Wednesday, August 30, 2023

KEBEBASAN MENDIDIK BERTERASKAN FITRAH

Merdeka, Merdeka, Merdeka.

Selamat hari kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama 66 tahun.

Nikmat yang perlu kita hargai dan syukuri dari segala aspek kehidupan termasuk nikmat kebebasan dalam mendidik generasi pewaris. Mendidik dengan amanah, kasih sayang, keadilan dan melunaskan hak mereka dari segala segi.

Merdekakan anak-anak kita! Didiklah mereka berteraskan fitrah.

Bebaskan mereka meneroka alam, menghidup udara segar, mendapat cahaya matahari, bermain di luar, berkawan dan berlari sesukanya.

Suburkan fitrah anak-anak kita. Perkasakan mereka supaya menjadi pemimpin dalam keluarga, komuniti, masyarakat dan negara.

Segalanya bermula dengan kita. Ibu bapa, pendidik, guru, orang dewasa dalam komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.

“It takes a whole village to raise a child.”

Ayuh kita bersama mengembeleng tenaga, bersatu dan bersenergi dalam merealisasikan falsafah pendidikan negara kita Malaysia tercinta.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
.
Semoga Allah memberi petunjuk, memudahkan dan memberkati segala usaha kita.
.
“Setiap anak PERMATA negara.”
"Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan."

“Connecting Chidren To Nature
Make It work!”
.
Mak Long
31hb Ogos 2023

#connectingchildrentonature
#ibubapatenanganakcemerlang

Monday, August 28, 2023

KEHARMONIAN ALAM DAN KOMUNITI

Pagi tadi jiran kami Ah Kan memberikan segenggam lada kecil  dan secekak pucuk keledek kepada saya. Dia suka berkebun di belakang rumahnya. Saya membalas dengan memberi dia secekak kacang panjang dari kebun mini kami. 

Semalam kami berkongsi rezeki kacang panjang dan ulam raja dengan jiran sebelah rumah. Pemberian itu dibalas dengan sebekas kuih kasoi dan cup cake yang dibuat sendiri. Dia membuat kuih muih untuk jualan pagi.

Jiran depan rumah kami pula menghantar pokok kunyit yang sudah tinggi sekaki untuk di tanam. Katanya dia semai khas untuk saya. Terharu.

Teringat masa saya kecil di Raub. Setiap kali selepas arwah mak memerah santan, hampasnya di masukkan ke dalam besin. Kemudian tugas saya pula untuk menghantarnya ke rumah jiran yang kami gelar Nyonya. Dia dan suami banyak bela ayam. Sebagai balasan saya selalu diberikan telur ayam.

The good old days. 

Tradisi yang penuh nilai murni dan kasih sayang. 

Bukan segalanya hanya didapati dengan wang ringgit. Wang juga tidak berguna jika tiada apa untuk ditukarkan. 

Alam adalah sesuatu yang lebih berharga dan bernilai untuk kita hargai, sayangi dan pelihara. Alam anugerah ilahi untuk manusia. 

Keharmonian alam dan manusia menjadikan manusia saling berhubung, hormat menghormati dan bantu membantu dalam komuniti.

Kembalikan alam dalam kehidupan kita. Itu amanah yang perlu kita jaga. Wariskan alam ini kepada anak-anak kita. Sediakan mereka untuk menjadi khalifah yang memulihara alam ini.

Hubungkan mereka dengan alam dan komuniti sejak kecil bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Berhubunglah dengan tuhan, alam dan komuniti. InsyaAllah kita pasti temui kedamaian dan keindahan.

Allahu 'Alam.


Thursday, August 24, 2023

PILIH BAHAGIA--BINA SEMPADAN DIRI

Usah memberi "kunci rumah" kepada orang lain untuk masuk dan berbuat sesuka hati.


Berhenti berusaha memuaskan hati semua orang.


"Do not let people walk all over you."


Orang yang selalu cuba memenuhi semua kehendak orang lain sering merasa tidak cukup baik atau '"I am not good enough" dan selalu cuba memenuhi kehendak orang lain atau "a people pleaser".


Mungkin juga ada ego  yang mahu dilihat "baik" dan ada ketakutan yang tidak berasas.


Takut orang terasa hati. Takut orang tidak suka. Takut orang kata.


Lama-kelamaan orang lain terutama dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat mengambil kesempatan atas "kebaikan" mereka. Akhirnya mereka akan rasa terbeban, keletihan dan "sakit". 


Orang yang bahagia itu bukanlah orang yang sentiasa mampu untuk memenuhi kehendak orang lain tetapi orang yang bahagia itu tahu limitasi diri, meletakkan sempadan diri dan mampu berkata "tidak".


Ingat! Apabila anda mula meletakkan sempadan diri: orang yang memiliki sempadan diri yang lemah mudah terasa hati; tapi ini tidak bermakna anda yang bersalah. 


Berhenti mengizinkan diri anda menjadi mangsa. 


Pilihlah untuk bahagia! Kerana dirimu begitu berharga.


Orang yang bahagia itu mampu membahagiakan orang lain. InsyaAllah.


 

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ


"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu."


(QS Ash-Shura: 30)

 


لَاإِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ


 "Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang menganiaya diri." (QS. Al‐Anbiya': 87).


"Bahagia itu terletak pada ketenangan hati. Sesiapa sahaja mampu memilikinya"- Mak Long

.

.

Allahu 'Alam.


🌹Mak Long

#closetoyourheart

Tuesday, August 8, 2023

REALITI- IMPIAN, HARAPAN DAN CITA-CITA



Impian, harapan dan cita-cita?

Hmm, rasanya semua itu sudah berubah maknanya bagi diri saya.

Melewati fasa-fasa kehidupan melebihi setengah abad membezakan bagaimana saya memaknai kehidupan sekarang.

Mempunyai keluarga sendiri adalah satu impian suci saya. Kebahagiaan membina keluarga bersama suami dan anak-anak adalah kebahagiaan yang dicari. 

Menilai kehidupan saya masa kecil dan mengimpikan kelainan yang saya rasai betul dan berazam mendidik anak-anak dengan cara saya.

Ahh, impian seorang wanita yang melewati usia mendefinisikan bahagia dengan membina “the perfect picture”.

Impian suci yang kelihatan mulia itu saya usahakan tanpa saya sedari yang saya katakan niat kerana Allah SWT itu sudah dicemari dengan banyak kelalaian dan tumpuan Tuhan-Tuhan selain Allah.

Ketika mengharapkan Tuhan-Tuhan lain itu, saya jadi isteri dan ibu yang lelah, sering tersinggung, banyak kecewa, resah,  gelisah, sering sakit hati, membandingkan kehidupan dengan orang lain, bersaing dalam mendapatkan duniawi, ujub, iri dan lain-lain yang sejenisnya.

Terkadang impian membina keluarga bahagia itu semakin menduga, semakin menjauh untuk digapai. Jikalau pun bisa digapai, prosesnya melelahkan, tidak ada keberkatan dan kenikmatan.

Sampai akhirnya kesedaran kendiri itu hadir, seringkali dihadirkan dalam bentuk kepahitan, kesakitan, kepayahan, kesempitan, atau bentuk lain yang tidak enak rasanya.
.
.
Seperti kata Imam Syafii

“Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang, 
maka Allah timpakan atasmu pedihnya sebuah pengharapan, supaya kamu mengetahui bahawa Allah mencemburi hati yang berharap selain Dia. 
Maka Allah menghalangimu 
dari perkara tersebut agar kamu kembali 
berharap kepadaNya.”

Ada satu cita-cita yang akan membuatkan segalanya menjadi ringan, indah, bahagia dan berkat.

Cita-cita yang membingkai segala impian dan harapan.

Cita-cita itu adalah keredhaanNya. 

Cita-cita untuk menjadi hamba yang diredhai. Hamba dalam segala keadaan dan posisi.

Maka jika seperti itu, sudah tidak ada lagi persaingan mengalahkan orang lain dan menjadi yang terbaik, melainkan berusaha, bersinergi dalam proses membina keluarga dan menjayakan anak menjadi orang yang memberi sebesar-besar manfaat kepada siapapun.

Jika keredhaanNya yang dicita-citakan maka hilanglah perasaan selalu merasa tidak cukup, melainkan timbul kesedaran untuk memurnikan niat, berikhtiar menyempurnakan langkah, lalu memasrahkan hasilnya.

Impian dan harapan layaknya sebuah doa, meminta dan mengusahakannya adalah sebuah kebaikan, namun dikabulkan atau tidak--terhasil atau tidak-- Dialah Yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Jika yang dicita-citakan adalah redhaNya, maka mudah pula kita memiliki hati yang redha terhadap apa sahaja kejadian, takdir dan semua yang menjadi ketetapanNya.

Ketika keredhaanNya yang dicita-citakan, segala impian dan harapan semakin mendekat dalam genggaman. Ya, cukup yang dalam gengaman, ternikmati dalam keberkatan dan kedamaian.

Allahu 'Alam.