Thursday, August 24, 2023

PILIH BAHAGIA--BINA SEMPADAN DIRI

Usah memberi "kunci rumah" kepada orang lain untuk masuk dan berbuat sesuka hati.


Berhenti berusaha memuaskan hati semua orang.


"Do not let people walk all over you."


Orang yang selalu cuba memenuhi semua kehendak orang lain sering merasa tidak cukup baik atau '"I am not good enough" dan selalu cuba memenuhi kehendak orang lain atau "a people pleaser".


Mungkin juga ada ego  yang mahu dilihat "baik" dan ada ketakutan yang tidak berasas.


Takut orang terasa hati. Takut orang tidak suka. Takut orang kata.


Lama-kelamaan orang lain terutama dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat mengambil kesempatan atas "kebaikan" mereka. Akhirnya mereka akan rasa terbeban, keletihan dan "sakit". 


Orang yang bahagia itu bukanlah orang yang sentiasa mampu untuk memenuhi kehendak orang lain tetapi orang yang bahagia itu tahu limitasi diri, meletakkan sempadan diri dan mampu berkata "tidak".


Ingat! Apabila anda mula meletakkan sempadan diri: orang yang memiliki sempadan diri yang lemah mudah terasa hati; tapi ini tidak bermakna anda yang bersalah. 


Berhenti mengizinkan diri anda menjadi mangsa. 


Pilihlah untuk bahagia! Kerana dirimu begitu berharga.


Orang yang bahagia itu mampu membahagiakan orang lain. InsyaAllah.


 

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ


"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu."


(QS Ash-Shura: 30)

 


لَاإِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ


 "Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang menganiaya diri." (QS. Al‐Anbiya': 87).


"Bahagia itu terletak pada ketenangan hati. Sesiapa sahaja mampu memilikinya"- Mak Long

.

.

Allahu 'Alam.


🌹Mak Long

#closetoyourheart

Tuesday, August 8, 2023

REALITI- IMPIAN, HARAPAN DAN CITA-CITA



Impian, harapan dan cita-cita?

Hmm, rasanya semua itu sudah berubah maknanya bagi diri saya.

Melewati fasa-fasa kehidupan melebihi setengah abad membezakan bagaimana saya memaknai kehidupan sekarang.

Mempunyai keluarga sendiri adalah satu impian suci saya. Kebahagiaan membina keluarga bersama suami dan anak-anak adalah kebahagiaan yang dicari. 

Menilai kehidupan saya masa kecil dan mengimpikan kelainan yang saya rasai betul dan berazam mendidik anak-anak dengan cara saya.

Ahh, impian seorang wanita yang melewati usia mendefinisikan bahagia dengan membina “the perfect picture”.

Impian suci yang kelihatan mulia itu saya usahakan tanpa saya sedari yang saya katakan niat kerana Allah SWT itu sudah dicemari dengan banyak kelalaian dan tumpuan Tuhan-Tuhan selain Allah.

Ketika mengharapkan Tuhan-Tuhan lain itu, saya jadi isteri dan ibu yang lelah, sering tersinggung, banyak kecewa, resah,  gelisah, sering sakit hati, membandingkan kehidupan dengan orang lain, bersaing dalam mendapatkan duniawi, ujub, iri dan lain-lain yang sejenisnya.

Terkadang impian membina keluarga bahagia itu semakin menduga, semakin menjauh untuk digapai. Jikalau pun bisa digapai, prosesnya melelahkan, tidak ada keberkatan dan kenikmatan.

Sampai akhirnya kesedaran kendiri itu hadir, seringkali dihadirkan dalam bentuk kepahitan, kesakitan, kepayahan, kesempitan, atau bentuk lain yang tidak enak rasanya.
.
.
Seperti kata Imam Syafii

“Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang, 
maka Allah timpakan atasmu pedihnya sebuah pengharapan, supaya kamu mengetahui bahawa Allah mencemburi hati yang berharap selain Dia. 
Maka Allah menghalangimu 
dari perkara tersebut agar kamu kembali 
berharap kepadaNya.”

Ada satu cita-cita yang akan membuatkan segalanya menjadi ringan, indah, bahagia dan berkat.

Cita-cita yang membingkai segala impian dan harapan.

Cita-cita itu adalah keredhaanNya. 

Cita-cita untuk menjadi hamba yang diredhai. Hamba dalam segala keadaan dan posisi.

Maka jika seperti itu, sudah tidak ada lagi persaingan mengalahkan orang lain dan menjadi yang terbaik, melainkan berusaha, bersinergi dalam proses membina keluarga dan menjayakan anak menjadi orang yang memberi sebesar-besar manfaat kepada siapapun.

