Saya sering ditanya apakah produk atau buku yang baik untuk digunakan di TADIKA.
Pada pendapat saya, apa yang penting adalah kaedah atau pendekatan yang diguna pakai bukan jenama sesuatu produk, program atau keluaran mana-mana penerbit buku.
Contohnya bagi bacaan Bahasa Inggeris terdapat kaedah fonetik seperti yang digunakan oleh pelbagai jenama produk/buku yang ada di pasaran. Ada produk yang menggunakan kaedah recognition/whole language.
Terdapat juga buku-buku di pasaran yang menggunakan kaedah asas seperti mengeja dan menambah perbendaraan kata.
Setiap produk ada kebaikannya. Namun, baik atau tidaknya sesebuah TADIKA tidak bergantung kepada produk yang digunakan. Yang lebih penting kaedah yang digunakan mestilah berdasarkan teori dan falsafah pendidikan awal kanak-kanak.
Kefahaman dan penghayatan pengusaha dan guru terhadap konsep pendidikan awal kanak-kanak dan kurikulum prasekolah juga sangat penting. Aspek-aspek perkembangan kerohanian dan moral, bahasa dan komunikasi, kognitif, fizikal, sosio-emosi serta kreativiti dan estetika mestilah diterapkan secara seimbang dan bersepadu melalui pendekatan bertema, belajar melalui bermain, 3E ( Explore, Experiment &Experience) dalam suasana yang menggembirakan serta bermakna dalam kehidupan kanak-kanak.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baik juga mengambil kira tahap perkembangan, keperluan, bakat, minat serta latar belakang kanak-kanak.
Bagi komponen bahasa dan komunikasi contohnya kanak-kanak bukan hanya perlu pandai membaca dan menulis tetapi objektifnya adalah mencapai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi iaitu:
🍀Mendengar, memahami dan menyatakan apa yang didengar,
🍀Bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila,
🍀Membaca dan menceritakan isi bacaan dengan tahap perkembangan kanak-kanak dan
🍀Menulis perkataan dan ayat yang betul.
Objektif ini dicapai melalui hasil pembelajaran yang dirancang sepanjang tahun. Aktiviti-aktiviti pembelajaran dijalankan menggunakan pelbagai strategi seperti penerangan, perbincangan, demonstrasi, latihan, main peranan, lakonan, bercerita, nyanyian, pergerakkan dan aktiviti kreatif.
Adalah sukar untuk mendapatkan satu produk yang betul-betul menepati konsep pendidikan prasekolah.
TADIKA perlu banyak merancang aktiviti dan membuat sendiri lembaran kerja yang lebih sesuai dan menepati. Kalau ada pun buku yang digunakan, ia hanya satu daripada bahan-bahan yang digunakan bagi membantu mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran.
Santuni fitrah anak.
Raikan fitrah anak.
Sayangi dan dekati anak.
Sekian. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment