Monday, October 22, 2018

Hear and hug-perkongsian pengalaman sorang isteri

http://beritadinding.blog/2018/10/21/aku-tertekansampai-hilang-kawalan-cubit-cubit-anak-depan-suami-suami-pun-terus/

Aku tertekan,sampai hilang kawalan cubit-cubit anak depan suami. Suami pun terus…….

21/10/2018 farezez91

Assalamualaikum, aku silent reader IIUM Confession. Meh aku kenalkan diri dulu, aku Sha berusia lewat 20-an, seorang surirumah dengan 2 toddler dan 1 infant. Suami aku berumur awal 30-an, seorang pekerja office hour 8-5, sabtu ada partime 4 jam.

Aku 24/7 dengan anak-anak, suami aku seorang yang bertolak ansur, ringan tulang dan selalu ada di rumah selain waktu bekerja, dia tak ada kawan lepak. Sebenarnya aku tak tahu yang aku suffer depression sampailah satu hari seorang anak aku tantrum dan aku sakit kepala yang buat aku loss control, entah macam mana tangan aku cepat cubit-cubit dia dan jadi depan suami aku. Dia pegang anak dan suruh aku stay dalam bilik, dan suruh aku keluar bila aku rasa ok.

Lepas peristiwa tu, aku perasan suami aku agak carefull, risau aku loss control masa dia kerja. Pagi-pagi dia akan settlekan sarapan, uruskan pakaian anak aku yang tadika, ajak aku makan sekali pagi-pagi dan balik kerja dia akan settlekan ketiga-tiga orang anak, dia akan bagi mandi, suap makan dan pujuk anak-anak tidur.

Satu hari anak-anak tidur awal, around 9pm dan suami aku ajak aku berborak. Dia tanya semua ok ke, aku rasa apa-apa yang tak selesa ke dan dia minta aku buat Depression Axienty Stress Scales (DASS Test) dan aku pun jawab dengan baca berkali-kali. Bila result dapat, keputusan aku semuanya di Tahap Sederhana. Saat tu baru aku tahu aku tertekan dan waktu tu aku ingat aku menangis sebab pernah baca tekanan boleh sebabkan orang kelar,bunuh anak.

Suami aku seorang yang suka membaca dan ada peluang bila panel hebat-hebat bagi talk di pejabat dia, dia akan minta tips dan pendapat. Aku tak ingat siapa pencaramah tu, dia bagitahu suami akau, hear and hug. Balik kerja suami aku akan pastikan aku bercerita, walaupun topik bodoh macam anak tumpahkan air, aku sidai baju tak terbalikkan dulu dan semuanya yang kadang-kadang aku rasa benda kecil. Hari-hari sebelum kerja, suami aku aku hug dan pesan apa-apa call dia, dia akan cepat balik.

Lepas bercerita, suami aku akan hug. Simple sebenarnya, emotion support yang sangat penting. Hari-hari aku rasa lebih ok dari dulu,kalau anak tantrum waktu suami aku tak ada di rumah aku dah boleh handle. Aku boleh pujuk dia baik-baik dan anak aku semakin ok dari mengamuk memberontak ke cakap apa yang dia nak tanpa menangis. Anak aku umurnya 2.5 tahun dan lelaki.

Setelah dua bulan aku buat sekali lagi DASS Test dan resultnya depresi aku di tahap rendah. Malam-malam sebelum tidur, aku akan pillow talj dengan suami dan benda remeh ni sangat buat aku rasa dihargai. Sebenarnya DASS Test ni dah bawak ke KK terdekat untuk lanjutan cuma aku tak diberi ubat antidepresi. Doktor cadangkan suami tolong aku dulu dan aku kena tukar circle, remove toxic peoples di socmed aku.

Aku rasa semakin ok dan aku percaya suami perlu mainkan peranan bila nampak bini dan lain macam sebab suami satu-satunya yang hadap isteri hari-hari. Hear and Hug sangat membantu aku dan aku sarankan kalau apa-apa tolong luahkan, kalau bukan dengan suami boleh luahkan dengan orang yang awak percaya.

Depresi bukan penyakit tapi mampu membunuh dalam diam. Semoga ALLAH sentiasa merahmati kita.

– Aku Sha

Monday, October 1, 2018

Fitrah Sayangku

Fitrah Sayangku

Sayang,
Tika kau lahir
Tanganmu mengenggam erat
Laluku buka jari jemarimu
Ku beri kau sentuh pipiku
Dan pelbagai tekstur

Kau mula mengapai
Ku galakan kau mencapai
Mainan pilihanmu
Ku sediakan kerincing
Pelbagai bunyi
Untuk kau ketuk berulang kali

Kau memegang objek
Ku berikan mainan
Yang berwarna dan berbentuk
Untuk kau manipulasi
Moga menyeluruh perkembanganmu

Kau membuka dan menutup jari-jarimu
Ku nyanyikan lagu tradisi
“Cekur dan gamit ,
minta cekur beri kunyit”
Gelagatmu menciut hatiku
Ku cium pipimu
Tanda penghargaan dan kasih

Kau mengutip dengan tiga jari
Kau beri kau makan sendiri
Biar bersepah
Tak mengapa sayang
Agar kau mahir dan bertambah lembut jari jemarimu

Kau melepaskan barang
Ku galakan kau berlatih
Memasukkan dan mengeluarkan
Mainan dari bekas
Agar kuat otot jarimu

Kau pandai menconteng
Ku berikan krayon dan kertas
Ku terima dan puji apa saja usahamu
Ku hiaskan dinding rumah kita
Dengan karya senimu
Agar kau bertambah yakin

Kau pandai mengoyak
Ku berikan kertas
Untuk kau koyak
Supaya semakin halus skilmu

Kau suka meramas
Ku berikan span dan air
Agar kau berlatih
Ku buatkan doh
Agar kau membentuk
Dan mencipta sesukamu

Kau suka menuang
Ku sediakan cawan dan air
Agar kau lakukan sendiri
Kau menumpahkan
Ku berikan peluang
Kau menyelesaikan masalah
Agar kau berfikir
Ku sediakan peralatan mengelap
Agar kau bertanggungjawab

Kau mengetuk-getuk
Ku berikan apa minatmu
Untuk kau ketuk
Dan membezakan bunyi

Kau mula bertatih
“ Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi”
Alunan laguku
Mengiringi gerakmu

Langkahmu makin tegap
Kau berlari ke sana ke mari
Ku kejar langkahmu tanpa jemu
Ku bawa kau ke alam
Biar kau meneroka persekitaranmu
Agar kau kenal Penciptamu

Bila kau jatuh
Ku galakkan kau bangkit
Lari lagi sayang
Ku beri semangat
Kau mengadu calar kakimu
Ku cium lukamu
Penawar tangismu

Kau bercakap dan bertanya
Ku layan keletahmu
Ku bacakan buku cerita
Agar meningkat bahasamu

Sayangku,
Kau terus membesar
Ku rangsang dirimu
Ke asah bakatmu
Ku pupuk potensimu
Ku asuh fitrahmu
Ku santuni adab dan akhlakmu
Diiringi doa tanpa henti
Kerana
Kau insan hebat
Kau khalifah bumi tercinta
Kau pewaris perjuangan
Kau amanah buatku
Kau cahaya mataku.

Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Monday, September 24, 2018

FITRAH DAN PERKEMBANGAN EMOSI ANAK

" Aisyah sejak dapat adik ni asyik merengek je terutama ketika saya menyusu adiknya. Masa itulah dia suruh saya bacakan buku cerita. Kadang-kadang Aisyah pukul adiknya tapi dia juga menunjukkan rasa sayang contohnya dia tak bagi orang lain pegang adik dia." Puan Aida mengadu kepada saya berkaitan anak sulongnya Aisyah (2 1/2 tahun ) yang baru dapat adik 2 minggu yang lepas.

Situasi seperti ini adalah normal dan sesuai dengan fitrah anak kecil seusia Aisyah yang menunjukkan emosi sayang dan pada masa yang sama cemburu dengan adiknya.

Emosi seperti gembira, sedih dan takut adalah reaksi yang subjektif terhadap pengalaman yang berkaitan dengan perubahan psikologi dan tingkah laku (Sroufe, 1997). Bagaimana seseorang menunjukkan emosi terhadap sesuatu peristiwa atau keadaan banyak dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya.

Bayi dibekalkan emosi asas iaitu gembira, sedih, takut, dan marah untuk memulakan kehidupan. Emosi awal yang ditunjukkan bayi memberikan petanda penting kepada perkembangan selanjutnya. Bayi menangis apabila lapar  atau tidak selesa. Respon sewajarnya yang diberikan oleh penjaga membuat bayi rasa selamat. Dengan ini bayi membina kawalan diri dan perhubungan yang baik dengan orang lain.

Seperti perkembangan fizikal, bahasa dan kognitif, perkembangan emosi juga berlaku secara berperingkat. Empati, dan cemburu hadir hanya selepas kanak-kanak mencapai tahap kesedaran kendiri atau "self-awareness" iaitu tahap apabila seorang kanak-kanak mula sedar bahawa mereka adalah individu yang berbeza dan tindakan mereka memberi kesan kepada orang lain. Ianya bermula sekitar usia 15 hingga 24 bulan. Ini juga fitrah sesuai dengan keperluan hidup seorang anak yang semakin membesar. Seperti perasaan cemburu Aisyah timbul sesuai dengan usianya mendapat adik.

Emosi cemburu yang ditunjukkan Aisyah memberi petunjuk kepada ibu bapanya untuk lebih peka kepada perasaan Aisyah dan berlaku adil. Apapun pada masa yang sama kanak-kanak perlu belajar mengurus emosi. Dalam situasi Aisyah yang meminta dibacakan buku ketika ibunya menyusu adik, ibu boleh memberikan buku bergambar dan menggalakkan Aisyah melihat gambar dahulu sementara ibu menyusukan adik. Usai menyusu, ibu  meletakkan adik dan beri perhatian kepada Aisyah pula dengan membacakan buku cerita. Dengan ini Aisyah belajar bertolak ansur, bersabar serta merasa dirinya diberi perhatian dan tidak merasa terpinggir. Proses ini juga membantu Aisyah menerima dan menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli keluarga yang baru.

Sekitar 3 tahun, kanak-kanak akan memperolehi lebih banyak pengetahuan berkaitan adab,  budaya dan peraturan dalam persekitaran sosial. Mereka semakin mahir menilai pemikiran, kehendak, dan tingkah laku yang diterima. Kemudian emosi seperti rasa bersalah, bangga, malu dan emosi yang lebih kompleks terus berkembang sesuai dengan umur dan tahap kesediaan mereka.

Emosi yang ditunjukkan anak perlu diterima dan ditangani dengan bijak. Ibu bapa harus peka, memahami, memenuhi keperluan dan membantu anak mengurus emosi dengan baik sejak kecil.

Perkembangan emosi  mempengaruhi aspek perkembangan yang lain. Emosi yang sihat melahirkan anak yang cergas dan cerdas.

Wallahu'alam.

Tuesday, August 7, 2018

MEMUJUK ATAU BERTEGAS


Haikal (2 tahun) merengek hendakkan susu.  Apabila tidak diendahkan rengekan Haikal bertukar menjadi tangisan dan hentakan kaki. Ibunya yang sedang sibuk di dapur berkata "Cakap elok-elok. Nak apa." Kemudian Haikal terus mengamuk dan menggulingkan diri di lantai. Melihat amukan Haikal semakin menjadi-jadi, ibunya menghampiri Haikal dan memujuk sambil berkata "Haikal nak susu ye. Nanti ibu buatkan". Haikal diam selepas mendapat kehendaknya.

Adakalanya dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu memujuk dan adakalanya perlu bertegas. Berlembut dan sentiasa memujuk dalam apa jua keadaan  menyebabkan anak tidak dapat membezakan antara betul dan salah serta tidak belajar abab dalam berinteraksi.
Akhirnya tingkah laku seperti mengamuk menjadi kebiasaan dan  kemungkinan menjadi lebih agresif pada masa akan datang jika ianya tidak dibendung dari awal.

Dalam situasi tadi sebaiknya ibu Haikal  menggunakan tonasi suara yang tegas dan "eye-contact" serta membimbing anaknya untuk meminta sesuatu dengan baik. Ibu menegaskan anak perlu meminta dengan memberikan contoh ayat dan galakkan anak mengikut seperti" Ibu, Haikal nak minum susu". Ya, bina ayat yang lebih spesifik kerana anak pada usia itu tidak faham apakah yang di maksudkan dengan "cakap elok-elok". Permintaan anak hanya akan ditunaikan jika mereka menunjukkan usaha mengikut arahan ibu. Cara ini mendidik anak mengawal diri, bersabar, menghormati ibu dan beradab dalam meminta sesuatu.

Anak juga perlu tahu bahawa mengamuk adalah satu tingkah laku yang tidak diterima dan tidak akan dilayan. Mengamuk pada tahap umur ini adalah normal tetapi memujuk anak ketika mengamuk hanya akan mengukuhkan tingkah laku yang salah dan tidak membantu anak mengawal diri.

Dalam bertegas juga ibu bapa perlu sepakat dan konsisten. Jika tidak anak akan keliru dan menyukarkan proses membetulkan tingkah laku.

Apapun ibu bapa harus peka kepada perlakuan anak supaya dapat membetulkan tingkah laku yang salah dari masa ke semasa dengan bertegas dan  menunjukkan tingkah laku yang betul supaya supaya anak membentuk peribadi mulia. Jika tidak perlakuan yang tidak baik menebal dalam diri hingga ke besar dan boleh mempengaruhi anak-anak lain di persekitaran.

Sekian. Wallahu'alam.

#Sentuhan Bapa Belaian Ibu
Perkasakan Institusi Keluarga
Kembalikan Peranan Ibu Bapa

Wednesday, July 25, 2018

Perkongsian Ummi Hadi dan Asma'

Selepas 7 minit anak kecil yang diibaratkan kain putih ini pun terlelap..

Throwback sebelum itu...dia sedih selepas kena marah dengan abah..Time ajak makanbersama, dia sibuk dengan kartun..Semua orang dah makan, abah ajak g surau..Terus ke surau..Balik surau baru nak makan.Suruh makan di meja makan, nak makan depan tv, last tumpah.. Sudah 3 hari asyik menumpahkan makanan..Peranan abah nak disiplin kan anakanda kami..

Sedih kena marah dengan abah..Ummi biarkan dia.. Tengok termenung atas sofa..Ummi g lah tanya..Hadi tanya, ummi kalu marah banyak-banyak tanda apa?

Ummi kata, tanda Hadi kena berubah..

Ummi peluk Hadi..jom mandi..Dari petang ummi suruh mandi takmau mandi..sibuk dengan kartun dia.

Baru lah dia bangun..Ummi pulak sebab terlelap tadi, baru nk solat, ummi pun baru nak solat..Hadi kata, ummi tadi Hadi solat laju-laju..Hadi nk solat semula..(mesti kena tegur lagi dengan abah dia tu)

Tahun ini dah nak masuk 7 tahun hujung tahun ni, mula latih solat.awal tahun baru ni, biar je dia solat mana pun..Dah masuk bulan Julai ni kita tegur sikit-sikit..

Saya berdoa bahasa melayu, Ya Allah, ampunkan kami, Ya Allah jadikan Hadi anak yang soleh, jadikan Asma' anak yang solehah..

Anak kecil ini bertanya selepas solat, Allah ampunkan Hadi ke ummi?

Ya Hadi..Tadi Hadi dah istighfar? dia angguk..

Baiknya anak kecil tiada dosa ini..Saya perasan sejak dia solat, mudah nk dilenturkan..

Sebelum tidur, reset minda, program kan minda dia seperti pesan Dato' Fadzilah Kamsah tadi.

Esok Hadi hafaz banyak-banyak.kat sekolah..Tanya seronok ke hafaz Quran? Dia kata seronok.. Alhamdulillah..

Esok Hadi balik sekolah terus mandi,.pastu main ..Nanti ikut abah g solat kat surau..Balik baca dengan ummi..Baik ummi..

Sebelum tidur, nak baca buku dulu kata-nya...

Dan tidur dengan lenanya..Teringat sangat pesan Dato' tadi, Jangan biarkan anak tidur dengan tangisan..Pujuk dan reset minda dia..puji dia.Insya Allah.

TIPS PARENTING..jom sharing..

JANGAN KATA ANAK DEGIL
IANYA SATU DOA

Jika anak ada masalah, kenalpasti masalah dia..
Reset minda anak supaya dia lakukan perkara tersebut dengan spesifik.Sebab otak bertindak ikut gambar dalam otak..

Jadilah anak yang baik..Takde gambar..

Abang Hadi ( sebut nama dia, saya tak panggil nama abglong dan sbgnya.) Sbb nama mrk adalah doa dan ubat buat mereka..

Abang Hadi esok pergi sekolah dengar cikgu ajar.Baca buku sungguh-sungguh..Bila cikgu beri tugasan, buat cepat-cepat..

Dia nampak gambar apa perlu buat esok..

Doakan anak kita supaya dia berubah.Sebutkan spesifik apa yang diubah.

Anak kita boleh berubah..Tetapi pastikan kita dahulu berubah..Anak lihat, anak buat..anak tak dengar cakap kita..Wujudkan suasana utk dia lihat dan jadikan ianya contoh tauladan..

Paling penting diumur kecil tanamkan solat dan   Al Quran, kejujuran, dosa dan pahala..

Saya banyak terima aduan anak remaja tak dengar cakap, tak jujur, mencuri.
Semuanya bermula dari didikan semasa kecil ini.

Sebab itu saya tidak aktif lagi berceramah, sebab perlukan masa membimbing anak-anak saya..Jadual ceramah saya susun berkala..

Anak perlukan masa bersama, masa berkualiti sahaja tak cukup, kuantiti masa perlu ditingkatkan..

Ajar anak sabar, belajar kawal emosi.. Subhanallah banyak lagi saya nk share .Ada masa nanti kita share lagi..

#UmmiHadiAsma'
#LoveParenting

Friday, April 13, 2018

Media Sosial Mempengaruhi Gaya Keibubapaan Hari Ini


Assalamualaikum. Salam kedamaian dan keindahan buat semua. Selamat bertemu kembali 😄☘.

"Mak Long tahu tak anak dia tu pandai-pandai. Mungkin sebab dia dan suami pun pandai, kerja bagus-bagus dan mampu bagi segalanya pada anak-anak. Suka tengok "posting-posting" dia". Itulah luahan seorang ibu kepada saya tempoh hari dengan nada yang agak tertekan. Beliau seterusnya meluahkan beberapa masalah berkaitan suami dan anak-anaknya.

Secara tak sedar media sosial sudah mempengaruhi ibu ini. Dia mula membanding-bandingkan kehidupannya dengan orang lain di laman sosial.

Media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan hari ini. Lambakan informasi, perkongsian dan produk secara tidak sedar mempengaruhi gaya ibu bapa menyantuni  anak.  Ia menjadi medan perolehan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat dan pada masa yang sama boleh membawa kepada stres dan kerisauan apabila kerap membaca atau melihat "posting" orang lain di laman sosial yang kebiasaannya hanya membawa berita, cerita dan gambar yang  menunjukkan kejayaan,  kegembiraan dan kebahagiaan sahaja. Ini boleh menyebabkan seseorang membanding-bandingkan diri, pasangan, anak dan kehidupannya dengan orang lain.

Harga sebuah kejayaan  semakin hari semakin tinggi dan mudah saja untuk terperangkap dalam sindrom saya tidak cukup baik atau " I am not good enough". Kita mungkin merasakan bahawa kehidupan kita tidak setanding dengan orang lain. Lebih parah jika kita terperangkap dalam kerisauan status  atau "status anxiety" yang menyebabkan kita mengejar untuk tergolong dalam golongan yang kita definasikan berjaya mengikut paparan media sosial.

Apa pun ibu bapa perlu sedar kesan media sosial kepada pemikiran dan perasaan supaya mereka dapat membentuk gaya keibubapaan yang sesuai dengan kehidupan mereka yang berbeza bukan terikut-ikut dengan trend dan cara orang lain tanpa prinsip. Gaya keibubapaan juga banyak mempengaruhi tingkah laku anak.

Setiap anak dalam setiap keluarga adalah unik. Kejayaan tidak hanya tertakluk kepada apa yang dimiliki.  Terima anak tanpa syarat dan bandingan. Santunilah fitrah mereka supaya menjadi anak yg bermanfaat pada ibu bapa dan orang lain.

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadits Riwayat ath-Thabrani)

Wallahu'alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
Perkasakan Institusi Keluarga, Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Rumah Madrasah Pertama, Ibu Bapa Guru Utama

Monday, March 5, 2018

Hamba Yang Melahirkan Tuan-Nur Liyana Mohd Nazli

[HAMBA YANG MELAHIRKAN TUAN]

Semalam kami pesakit terakhir di klinik pakar kanak-kanak yang biasa merawat anak-anak kami. Biasanya klinik doktor sangat sesak dan sibuk, tak ada masa sangat nak berbual panjang. Tetapi hari itu mungkin doktor sedikit lapang. Sambil menulis preskripsi kami, doktor banyak bercerita pengalamannya berdepan dengan pelbagai jenis pesakit.

Kata doktor, kadang-kadang melihat pelbagai ragam ibu bapa dan anak di klinik boleh menyebabkan dia urut dada menahan sabar. Doktor tak faham mengapa sesetengah ibu bapa seolah-olah takut untuk menegur karenah anak yang melampaui batasan. Hanya menegur anak-anak dengan pujukan demi pujukan tetapi tiada ketegasan. Pernah dia melihat anak berusia 5 tahun mengherdik dan memaki ibu ayahnya di klinik kerana tidak mahu diberikan rawatan.

Apa sudah jadi??

Cara kita menyikapi anak-anak ada fasa-fasanya. Layanan kepada anak seharusnya berubah mengikut fasa-fasa ini.

6 tahun pertama merupakan FASA KASIH SAYANG. Di fasa ini Rasulullah S.A.W suruh kita manjakan, bergurau dan belai anak dengan penuh kasih sayang. Sepatutnya di tahap ini tiada hukuman yang berbentuk kekerasan. Tiada kekerasan bukan bermakna tiada ketegasan ya!

Umur 7-14 tahun ialah FASA KEPIMPINAN. Anak-anak di fasa ini perlu dilatih mendengar arahan, diterapkan disiplin dan juga diberi tanggungjawab sesuai dengan usianya. Sebab itu Rasulullah suruh kita mula mengajak dia solat seawal 7 tahun dan boleh dirotan sekiranya meninggalkan solat apabila mencecah usia 10 tahun.

Umur 15-21 tahun ialah FASA MENTORING. Ibu bapa bertindak sebagai MENTOR/KAWAN, yang boleh bertukar pendapat dan mendengar pendapat mereka. Fasa ini seharusnya melahirkan anak yang pandai menentukan sendiri baik buruk setiap tindakan dan keputusan mereka.

Seorang psikologis keibubapaan, John Rosemond mencadangkan fasa pertama ini dibahagikan kepada 2 bahagian. Sebelum anak berumur 2 tahun, ialah tempoh PELAYANAN. Ibu bapa berperanan sebagai 'SERVANT' yang berusaha memenuhi setiap keperluan anaknya. Yelah, anak kecil masih terbatas kemampuannya dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa kan? Nak cakap lapar atau sakit pun depa tak pandai lagi, tahu nangis saja.

Namun, umur 3-6 tahun ialah tempoh transisi yang penting untuk menyediakan dia ke fasa seterusnya yang penuh disiplin.

They need to know who is in charge!

Anak-anak sepatutnya mula  diajar yang tidak semua kemahuannya boleh dituruti (you are not the centre of the world, dear). Ada perkara yang mereka perlu lakukan sendiri sesuai dengan kemampuan mereka dan yang paling penting ibu bapa bukan lagi orang suruhan yang akan melakukan semua perkara untuk kamu.

Beliau kata, di sini ramai ibu bapa yang 'stuck'. Mereka selama-lamanya memainkan peranan sebagai 'orang suruhan' anak. Kenapa? Sebab anak protes! Mestilah dia protes, selama ni semua perhatian tertumpu pada dia tapi sekarang dia perlu bagi tumpuan pada ibu dan ayah pula. Selama ni semua ibu buatkan, tiba-tiba ibu dah suruh dia ambil permainan sendiri. Selama ni nangis saja dia akan dapat apa yang dia mahu, tapi sekarang ibu dah tak mahu ikut segala kehendaknya.

Protes ini yang kita lazim nampak sebagai 'the terrible two'. Mereka perlu diajar untuk keluar daripada 'egocentrism'. Perlu diajar melihat satu perkara daripada sudut pandang orang lain, bukan diri mereka sahaja.

Malangnya bila ibu bapa gagal nak move on dari segi fungsinya, maka anak pun ikut tersekat sekali bersama mereka. Jadi 'forever terrible two' pulak. Maka lahirlah anak-anak yang dah remaja pun masih throw tantrum bila ibu bapa tak nak ikut cakap mereka. Macam mana tu? Contohnya, "Mak tak bagi saya motor, saya nak lari dari rumah!" Lahirlah anak remaja yang masih harap emak buat segala perkara untuk mereka. Dari mencarikan seluar kecik sampailah menghidangkan makanan di meja.

Dan kemudian kita pelik kenapa anak-anak kita tak behave sesuai dengan usianya. Kenapalah anak kita ni lambat benar matangnya. Sedangkan kita sebenarnya yang melayan mereka tidak seperti sewajarnya di usia mereka.

Kitalah yang kena 'move-on' sebenarnya...

Macam mana nak move on?

Saya pernah menulis tentang ini dalam 3 Langkah Menjadi Ibu yang Awesome. Jemput baca dalam link seperti di bawah: 🙂
https://liyananazli.wordpress.com/2018/01/10/3-langkah-supaya-menjadi-ibu-awesome/

Nur Liyana Mohd Nazli