Tuesday, February 5, 2019

KANAK-KANAK BERKEMBANG DENGAN BAIK JIKA DIBERI PELUANG MELAKUKAN SENDIRI KERJA-KERJA RUMAH

Kanak-kanak berkembang dengan baik dan natural sahaja jika diberi peluang melakukan banyak perkara dalam rutin seharian di rumah.

Ya, memberi peluang kepada kanak-kanak melakukan sendiri kerja-kerja rumah seperti membasuh pingan, melipat kain, menuang air, mengemas, menyapu dan menolong membasuh kereta dapat mempertingkatkan perkembangan mereka dari segala aspek.

Contoh dari segi perkembangan fizikal. Ciri perkembangan fizikal adalah:

1. Kebolehan
2. Kesediaan dan
3. Urutan pengalaman.

Bagaimana nak tahu kanak-kanak sudah boleh dan bersedia? Mudah saja. Apabila mereka ingin melakukan sendiri dan suka menolong. Inilah masa terbaik atau tempoh sensitif untuk mereka memperolehi sesuatu skil, menyerap ilmu pengetahuan dan mempelajari sesuatu.

Peranan ibu ayah adalah untuk menjadi pemudah cara dengan menyokong kebolehan anak dan menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat seperti meletakkan cawan dan bekas air plastik di meja rendah supaya anak mudah untuk menuang air.

Urutan pengalaman pada satu tahap mempengaruhi tahap seterusnya. Sila rujuk https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156941693979231&id=697059230 video anak Mak Long  'Izzuddin sekitar umur 3 tahun dalam Video 1, 5 tahun dalam Video 2 dan 7 tahun dalam Video 3. Lihat bagaimana skil membasuh pinggan itu bertambah halus (fine) dengan pengalaman dan latihan yang banyak.

Kanak-kanak yang biasa melakukan kerja-kerja rumah akan lebih lembut jari-jari mereka. Ini juga memudahkan proses belajar menulis ..

Memberi peluang dan galakkan untuk melakukan banyak perkara sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motor skil kanak-kanak malah dapat memperkasakan mereka untuk mengurus diri, meningkatkan kemahiran berfikir, menaakul dan  menyelesaikan masalah serta membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan emosi yang stabil.

Utamakan keselamatan! Pengawasan sangat penting dalam tempoh ini kerana naluri ingin tahu dan keinginan kanak-kanak untuk meneroka dan mencuba adalah sangat tinggi. Apa pun pengorbanan masa dan tenaga ibu ayah adalah pelaburan jangka panjang yang insyaAllah sangat menguntungkan.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya"

Raikan fitrah. Santuni akhlaq dan adab.

Allahu 'Alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Madrasah Pertama, Ibu bapa Guru Utama

No comments: