Thursday, August 22, 2013

RAGAM KASIH

Nukilan Rosnah Ahmad

Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu

Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku

Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku
Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku

Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku

Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku

Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke taska lagi

Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Sementara aku ditinggalkan
Cepat pulang ya...
Sungguh aku rindu

Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu  
Demi masa yang sedikit

Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu…
Agar aku tahu aku disayangi…..


3.32 pagi 13 Syawal 1434H
Teratak Cenderawasih Indah


Friday, May 10, 2013

HADIAH POKOK TOMATO SEMPENA HARI IBU


Salam,

Banyak sekali posting kawan-kawan sempena hari ibu di laman muka buku. Ramai ibu-ibu yang menerima hadiah daripada anak-anak.

Saya tertarik dengan posting seorang anak sahabat saya Solihah yang bernama Anisah. Anisah, suami dan anak mereka Suhayb berusia tiga tahun  sekarang menetap di Brisbane, Australia.

Anisah berkongsi gambar anak pohon tomato dalam pasu yang cantik dihias yang dihadiahkan oleh Suhayb kepada ibunya sempena hari ibu apabila ibunya mengambilnya pulang dari Taska.  

                                             Suhayb brought home a happy mother's day plant- Anisah Najib

Saya komen betapa menarik sekali usaha taska tersebut dalam menggalakkan anak kecil menghargai alam. 

Kanak-kanak menghadiahkan pokok sebenar dan  tidak menggunakan bunga plastik atau kertas sebagaimana biasa diamalkan di sini. Saya sendiri saban tahun mendapat bunga plastik atau kraf daripada kertas apabila anak-anak pulang dari tadika atau sekolah sempena hari ibu. 

Saya kemudian dimaklumkan Solihah bahawa usaha memupuk kanak-kanak mencintai alam sangat dititikberatkan di Australia.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Menggalakkan seorang anak kecil mencintai dan memelihara alam akan memberi kesan yang positif dalam diri seorang anak.

Melihat dan terlibat dalam penjagaan anak pokok tomato itu kemudian sudah tentu dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak serta mengaitkan kejadian dengan kekuasaan Allah SWT. 

Marilah kita memupuk anak mencintai alam sejak kecil dengan meningkatkan usaha-usaha kecil seperti ini. Moga usaha-usaha kecil kita membantu membina anak-anak yang beriman kepada Allah serta menjadikan bumi Allah ini lebih indah dan selamat untuk semua.

" Tanggungjawab ibu bapa dan pendidik adalah membina anak-anak yang beriman dengan Allah, kekuasaan Nya dan ciptaan-ciptaan Yanga Maha Besar dengan cara banyaknya berfikir tentang penciptaan langit dan bumi"-Abdullah Nashih 'Ulwan ( Pendidikan Anak-anak dalam Islam)

Anak yang mencintai alam akan menghargai dan memelihara alam ini.

Sekian. Wallahua’lam

PENGLIBATAN IBU BAPA DI TASKA MEMBANTU PERKEMBANGAN DAN KEJAYAAN KANAK-KANAK


Artikel di tulis sempena penggunaan buku log harian di taska bawah naungan Persatuan Pengasuh Negeri Pahang dan bengkel penggunaan log harian serta  mesyuarat pengusaha PPNP besok di Kompleks Dagangan Indera Mahkota
.
.

Selamat hari ibu diucapkan kepada semua insan yang bergelar ibu.

Saban tahun hari ibu diraikan bagi mengingati jasa dan pengorbanan ibu yang melahirkan, mengasuh dan mendidik anak-anak.

Sambutan hari ibu mengingatkan tentang peranan saya sebagai ibu kepada tiga orang anak. Dua anak saya sudah remaja. Cabaran menjadi ibu hari ini berbeza sekali berbanding zaman ibu saya dahulu. Ilmu dan kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membantu melaksanakan amanah mendidik anak-anak kini.

Anak-anak kecil kini melalui zaman kanak-kanak yang berbeza. Kalau dulu anak lazimnya dijaga di rumah oleh ibu bapa sehingga usia anak bersedia ke TADIKA. Peredaran masa menyaksikan lebih ramai wanita keluar bekerja mengubah bagaimana anak kita diasuh dan dididik. Ramai anak kini dihantar ke TASKA institusi atau TASKA rumah sepeninggalan ibu bapa mereka keluar bekerja.

Maka tugas mengasuh dan mendidik anak kini perlu dikongsi dengan pengasuh TASKA. Pengasuh adalah ibu ganti kepada anak-anak. Sebahagian besar hidup mereka dijalani di TASKA iaitu lebih kurang 10 hingga 12 jam sehari bagi yang bekerja sepenuh masa. Sewajarnya jasa dan peranan pengasuh juga perlu lebih diiktiraf dan diberi perhatian seiring dengan jasa dan peranan ibu bapa.

Ibu bapa adalah pendidik utama dan rumah adalah madrasah pertama. TASKA pula adalah sistem sokongan kepada institusi kekeluargaan. Oleh itu ibu bapa berperanan menghubungkan rumah dan TASKA untuk kepentingan anak mereka. Ibu bapa harus mengambil inisiatif melibatkan diri di TASKA. Konsep penglibatan ibu bapa harus lebih dihayati. Ia bukan hanya sekadar menghadiri program tahunan seperti gotong royong atau sambutan hari perayaan. Ia juga termasuk perkongsian maklumat dan masalah, perkongsian ilmu keibubapaan serta perbincangan secara berterusan berkaitan perkembangan kanak-kanak.

Mengapa penglibatan ibu bapa sangat penting:-

Ø   1.     Ibu bapa sayang kepada anak mereka dan mengenali personaliti serta identiti anak mereka. Mereka juga sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak.  Manakala pengasuh juga sayang kepada anak jagaan dan dilatih kemahiran berkaitan perkembangan kanak-kanak. Pengasuh  senantiasa memastikan kesejahteraan dan cuba memupuk potensi anak. Jadi kanak-kanak akan merasa selamat dengan adanya perhubungan yang baik antara ibu bapa dan pengasuh. Ia juga memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan dan pendidikan yang terbaik .

Ø  2.     Perkongsian, perhubungan, interaksi, kerjasama dan sokongan ibu bapa dan pengasuh dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak

Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu mengekalkan kejayaannya.
( Rohani Abdullah, 2007)
Ø  
Ib   Ibu bapa boleh berbincang dengan pengasuh berkaitan perkembangan, tingkah laku dan apa sahaja masalah yang dihadapi. Perbincangan dan perkongsian begini dapat menyelesaikan banyak masalah dan meningkatkan kemahiran keibubapaan. Ia juga  menolong pengasuh memahami serta menghormati pandangan, budaya dan latar belakang keluarga.

Ø 3.     Penglibatan diri ibu bapa dapat meningkatkan lagi program dan aktiviti di TASKA dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti TASKA. Sesetengah pengasuh merasa kecewa apabila ibu bapa tidak menyokong penglibatan ibu bapa di TASKA. Ibu bapa perlu berusaha dan memberi komitmen yang lebih kepada usaha-usaha penglibatan ibu bapa di taska anak mereka. Dengan itu pengasuh akan lebih yakin, bersemangat dan seronok untuk meneruskan usaha serta merasakan diri mereka dihargai sebagai orang yang penting dalam hidup anak mereka.
Pe
    4.     Penglibatan ibu bapa yang sihat akan meningkatkan kualiti sistem kekeluargaan, sistem komuniti setempat dan  seterusnya memberi impak yang besar kepada kesejahteraan negara.


Sempena Hari Ibu ini, Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif  menggembleng tenaga berusaha meningkatkan penglibatan ibu bapa bagi memastikan peningkatan kualiti pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di semua TASKA di Negeri Pahang.



Antaranya PPNP memperkenalkan penggunaan  Log Harian di TASKA. Log harian ini bertujuan mencatat secara ringkas dan tepat apa yang berlaku sepanjang hari termasuk:-


       - KESELAMATAN DAN KESIHATAN

      Masa ketibaan siapa yang menghantar, barang yang di bawa dan tahap kesihatan anak pada hari itu. (maklumat ini akan diisi oleh ibu bapa setiap hari)
     
      - MEREKOD KEADAAN FIZIKAL
   
            Catatan kesihatan anak dan pemeriksaan fizikal. ( diisi oleh ibu bapa dan pengasuh)

     -  MEREKOD AKTIVITI HARIAN
-  MEREKOD TINGKAHLAKU
-  MEREKOD RUTIN DARI ASPEK KUANTITI &KEKERAPAN

      Pengasuh akan mencatat perkara-perkara ini untuk rujukan dan tindakan seterusnya oleh ibu bapa di rumah.

Penggunaan log harian ini akan menjadi asas komunikasi harian dan perkongsian maklumat antara ibu bapa dan pengasuh demi kesejahteraan kanak-kanak. Ini dapat melancarkan perkhidmatan TASKA dan mengurangkan salah faham antara ibu bapa dan pengasuh.

Usaha menulis log harian ini memerlukan sedikit komitmen daripada ibu bapa dan pengasuh. Apa pun usaha ini  membantu  menjamin keselamatan, kesihatan serta memperkukuhkan  kesinambungan pembelajaran serta amalan asuhan di TASKA dan di rumah.

PPNP berharap sebarang masalah atau kesulitan yang mungkin timbul dalam proses melaksanakan penggunaan log harian secara efektif di semua taska dapat ditangani secara professional. 

Perbincangan yang sihat diantara ibu bapa dan pengasuh dapat menyelesaikan masalah dan  mempertingkatkan kualiti pengasuhan. PPNP juga sangat mengalu-alukan sebarang cadangan dan penambahbaikan log harian ini dari masa ke semasa.

Akhir kata saya bagi pihak PPNP senantiasa berdoa agar kita sentiasa bersatu dan semoga segala usaha murni kita dimudahNya demi kesejahteraan generasi pewaris.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Sekian. Allahua’lam.

Rosnah Ahmad (http://rentis.blogspot.com)
Penasihat Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (http://pengasuhpahang.blogspot.com)
10 Mei 2013

Wednesday, October 24, 2012

PENGORBANAN MENGAPAI KEBAHAGIAAN DAN KETENANGAN

Eid Mubarak kepada semua pembaca.

Hari Raya Korban membawa kita mengingati  semula sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dan bagaimana kita menterjemahkan erti pengorbanan dalam kehidupan seharian.

Baru-baru ini saya banyak menerima pertanyaan daripada ibu-ibu yang merasa bosan dan kadang-kadang sukar mengimbangi peranan sebagai isteri dan ibu.

Ya betul, saya juga sering mengalami masalah yang sama. Peranan sebagi isteri dan ibu memang mencabar tidak kira yang bekerja atau pun tidak. Apa pun kita perlu ingat bahwa perubahan masa akan mengubah diri dan orang-orang yang kita sayangi. Antara cabaran yang hebat adalah untuk sentiasa berubah seiring dengan perubahan masa dan perkembangan diri dan keluarga.

Anak-anak pada usia berlainan melalui tahap perkembangan, ciri-ciri, kehendak, keperluan dan minat yang berbeza.

Menerima perubahan dan menghadapinya dengan ilmu dan kesediaan akan membantu kita menjadi lebih tenang dan fokus. Kebahagiaan milik semua dan perlu digapai dengan ilmu, usaha dan tawakal.

Semua peringkat umur anak-anak adalah saat-saat yang indah sekiranya kita tahu menghargainya. Anak-anak adalah sumber ketenangan hidup setiap pasangan.

Allah berfirman,

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Al-Furqan:74)

Menjadi ibu yang bahagia dan tenang adalah natijah yang perlu kita raih untuk menjadikan anak-anak kita juga bahagia dan tenang. Apa pun ini bukanlah sesuatu yang mudah digapai dalam kemelut kehidupan hari ini. Namun kesedaran dan usaha untuk sentiasa menjaga dan membaiki diri serta istiqamah mengimbangi kehidupan insya-Allah akan membuahkan hasil.

Ya, kita perlu berkorban setiap masa tetapi  bagaimana kita melakukannya membezakan pencapaian masing-masing. Mari kita menghisab diri, bersatu dan berusaha untuk berkorban ke arah kebaikan dan kebahagiaan bersama.

Wallahua'lam