Thursday, April 26, 2007

TIP 6: TASKA/TADIKA/PUSAT JAGAAN DAN KELAS FARDHU AIN

Semakin hari semakin ramai wanita yang keluar bekerja dan sudah tentu memerlukan sistem sokongan seperti taska, tadika, pusat jagaan dan kelas fardhu ain untuk anak-anak mereka. Kita perlulah membuat pilihan yang tepat kerana perkongsian pintar antara ibu bapa dan insitusi-institusi ini amat penting untuk kecemerlangan anak-anak. Mungkin saya boleh memberi beberapa tip kerana terlibat secara langsung mengusahakan institusi-institusi sokongan ini.

1. Pastikan institusi adalah berdaftar. Taska dan Pusat Jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Tadika di bawah Jabatan Pelajaran Malaysia. Kelas Fardhu Ain di bawah Jabatan Agama Negeri.
2. Berjumpa dengan Pengusaha atau Penyelia. Pastikan mereka mudah didekati, menyukai kanak-kanak dan telah mengikuti kursus-kursus yang asas dengan jabatan-jabatan berkaitan. Mengikut akta pengasuh dan penjaga mestilah berusia 18 tahun ke atas.
3. Mempunyai menu dan aktiviti harian atau program yang sesuai bagi setiap peringkat umur kanak-kanak.
4. Mempunyai peralatan dan kelengkapan dalam dan luar bangunan yang bersesuaian, selamat, ceria dan diselenggara dengan baik
5. Menyelenggarakan rekod-rekod setiap kanak-kanak di taska termasuk borang pendaftaran masuk dan rekod kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.
6. Kebersihan keseluruhan premis adalah memuaskan.
7. Pelbagai yuran dikenakan mengikut program dan jenis perkhidmatan yang diberikan. Tanyakan juga tentang yuran lebih masa.
8. Pastikan kanak-kanak dilindungi di bawah insuran pelindungan takaful
9. Menggalakkan penglibatan ibu bapa melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan ibu bapa dari masa ke semasa. Adalah penting menjalinkan perhubungan dua hala yang sihat di antara pihak institusi dan ibu bapa.
10. Mempunyai peraturan yang telah ditetapkan dan membenarkan ibu bapa menyimpan satu salinan untuk rujukan.
12. Kelas Fardhu Ain- Ada tadika dan pusat jagaan menyediakan kemudahan ini. Pastikan mereka menekankan pembelajaran solat secara praktikal.
13. Bayaran balik- Bertanyalah berkenaan yuran, bagaimana sekiranya anak berhenti sebelum tempoh sebulan atau setahun . Adakah sebahagian daripada yuran bulanan dan tahunan dikembali. Ramai yang telah tertipu. Ibu bapa harus berhati-hati kerana yuran tahunan selalunya agak mahal.
14. Pengambilan kanak-kanak adalah seperti berikut:-


TASKA

Taska mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun kebawah dan dibenarkan mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas tidak melebihi 9 orang pada satu-satu masa. Taska juga dibenarkan mengambil kanak-kanak kurang upaya.

Had bilangan kanak-kanak Taska adalah mengikut nisbah ruang yang sedia ada. Keluasan lantai untuk setiap orang kanak-kanak ialah 3.5 meter persegi. Ruang di dapur, stor, tandas, pejabat dan tempat laluan tidak diambil kira.

Nisbah pengasuh dan kanak-kanak adalah seperti berikut:-

Umur / Bilangan Kanak-kanak / Bilangan Pengasuh
Lahir hingga 1 tahun/3/1
Di antara 1-3 tahun / 5 / 1
Di antara 3-4 tahun / 10 / 1
Kanak-kanak kurang upaya bawah 4 tahun/ 4 / 1


PUSAT JAGAAN

Pusat Jagaan pula mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun keatas dan dibenarkan mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun kebawah tidak melebih 9 orang pada satu-satu masa. Pusat Jagaan juga mengambil kanak-kanak kurang upaya dan ada pusat jagaan yang memberi perkhidmatan menjaga khas untuk kanak-kanak kurang upaya sahaja.

Had bilangan penghuni hendaklah tidak melebihi keluasan ruang yang dibenarkan. Terdapat perbezaan keperluan bagi setiap keumpulan umur penghuni. Keluasan lantai bagi kanak-kanak berumur di bawah sepuluh tahun dan orang kurang upaya ialah 3.5 persegi. Manakala bagi remaja ialah 3.0 meter persegi.

Nisbah penjaga dan penghuni adalah seperti berikut:-

1. Kanak-kanak/Remaja
Kategori / Bilangan penghuni / Bilangan Penjaga
Dibawah 4 tahun / 5 atau kurang / 1
4-10 tahun / 18 atau kurang / 1
10 tahun ke atas/ 18 atau kurang / 1


2. Orang Kurang Upaya

Kategori / Bilangan Penghuni / Bilangan Penjaga
Kurang upaya / 10 atau kurang / 1
Kurang upaya teruk/terlantar / 4 atau kurang / 1

Tadika mengambil kanak-kanak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Nisbah guru dengan kanak-kanak adalah seorang guru untuk 25 orang kanak-kanak dalam satu kelas. Seorang pembantu mesti disediakan sekiranya bilangan kanak-kanak melebihi 25 orang dalam satu kelas. Apapun ruang kelas mestilah selesa, mendapat cahaya yang cukup dan mempunyai peredaran udara yang baik.


KELAS FARDHU AIN

Bagi kanak-kanak 4, 5 dan 6 sama ianya sama seperti tadika iaitu nisbah seorang guru untuk 25 orang kanak-kanak dalam satu kelas. Seorang pembantu mesti desediakan sekiranya bilangan kanak-kanak melebihi 25 dalam satu kelas. Untuk kanak-kanak sekolah rendah ianya seperti kelas di sekolah rendah iaitu kelas yang lebih besar melebihi 25 orang dengan seorang guru.

Kanak-kanak berumur 4 tahun boleh dihantar ke taska, tadika atau pusat jagaan. Mereka juga boleh mengikuti kelas mengaji dan fardhu ain.

Saya lebih suka menghantar anak ke taska sebab konsep bermain sambil belajar yang lebih sesuai pada tahap umur ini.

Ibu bapa perlu cekal bila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali kerana emosi kita banyak mempengaruhi emosi anak. Gambarkan perkara-perkara yang baik. Membaca buku dan bercerita tentang sekolah baru sebelum sesi persekolahan bermula dapat menyediakan emosi . Elakkan daripada menunggu anak terlalu lama di dalam kelas. Ianya akan menyukarkan dan melambatkan proses penyesuaian.

Juga cuba elakkan dari lewat mengambil anak pada minggu-minggu pertama kerana ini akan menyebabkan mereka merasa agak takut bila melihat ramai kawan sudah balik. Jangan memujuk anak dengan jajan dan permainan. Gunakanlah kaedah ganjaran yang lain seperti pujian, pujukan dan bercerita.

Sekiranya anak meragam pada pada hari-hari pertama, teruslah menghantar anak secara konsisten kerana kalau tidak mereka akan terus meragam dan ini melambatkan proses penyesuaian. Setiap anak berbeza, jadi jangan banding-bandingkan. Senyum selalu. Banyak doa dan tawakal. Insyaallah semua masalah boleh di atasi.

1 comment:

azaa said...

salam puan,
sy nak minta pendapat sikit, anak sy awal thn ni berpindah ke tadika baru. alhamdulillah x ada masalah.tetapi dalam seminggu dua ni, dia kerap bgtahu cikgu marah dia. dan buatkan dia x nak pergi tadika. ada satu hari dalam kereta dia happy nak p tapi bila tiba dpn tadika, nampak ja cikgu tu terus dia nangis dan x nak turun ketera. boleh tak berikan sedikit nasihat? terima kasih