Menyertai Bengkel "TOT Malaysians Against Pornography (MAP)" anjuran Wanita Ikram Pahang dengan Kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang baru-baru ini menyentuh emosi dan memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada Mak Long tentang bahaya pornografi dan jenayah seksual. Ianya juga membawa Mak Long berfikir tentang cabaran mendidik anak-anak pada zaman sekarang. Anak yang dilahirkan suci terdedah kepada pelbagai gejala yang boleh merosakkan fizikal, mental, emosi dan fitrah mereka.
Teringat pada artikel pendek yang Mak Long tulis dalam tahun 2007 yang bertajuk "I Want To Marry You Mom" https://rentis.blogspot.com/search?q=I+want+to+marry+you+mom&m=1
Terasa masa begitu cepat berlalu. Anak-anak Mak Long kini sudah dewasa. Fitrah mereka juga berubah. Anak kecil yang berhasrat mengahwini maknya itu kemudiannya beralih kepada umur pertengahan yang berkata "tak nak kawin sebab nak jaga mak". MasyaAllah, itulah fitrah lelaki yang melindungi mula terbentuk. Alhamdulillah.
Kemudian apabila sampai kepada fasa remaja, anak lelaki mula menunjukkan minat terhadap perempuan dan sebaliknya anak perempuan terhadap lelaki. Semakin meningkat usia remaja, mereka mula menyimpan impian untuk berpasangan dan berkahwin. Mak Long mula menjadi bimbang dan sedikit "selfish and possesive". Biasalah mak-mak.
Apa pun hakikat "anakku sudah dewasa" ini harus diterima dengan tenang dan dihadapi dengan bijak.
Mak Long petik saranan berbicara tentang hubungan seksual dari MAP.
✏FASA REMAJA adalah fasa kemuncak perubahan seksual secara fizikal, mental, emosi dan fisiologi. Kehendak seksual ini berlaku secara semulajadi bagi menyediakan tubuh manusia untuk kebolehan membiak.
✏IBU BAPA perlu membantu anak-anak REMAJA memahami perubahan diri. FAHAMI dan SANTUNI mereka dengan panduan AGAMA.
✏JANGAN biarkan anak anda mendapatkan penjelasan isu seksual daripada orang yang tidak dipercayai. Mereka mudah dimanipulasi. Jadikan diri anda sebagai RUJUKAN UTAMA dengan berbicara secara terbuka tentang isu hubungan seksual ini.
✏Ibu bapa harus menjelaskan bahawa hubungan seksual itu bukan atas nafsu sahaja tetapi ia datang dengan TANGGUNGJAWAB yang BESAR.
✏ HUBUNGAN SEKSUAL SIHAT DAN SELAMAT adalah pada usia matang melalui PERKAHWINAN yang SAH dan sudah mampu menjalankan tanggungjawab sebagai SUAMI mahupun ISTERI dari segi FIZIKAL, EKONOMI, SOSIAL DAN EMOSI.
Peringkat-peringkat perubahan anak sejak kecil hingga dewasa perlu dihadapi oleh ibu bapa dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan serta kesedaran berkaitan realiti semasa. Tambahan pula pada zaman sekarang yang sangat mencabar berbanding zaman anak-anak Mak Long kecil iaitu zaman tanpa internet dan gajet.
MAP memberi panduan pencegahan jenayah seksual berkaitan penggunaan internet:-
📌Penggunaan internet di kalangan kanak-kanak dan remaja harus dipantau oleh ibu bapa.
📌Ibu bapa harus tahu bagaimana pemangsa/ "predator" mensasarkan kanak-kanak dan remaja.
📌Langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan ibu bapa.
📌Bagaimana ibu bapa tahu anak sudah terjebak.
📌Cara memulihkan diri dari ketagihan pornografi.
Menurut MAP lagi, dari peringkat awal lagi ibu bapa perlu menerangkan dan mendidik anak berkaitan ancaman-ancaman dan pencegahan jenayah seksual dengan tips penjagaan diri ke atas kanak-kanak iaitu:-
📚Didik anak untuk MENGENALI PERASAAN terlebih dahulu.
📚Didik anak untuk SEDAR TUBUH BADANNYA hanyalah MILIKNYA--Bahagian tubuh yang tidak boleh disentuh kecuali diri sendiri atau ibu.
📚Jelaskan SENTUHAN SELAMAT dan TIDAK SELAMAT.
📚Kenali TANDA AMARAN-- "Bila saya rasa tidak selamat, tubuh saya akan beritahu!
Adalah penting untuk ibu bapa menyantuni anak-anak dengan kasih sayang serta membina hubungan yang baik dan mesra dengan anak sejak kecil hingga dewasa. Ianya penting supaya mudah ibu bapa mendekati anak dan didekati anak untuk berkongsi, meluahkan perasaan dan berbincang jika menghadapi ancaman dan masalah.
Ibu bapa juga perlu menyediakan persekitaran rumah yang kondusif supaya anak merasa selamat, mengambil tahu dan memantau aktiviti anak-anak serta mengenali kawan-kawan mereka.
Sama-sama kita perbaiki diri dan lebih berperanan dalam mendidik anak-anak menurut ajaran agama dan mencegah jenayah seksual dan pornografi.
Sebagai ibu bapa dan orang dewasa dalam masyarakat kita juga harus CAKNA, peka dan prihatin terhadap anak-anak saudara, anak-anak yatim dan anak-anak di dalam komuniti kita.
Laporkan sekiranya disyaki berlaku jenayah/penderaan seksual ke:-
📍Talian Jenayah - 999
📍24 Hours Careline -15999
Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga memberi maklumat dan tempat untuk melaporkan keganasan dalam keluarga, penderaan kanak-kanak, gangguan seksual dan ibu tunggal
Sayangilah anak-anak kita.
Anak kita, generasi pewaris kita.
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.
(QS. An-Nur: 30-31)
*Sumber Rujukan
✔http://lovemyself.ikram.org.my/
✔www.teensafe.com
Wallahua'lam
🌾Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang
Klik t.me/RentisMakLong untuk sertai catatan Mak Long di Channel Telegram.
No comments:
Post a Comment