Semalam kami berkongsi rezeki kacang panjang dan ulam raja dengan jiran sebelah rumah. Pemberian itu dibalas dengan sebekas kuih kasoi dan cup cake yang dibuat sendiri. Dia membuat kuih muih untuk jualan pagi.
Jiran depan rumah kami pula menghantar pokok kunyit yang sudah tinggi sekaki untuk di tanam. Katanya dia semai khas untuk saya. Terharu.
Teringat masa saya kecil di Raub. Setiap kali selepas arwah mak memerah santan, hampasnya di masukkan ke dalam besin. Kemudian tugas saya pula untuk menghantarnya ke rumah jiran yang kami gelar Nyonya. Dia dan suami banyak bela ayam. Sebagai balasan saya selalu diberikan telur ayam.
The good old days.
Tradisi yang penuh nilai murni dan kasih sayang.
Bukan segalanya hanya didapati dengan wang ringgit. Wang juga tidak berguna jika tiada apa untuk ditukarkan.
Alam adalah sesuatu yang lebih berharga dan bernilai untuk kita hargai, sayangi dan pelihara. Alam anugerah ilahi untuk manusia.
Keharmonian alam dan manusia menjadikan manusia saling berhubung, hormat menghormati dan bantu membantu dalam komuniti.
Kembalikan alam dalam kehidupan kita. Itu amanah yang perlu kita jaga. Wariskan alam ini kepada anak-anak kita. Sediakan mereka untuk menjadi khalifah yang memulihara alam ini.
Hubungkan mereka dengan alam dan komuniti sejak kecil bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.
Berhubunglah dengan tuhan, alam dan komuniti. InsyaAllah kita pasti temui kedamaian dan keindahan.
Allahu 'Alam.
No comments:
Post a Comment