Sunday, July 26, 2020

KEKERASAN DALAM MENDIDIK BUKAN CARA YANG FITRAH


                     بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
 "Dengan Nama ALLAH Yang Maha            Pengasih Lagi Maha Penyayang"

"Sayangkan anak, tangan-tangankan". Masih relevankah pepatah melayu ini sekarang?

Merujuk maknanya, pepatah ini bermaksud jangan terlalu memanjakan anak. Anak perlu dididik dengan lembut dan hanya boleh memukul jika kena pada tempatnya. Contoh ibu ayah mendidik anak untuk solat dari usia 7 tahun tapi anak masih enggan solat pada usia 10 tahun. Pukul pun ada caranya. Bukan mencederakan. 

Itu saya setuju.

Tangan-tangankan seperti memukul, menampar, mencubit atau apa juga kekerasan berbentuk fizikal sama sekali saya tidak setuju.

Begitu juga dengan mengherdik, menengking, memaki hamun, marah yang menghukum dan apa jua bentuk kekerasan kata-kata, saya tidak setuju.

Ada yang kata kalau begitu bagaimana hendak mendidik anak? Kalau asyik berlembut nanti anak-anak naik kepala.

Anak dilahirkan fitrah. Seharusnya ibu bapa mendidik secara fitrah. Jika tidak buruk padahnya.

Contoh, memukul atau merotan anak 6 tahun yang bergaduh dengan adiknya mungkin memberi hasil yang kita mahu tetapi emosi anak yang dirotan memberi kesan yang buruk. Anak itu dalam diam mungkin membenci adiknya dan di belakang ibu bapa masih mengenakan adiknya atau menyimpan dendam.

Ibnu khaldun mengatakan bahawa, 
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”

Apa pun dalam berlembut, ada masanya ibu bapa perlu bertegas, anak perlu tahu had dan sempadan atau "boundaries". 

Anak perlu ditegur dan dilarang bagi tujuan mendidik jika tingkah laku mereka menyalahi. Apa pun caranya ini bergantung pada umur dan tahap anak.

Anak faham "jangan" seawal 6 bulan. 

Tegur dengan tegas. Gunakan intonasi  yang menunjukkan perbuatan itu salah dan ekspresi wajah yang digunakan mesti menggambarkan ketegasan. Jika tidak anak sukar membezakan yang buruk dengan yang baik.

"Be firm and show that you mean well."

Tak perlu marah-marah, berleter atau memukul.

http://rentis.blogspot.com/2019/02/katakan.html?m=1

Ibu ayah yang tenang dan tegas biasanya "marah" pada tempatnya dan dalam keadaan sedar atau "mindful" untuk mendidik. Ia sangat berbeza dengan marah dalam keadaan tertekan. 

Berbanding ibu bapa yang tidak tegas,  yang berlembut setiap masa dan membiarkan saja apa yang anak mahu lakukan tanpa had dan peraturan dengan alasan anak masih kecil. Lama kelamaan mereka menjadi berserabut dan tertekan kerana tak tahan dengan karenah anak. Mereka mula bertukar menjadi "singa" yang menganas dan menggunakan kekerasan. 

https://rentis.blogspot.com/search?q=Teknik+sedar&m=1

Masalah adalah peluang untuk mendidik. Masa paling baik adalah apabila anak melakukan "kesilapan". Itulah masa paling berkesan untuk menerapkan nilai dan mendidik adab dan akhlaq.

Anak seawal 4 atau 5 tahun sudah boleh berfikir dan boleh diajak berbincang supaya mereka belajar berfikir dan menyelesaikan masalah.

http://rentis.blogspot.com/2018/11/bimbing-anak-berfikir-dalam-menangani_28.html?m=1

Anak yang dididik dari awal usia akan berkembang dengan baik dan mudah dibentuk insyaAllah. 

Mulakan dengan anak yang pertama. Kalau anak sulong dididik dengan baik, adik-adiknya juga mengikut contoh yang baik insyaAllah.

Proses mendidik anak-anak bukanlah sesuatu yang boleh kita ambil mudah.
Ibu bapa sebagai qudwah hasanah, contoh yang baik atau "role model" dalam rumahtangga yang aman dan sejahtera adalah yang terbaik untuk anak-anak.

Yang penting ibu ayah perlu ada skil dalam keibubapaan. 

Ibu bapa yang baik itu bukanlah yang tidak pernah melakukan kesilapan tetapi ibu bapa yang baik itu selalu refleksi diri, mencari ilmu dan memperbaiki tindakan supaya lebih rational dan progres pada jalan-jalan kebenaran.

Surah Aal-e-Imran, Ayat 135:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar." 
(QS. At-Taghabun, 64 : 15)

Allahu 'Alam

🌾Rosnah Ahmad/ Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang







No comments: