan mereka. Disamping itu saya menggalakkan semua guru dan pengasuh yang bekerja di taska, pusat jagaan dan tadika saya supaya mengaplikasikannya kepada anak-anak jagaan kami.
Sejak lahir ibu akan mendodoi kami dengan zikir “lailahaillallah”. Sebagai anak sulung, bila sudah besar saya menolong mendodoi buaian adik dengan kalimah yang sama kerana meniru ibu.
Sejak bayi kami akan ditimang dengan alunan lagu:-
Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab
Semasa menghadiri satu kursus pendidikan awal kanak-kanak beberapa tahun lepas saya diberitahu bahawa maksud “belum tumbuh gigi” bermaksud kanak-kanak akan pandai membaca Al-Quran sebelum anak mula tumbuh gigi kekal sekitar umur enam dan tujuh tahun.
Menimang anak juga adalah sangat bagus untuk perkembangan fizikal dan pembangunan otak kanak-kanak.
Bijak sungguh orang tua-tua kita mendoakan anak-anak melalui nyanyian disamping pergerakan yang menggalakkan perkembangan anak secara menyeluruh.
Kemudian apabila anak sudah boleh membuka dan menutup tangan disekitar umur tujuh bulan ibu akan menyanyikan lagu:-
Cak Cekur dan gamit
Minta cekur beri kunyit.
Anak diajar untuk membuka dan menutup tangannya mengikut lagu yang dinyanyikan dan ini membantu menguatkan otot-otot jari dan tangan anak. Kemudian mereka akan mengaksikan tangan setiap kali lagu ini dinyanyikan.
Aktiviti begini bukan sahaja menghiburkan dan meningkatkan keyakinan diri anak. Malah ia memberi peluang mereka berlatih kebolehan pada satu-satu tahap perkembangan. Dengan cara begini anak akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi dengan lebih cepat.
Apabila telah pandai menggunakan jari telunjuk disekitar sembilan bulan arwah ibu suka menyanyikan lagu:
Tun tun nukut
Nukut dalam cupak
Mana tikus mondok
Menyorok bawah ketiak
Tun tun nukut
Nukut dalam cupak
Mana tikus mondok
Menyorok celah kelangkang
Lagu ini diaksikan oleh anak dengan mengetuk-ngetuk satu jari telunjuk ke tapak tangan yang satu lagi. Apabila habis lagu dinyanyikan ibu akan mengeletek bawah ketiak dan celah kelangkang anak supaya merasa geli dan ketawa.
Pada peringkat ini anak juga diajar menepuk tangan dengan lagu Tepuk Amai-Amai.
Apabila anak mula bertatih ibu menyanyikan lagu berikut:-
Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi
Lagu-lagu lain yang dinyanyikan oleh arwah ibu termasuk Buai Laju-Laju, Rasa Sayang, Tom Tombak, Air Pasang Pagi, Enjit-Enjit Semut, Lompat Si Katak Lompat, Tebang Tebu dan banyak lagi.
Lagu kanak-kanak Melayu klasik mengandungi mesej beserta aksi atau pergerakan kreatif yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh dan pembentukkan sahsiah generasi kita sejak turun temurun.
Lagu-lagu ini juga banyak membawa mesej positif dalam diri anak iaitu mesej Islam, taat kepada Allah, nasihat, nilai moral yang tinggi, taat kepada ibu bapa, menyemai rasa kasih sayang dan mencintai keindahan alam. Doa dan harapan ibu bapa terhadap anak banyak diselitkan dalam lagu-lagu ini. Malangnya lagu-lagu ini seakan semakin dipinggirkan.
Kanak-kanak dan lagu memang tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan asas untuk mereka melihat, mendengar, bertutur, bergembira dan meneroka anggota badan dan alam sekeliling melalui seni, musik, pergerakan dan kreavitiviti. Dari sini keyakinan diri mereka akan terbentuk dan mereka akan menjadi anak yang riang, mudah bergaul dan belajar.
Lagu yang sesuai untuk kanak-kanak peringkat awal adalah lagu beraksi, permainan berlagu, lagu yang menggunakan perkataan yang mudah dan lagu yang selalu diulang. Lagu yang tidak bermakna juga boleh digunakan. Zikir-zikir dan lagu-lagu klasik Melayu menepati ciri-ciri ini. Ia juga membolehkan kanak-kanak mengenali dan menghargai budaya agama dan bangsa kita.
Lagu dan pergerakan kreatif juga penting dalam menyampaikan sesuatu maksud kepada perkataan atau arahan yang di beri kepada anak. Setiap arahan haruslah tepat, jelas dan disertakan dengan aksi yang menyerlahkan maksud perkataan supaya mesejnya sampai .
Sebagai contoh permainan berlagu seperti Lompat Si Katak Lompat dapat mengajar anak pergerakan yang dikaitkan dengan perkataan “melompat”. Aksi melompat dengan tinggi dan rendah menggalakkan perkembangan fizikal. Ia juga bagus untuk perkembangan kognitif anak dengan memahami konsep tinggi dan rendah..
Perkembangan kognitif atau akal kanak-kanak boleh digalakkan melalui permainan berlagu terutama lagu yang menggunakan kompetensi gerak tangan. Saya sangat suka lagu Air Pasang Pagi yang banyak menggunakan pergerakan tangan menyilang yang sangat baik untuk pembangunan otak kanan dan otak kiri secara seimbang. Aksi lagu ini juga dimainkan dua orang secara berkumpulan. Ia bagus untuk berkembangan emosi dan sosial anak.
Banyak juga lagu yang berunsur teka-teki, mengenal abjad dan metametik yang baik untuk minda anak. Permainan berlagu Mak-Mak Pergi Pasar contohnya mengasah kemampuan anak untuk mengenal dan mengeja warna.
Aktiviti nyanyian beraksi dapat meningkatkan kecerdasan kanak-kanak. Anak kecil yang aktif menunjukkan bahawa ia akan tumbuh menjadi anak yang cergas.
Sabda Rasullullah SAW bermaksud:
“ Keaktifan anak di masa kecil akan menambah kecerdasannya ketika dewasa.”
( Hadis Riwayat Tarmidzi)
Sebagai ibu bapa, kita juga mestilah memahami bahawa fitrah kanak-kanak gemarkan nyanyian dan pergerakan. Mereka banyak belajar melalui nyanyian dan permainan. Ada ibu bapa yang agak malu untuk menyanyi dan melakukan aksi lagu bersama anak-anak. Sikap ini mestilah dikikis dan diganti dengan sikap memupuk minat berkreatif melalui zikir, nasyid dan nyanyian.
Setiap aksi mestilah dimulakan oleh ibu bapa kerana anak suka meniru. Aktiviti begini merupakan salah satu aktiviti masa berkualiti yang harus dilakukan setiap hari bersama anak-anak supaya mereka rasa gembira, dihargai dan disayangi.
Tidak kurang pentingnya adalah nyanyian dan pergerakan akan mempengaruhi emosi anak. Anak-anak yang selalu dinyanyikan akan selalu tenang dan kurang meragam.
Juga aktiviti begini akan menjadi kenangan indah anak-anak buat selama-lamanya sepertimana kenangan saya bersama ibu saya yang tercinta.
“ Ya tuhanku, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku kecil.”
Amin.
"Sayangi dan dekati anak-anak kita"
Sekian. Wallahua’alam.
2 comments:
salam. saya setuju dengan pandangan Pn. Rosnah. sememangnya lagu klasik kanak-kanak mempunyai banyak peranannya dalam kita mendidik anak.walaupun saya belum berkhawin tetapi minat saya untuk menkaji lagu-lagu ini membuatkan saya kagum dengan masyarakat dahulu yang pandai mendidik anak-anak melalui lagu dan pergerakan badan walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi namun ilmu dan pengalaman mereka cukup banyak.
Waalaikumsalam,
Syabas atas minat adik Sakura. Ya, memang kita perlu memulihara khazanah lagu klasik nusantara kita demi genarsi pewaris yang lebih beridentitikan ketimuran dan kelembutan.
Wasslam.
Post a Comment