Jika keredhaanNya yang dicita-citakan maka hilanglah perasaan selalu merasa tidak cukup, melainkan timbul kesedaran untuk memurnikan niat, berikhtiar menyempurnakan langkah, lalu memasrahkan hasilnya.

Impian dan harapan layaknya sebuah doa, meminta dan mengusahakannya adalah sebuah kebaikan, namun dikabulkan atau tidak--terhasil atau tidak-- Dialah Yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Jika yang dicita-citakan adalah redhaNya, maka mudah pula kita memiliki hati yang redha terhadap apa sahaja kejadian, takdir dan semua yang menjadi ketetapanNya.

Ketika keredhaanNya yang dicita-citakan, segala impian dan harapan semakin mendekat dalam genggaman. Ya, cukup yang dalam gengaman, ternikmati dalam keberkatan dan kedamaian.

Allahu 'Alam.

Sunday, April 23, 2023

KENALI ALAM-OLEANDER


Indah dipandang tapi awas! Bunga Oleander ni BERACUN. Seluruh bahagiannya.

Macamana nak tahu pokok beracun? Antaranya adalah burung dan unggas tidak suka, juga biasanya bunga dan daunnya tak dimakan ulat...molek je. Itu kalau kita tak sembur racunlah😀.

Itulah sebabnya bila beli sayur kalau molek sangat daunnya tu faham2 jelah ya😬

Hati-hati bila ada budak2 atau bela kucing ya.

Allahu'alam

☘️Mak Long
#lamanmaklong

Saturday, April 22, 2023

LEBARAN 1444H/2023M

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Dan Batin kepada semua. .
.
.
Tetamu sudah mohon izin pulang
Sepurnama berkunjung
Berat hati ini melepaskan
Kerna banyak sekali keberkatannya
Menjadikan malamku semakin damai
Menjadikan siangku semakin indah
Menjernihkan yang keruh
Hingga bercahaya yang kelam

Kembalilah lagi ya.. 
Wahai tetamu
Semoga perpisahan ini hanya sementara
Namun jika ini kali terakhir kau bertamu
Pilihlah aku sebagai hambaNya yang mencintai dan dicintaiNya.

Mak Long
30 Ramadhan 1444H

Tuesday, October 18, 2022

MANFAAT ALAM-Menyejukkan dan Menyamankan Suasana Rumah

Mak Long suka ada pokok dalam rumah. Suka sangat .hehe

Bukan apa pokok-pokok nikan berzikir. Jadi bila masuk rumah penat pun hilang dan rasa segar gitu.

Pokok-pokok pun keluarkan oksigen. Bagus utk orang-orang dalam rumah.

Tapi pokok dalam rumah penjagaannya lain sikit. Contoh tak perlu siram hari-hari dan kena tahu pokok mana yg boleh hidup dalam rumah. Pencahayaan juga penting. Explore je lama-lama retilah😀

Gambar:. Happy ml hari ni dapat beli kaki pasu tu. RM15. Pokok buluh jepun tu ml tanam. Dah lama. Senang je hidup insyaAllah. Boleh datang ambil keratan batang kat umah ml ya..

Allahu 'Alam

☘️ML
#lamanmaklong

Monday, July 25, 2022

ADAB ANAK TERHADAP IBU BAPA


☘️ Segera menyahut panggilan

☘️ Tidak memotong percakapan

☘️ Sentiasa mendoakan ibu bapa

☘️ Merendahkan suara di hadapan mereka

☘️ Meminta izin ketika hendak keluar rumah

☘️ Sentiasa memuliakan dan menggembirakan

☘️ Mencium tangan dengan penuh kasih sayang

☘️ Berbicara dengan lemah lembut dan bersopan santun

☘️ Memuliakan dan bersilaturahim dengan sahabat mereka

☘️ Memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan

☘️ Mentaati perintah dan nasihat mereka kecuali perkara maksiat.

Rasulullah SAW bersabda:

"Reda Allah SWT bergantung atas reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah SWT bergantung atas kemurkaan kedua-dua ibu bapa."

Hadith diriwayatkan oleh Muslim.

Allahu ' Alam

Thursday, October 7, 2021

Bayam Brazil Celup Tepung


RESEPI DARI LAMAN MAK LONG

Bayam brazil celup tepung. Fresh from the garden.

Campur tepung gandum, tepung jagung dan tepung bistari yang pedas. Potong bawang merah halus2 gaul dan goreng ..kejap je ..sedap..rangup

Selamat mencuba..