Thursday, March 10, 2016

Usah Biasakan Anak Dengan Kesenangan Dan Kemewahan

Tip Sentuhan Bapa Belaian Ibu
Usah Biasakan Anak Dengan Kesenangan Dan Kemewahan
Oleh: Rosnah Ahmad

Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ayyuha Al-Walad, anak harus dihindari dari kehidupan mewah dan bersenang lenang kerana dikhuatiri mereka tidak biasa dengan ujian hidup pada masa akan datang. Jika dibiarkan ia boleh jadi kebiasaan atau I'tiyad dan sukar dibentuk.

Pesanan ini harus kita hayati terutama mutakhir ini iaitu zaman yang sangat mencabar di mana  kebendaan sudah menjadi ukuran dan perbandingan kejayaan serta kebanggaan.

Zaman ibu bapa saya dahulu mungkin lebih mudah kerana mereka hidup dalam serba kekurangan. Jadi anak-anak dibiasakan dengan sikap tolong menolong, berkongsi dan bersyukur dengan rezki yang ada. Contoh waktu makan anak-anak makan bersama apa sahaja yang dihidangkan tanpa meminta-minta selain apa yang ada. Mereka bukan sahaja menolong dalam proses memasak dan mengemas malah menolong menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan.

Kadangkala oleh kerana kesusahan dahulu menyebabkan ada ibu bapa sekarang yang lebih berada cuba memenuhi kehendak  dan menyediakan segalanya untuk anak-anak.

Apa pun anak-anak belum tahu menilai sepenuhnya dan tidak tahu apa yg baik untuk mereka. Seharusnya ibu bapa menilai kehendak anak dan memberi keperluan yang berpatutan. Usah biasakan dengan kemewahan dan kesenangan kerana ia boleh merosakkan anak.

Sebaiknya biasakan anak-anak untuk terlibat dalam kerja-kerja rumah yang mampu mereka lakukan mengikut tahap umur. Jelaskan pada anak-anak proses kehidupan melalui cerita dan nasihat. Latihlah mereka dengan gaya hidup sederhana dengan bersyukur terhadap nikmat Allah walaupun sedikit. Ajar anak untuk menghargai, berjimat cermat dan menabung dari usia awal.

Dikongsikan artikel Pengurusan Kewangan Si Kecil dari blog saya.

http://rentis.blogspot.my/2014/11/pengurusan-kewangan-si-kecil.html?m=1

Anak-anak adalah rahmat dan ujian. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menjadi ibu bapa yang mendidik anak-anak menurut ajaran Islam.

Santuni akhlak.
Raikan fitrah
Sayangi dan dekati anak-anak kita.

Wallahua'lam
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: