Penerokaan kehidupan yang perlu dirintis dan dikongsi bagi memudahkan perjalanan semua dalam dunia yang sementara ini. Moga usaha kerdil ini memberi manfaat serta dirahmati dan diberkatiNYA.
Monday, January 26, 2009
TIP KEIBUBAPAAN 38: MENEROKA KEHIDUPAN
Saya suka menggalakkan anak-anak meneroka. Bagi saya mereka perlu sentiasa digalakkan mencuba sesuatu yang baru. Penemuan-penemuan membantu mereka menilai dan mengenal diri.
Cuti sekolah akhir tahun yang baru lepas merupakan waktu yang paling sibuk buat saya. Pindaan akta taska menyebabkan banyak Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK) diadakan diseluruh negara. Kekurangan jurulatih menyebabkan saya terpaksa memenuhi banyak tuntutan ceramah di luar kawasan. Ketiadaan saya di masa cuti sekolah yang panjang menyebabkan anak-anak rasa agak terpinggir.
Anak-anak yang besar ingin bercuti. Saya dan suami pula sukar mendapatkan cuti yang sama bagi memenuhi kehendak mereka.
Saya sedar ada kalanya istilah masa dan keadaan yang sesuai sukar ditemui. Oleh itu saya perlu bijak menyulam tuntutan kerja dan keluarga dengan bijak. Saya mengambil keputusan membawa anak-anak, Nurin Husan (13) dan Muhammad Firdaus ( 11) mengikut saya memberi latihan di luar kawasan. Saya berjanji akan menyelitkan aktiviti-aktiviti lain.
Anak bungsu kami, Muhammad Izzuddin (6) memilih untuk tinggal menemani abahnya.
Pengembaraan kami bermula di Jengka Pusat selama 3 hari. Nurin dan Muhammad agak bosan kerana sering ditinggalkan dalam bilik semasa saya mengendalikan sesi latihan. Persaingan adik beradik di antara mereka benar-benar tercabar. Mereka bergaduh, berbaik, bergaduh lagi dan berbaik semula. Apa pun pada hari ketiga mereka nampak lebih tenang dan banyak bergurau.
Persekitaran yang damai di Jengka Pusat kami manfaatkan dengan banyak berjalan kaki menikmati pemandangan dan menghidup udara segar. Sengang waktu saya membawa mereka mengelilingi bandar Jengka Pusat.
Nurin dan Muhammad sangat gembira apabila kami meninggalkan Jengka Pusat dan berangkat ke Genting Highland. Saya berhasrat menemui sahabat saya Solehah di Awana yang datang bercuti dari Australia disamping memenuhi permintaan Nurin yang belum pernah ke Genting. Muhammad berpeluang mengikut saya atas urusan kerja sebelum ini .
Nurin ingin menaiki kereta kabel. Saya gayat. Demi memenuhi permintaan anak, saya gagahi. Walaupun hanya sepetang di puncak, kami sempat memasuki rumah salji. Sejuk tapi seronok.
Malamnya kami bertolak ke Kuala Lumpur. Bermalam di rumah adik ipar saya, Zana di Seri Damansara. Besok pagi saya menghadiri mesyuarat. Kemudian kami luangkan sehari setengah berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Sekudai dimana saya dijemput mengendalikan latihan bersama pengasuh dan guru tadika selama sehari.
Perjalanan ke Sekudai, Johor saya mengambil pendekatan berhenti di setiap R&R. Muhammad seronok untuk mengetahui apa yang di tawarkan di setiap R&R. Rumusannya dia menganggap R&R lebuhraya ke selatan lebih maju dan menarik berbanding R&R lebuh raya pantai timur.
Destinasi kami seterusnya adalah Melaka. Selesai kursus, petangnya kami bertolak Melaka dan berhenti lagi di setiap R&R. Kerana sudah agak lewat kami singgah di Jasin dan bermalam di rumah sahabat saya, Kak Tina. Besoknya Kak Tina membawa berjalan-jalan di Bandar Melaka.
Nurin dan Muhammad sangat sukakan Melaka. Tertarik dengan pelbagai kraf tangan yang di jual. Mereka buat saya membeli kraf untuk hiasan rumah dan peribadi. Kekadang mereka melayan saya seperti budak sekolah seperti mereka. Saya ingatkan diri ”loosen up and have fun”.
Cadangan awal kami pulang ke Kuantan melalui Segamat ditukar setelah menerima telefon daripada Solehah yang ingin mengikut kami ke Kuantan. Jadi kami ke Genting dan singgah di Nilai bertemu adik saya, Omar seketika. Makan-makan dan borak-borak. Saya sempat membeli 2 helai kain pasang untuk dibuat baju kurung kerana terpengaruh dengan jualan hebat dimerata Nilai.
Kami tiba di Genting dalam pukul 8 malam dan bertolak ke Kuantan bersama Solehah. Solehah mengambil alih tugas membawa kereta. Syukur. Dapat saya meluruskan kaki.
Tiba di Kuantan sekitar 12.30 malam. Berakhirlah pengembaraan kerja dan cuti kami selama 9 hari. Banyak yang telah kami lalui. Bagi saya peluang mendekati anak-anak begini membuatkan saya lebih memahami mereka.
Saya juga telah menguasai ketakutan saya. Inilah kali pertama saya ke Selatan membawa kereta sendiri. Anak-anak menjadi penguat semangat. Syukur kerana Muhamad mempunyai sikap anak lelaki yang melindungi. Sepanjang masa dia begitu peka kepada keperluan saya. Dia menjadi pepandu peralanan, mengingatkan saya tentang keselamatan, bersiap sedia dengan duit bila menghampiri tol dan teman berborak.
Bagi anak-anak pengembaraan ini bukti kasih sayang saya kepada mereka. Kenangan yang tercipta terpahat diminda. Saya sempat berpesan sekiranya saya sudah tiada ingatlah apa yang emak pesan sepanjang perjalanan.
Mereka nampak sebak. Saya tahu bila saya sudah tiada kenangan ini membantu mereka untuk terus hidup meneroka kehidupan.
Sekian. Wallahu’alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment