Tuesday, February 5, 2019

JOM MAIN LAMBUNG BOLA SAMA-SAMA

RANCANGAN PELAKSANAAN AKTIVITI (RPA) DI TASKA
JOM MAIN LAMBUNG BOLA SAMA-SAMA

Bidang: Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohaniaan (SSEK)
Umur kanak-kanak: 3 tahun
Bil kanak-kanak: 4 orang
Tema: Diri Saya
Tajuk: Jom Main Lambung Bola Sama-sama
Pengetahuan sedia ada/kebolehan: Kanak-kanak suka melihat kanak-kanak lain bermain tetapi jarang melibatkan diri bersama.
Objektif:
1. Kanak-kanak boleh bermain bersama kawan-kawan (SSEK)
2. Kanak-kanak boleh bekerjasama (SSEK)
3. Kanak-kanak boleh melambung bola dengan lebih tinggi (F)
Bahan:
1. Bola sederhana besar
2. Kain (anggaran 3 meter panjang dan lebar)
Ruang: Ruang depan

Langkah: (Nota:pedagogi yang digunakan adalah permainan fizikal)

1. Bermesra dengan kanak-kanak dengan berbual tentang keseronokan bermain bersama kawan-kawan.
2. Bawa kanak-kanak ke ruang hadapan dan galakkan kanak-kanak berdiri dalam bulatan.
3. Terangkan peraturan permainan lambung bola dengan kain( bola diletakkan di tengah kain, lambungkan bola bersama-sama dengan mengangkat bucu kain dan bola mesti sentiasa mesti berada di atas kain).
4. Galakkan setiap kanak-kanak memegang kain di setiap bucu dan tidak melepaskannya semasa bermain.
5. Mulakan permainan dengan menggalakkan kanak-kanak bermain bersama melambung bola agar bola tidak terkeluar daripada kain.
6. Sekiranya bola terjatuh, galakkan kanak-kanak berhenti bermain, bekerjasama mengambil bola dan meletakkan semula di atas kain.
7. Apabila kanak-kanak sudah boleh bermain bersama melambung bola dengan kain, galakkan kanak-kanak melambung bola dengan lebih tinggi.
8. Beri pujian pada usaha kanak-kanak dan beri galakan serta bimbingan sepanjang proses bermain.
9. Bersoal jawab dan membuat rumusan dengan kanak-kanak selepas bermain. Contoh: ”Seronok tak dapat bermain bersama kawan-kawan?”
10. Galakkan kanak-kanak bekerjasama  mengemas peralatan
11. Berikan penghargaan dan ucap terima kasih kepada kanak-kanak atas kerjasama yang diberikan.
12. Kembalikan kanak-kanak kepada pengasuh.

Perhatian:

Keselamatan
1. Pastikan lantai tidak licin.
2. Pastikan bola tidak berat

Kebersihan.
1. Pastikan kain dan bola yang digunakan bersih.

Kesihatan
1. Pastikan kanak-kanak tidak melambung bola terlalu cepat supaya tiada kanak-kanak rasa ketinggalan atau tidak mampu mengikut permainan.

Disediakan oleh: Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringYou!

Februari muncul lagi-6 Feb 2019

Demi masa
Yang saban tahun ku titi
Demi usia
Yang kian memamah tubuh
Demi waktu
Yang kian sedikit...

Sedarlah wahai diri,
Usah kau mengumpul untuk ditinggalkan
Usah mengejar yang semakin jauh
Usah berharap pada yang fana
Berdamailah dengan DIA
Berdamailah dengan dirimu
Berdamailah dengan semua...

Ingatlah wahai diri,
Kapan saja kamu bisa ke sana
Belajarlah melepaskan di sini
Berbaktilah demi masa berbaki
Demi meraih redhanya Tuhan
Yang Maha Pengampun
Yang Maha Mengasihani...

Insaflah wahai diri,
Selalulah mengingati yang PASTI
MATI yang bakal menjemputmu
Pertingkatkan amalmu yang baik
Perindahkan qalbumu
Di kala rumahmu berkata pergi
Moga tempat tinggal yang lebih baik
Sedia menantimu...

🌾Mak Long
6 Feb 2019

KANAK-KANAK BERKEMBANG DENGAN BAIK JIKA DIBERI PELUANG MELAKUKAN SENDIRI KERJA-KERJA RUMAH

Kanak-kanak berkembang dengan baik dan natural sahaja jika diberi peluang melakukan banyak perkara dalam rutin seharian di rumah.

Ya, memberi peluang kepada kanak-kanak melakukan sendiri kerja-kerja rumah seperti membasuh pingan, melipat kain, menuang air, mengemas, menyapu dan menolong membasuh kereta dapat mempertingkatkan perkembangan mereka dari segala aspek.

Contoh dari segi perkembangan fizikal. Ciri perkembangan fizikal adalah:

1. Kebolehan
2. Kesediaan dan
3. Urutan pengalaman.

Bagaimana nak tahu kanak-kanak sudah boleh dan bersedia? Mudah saja. Apabila mereka ingin melakukan sendiri dan suka menolong. Inilah masa terbaik atau tempoh sensitif untuk mereka memperolehi sesuatu skil, menyerap ilmu pengetahuan dan mempelajari sesuatu.

Peranan ibu ayah adalah untuk menjadi pemudah cara dengan menyokong kebolehan anak dan menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat seperti meletakkan cawan dan bekas air plastik di meja rendah supaya anak mudah untuk menuang air.

Urutan pengalaman pada satu tahap mempengaruhi tahap seterusnya. Sila rujuk https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156941693979231&id=697059230 video anak Mak Long  'Izzuddin sekitar umur 3 tahun dalam Video 1, 5 tahun dalam Video 2 dan 7 tahun dalam Video 3. Lihat bagaimana skil membasuh pinggan itu bertambah halus (fine) dengan pengalaman dan latihan yang banyak.

Kanak-kanak yang biasa melakukan kerja-kerja rumah akan lebih lembut jari-jari mereka. Ini juga memudahkan proses belajar menulis ..

Memberi peluang dan galakkan untuk melakukan banyak perkara sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motor skil kanak-kanak malah dapat memperkasakan mereka untuk mengurus diri, meningkatkan kemahiran berfikir, menaakul dan  menyelesaikan masalah serta membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan emosi yang stabil.

Utamakan keselamatan! Pengawasan sangat penting dalam tempoh ini kerana naluri ingin tahu dan keinginan kanak-kanak untuk meneroka dan mencuba adalah sangat tinggi. Apa pun pengorbanan masa dan tenaga ibu ayah adalah pelaburan jangka panjang yang insyaAllah sangat menguntungkan.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya"

Raikan fitrah. Santuni akhlaq dan adab.

Allahu 'Alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Madrasah Pertama, Ibu bapa Guru Utama

Monday, February 4, 2019

ANAK LEBIH MUDAH MENULIS JIKA PROSESNYA NATURAL


Nak anak mudah menulis sebenarnya bermula sejak lahir dan prosesnya natural sahaja. Kembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata tangan sejak lahir dengan memberi rangsangan yang sesuai dengan umur dan kebolehan.

Bagi banyak peluang bermain dengan bahan maujud dan galakkan anak menggunakan kemahiran motor halus seperti memegang, meramas, memicit, memerah, mengoyak, menguli, memulas dan memutar. Juga menggunakan motor halus dan koordinasi mata tangan seperti menguntai, menuang, menggunting, membutang, menconteng, melakar dan menulis. Bila jari-jari dah lembut mudah saja anak membentuk tulisan dengan meniru.

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sesuatu yang hebat bermula dengan apa yg FITRAH. Anak memang gembira dan bersedia melakukan semua secara natural dan berperingkat- peringkat. Ibu ayah dan guru perlu berterusan merangsang perkembangan mengikut TAHAP KEBOLEHAN anak.

Cara yang natural menyebabkan kanak-kanak lebih seronok, dapat banyak peluang berlatih dan insyaAllah berkembang dengan baik. Emosi mereka juga tenang dengan cara ini yang tidak terlalu berstruktur.

Jika kita ganggu atau sekat apa yang FITRAH, PROSES menulis jadi sesuatu yang sukar dan membosankan anak. Ini boleh mengganggu emosi dan menyebabkan masalah tingkah laku.

Zaman berubah tetapi fitrah anak tidak. Kembalikan yang fitrah.

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, February 2, 2019

AKTIVITI BAYI DI TASKA

Dikongsikan contoh WEB aktiviti mingguan TASKA untuk bayi berumur 9 bulan.
Moga bermanfaat.
https://drive.google.com/file/d/1hEC0OY41VHzadzFvyyNqr06Z1CJHnDId/view?usp=drivesdk
Allahu A'lam.

WEB AKTIVITI MINGGUAN TASKA-2 TAHUN, BAHAN ASAS-KERETA MAINAN

Dikongsikan web mingguan untuk kanak-kanak 2 tahun. Mak Long mudahkan dengan memilih kereta sebagai bahan asas sepanjang minggu untuk pengukuhan dan memudahkan. Anak  2 tahun pun minat dengan kereta terutama yang lelaki.

Dari web ni boleh dapat 10 RPA. Selamat menulis RPA. Mak Long belum sempat nak tulis semua RPA tu. Sempat tulis satu contoh dari web ni.

Untuk web dan cth RPA...Sila
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156934797419231&id=697059230

*Yang merah tu urutan aktiviti mengikut hari.
Bolehlah cuba lepas cuti CNY ni. Boleh bagi feedback juga di sini.hehe.

Kalau ada silap, bagi tahu ye.
Semoga bermanfaat.

NOTA. Terima kasih kepada Puan Norma Abd Wahab atas segala tunjuk ajar berkaitan menulis RPA yang simple tetapi berkesan. Jasamu dikenang. Semoga Allah memberkati Puan Norma dan keluarga.

Friday, February 1, 2019

KESENANGAN DAN KEMEWAHAN BOLEH MENYEBABKAN KEBIASAAN YANG SUKAR DIBENTUK


Orang kata: Biarlah dulu kita je susah, anak kita biarlah senang.

Mak Long kata: Ibu ayah perlu berhemah dalam memenuhi keperluan dan kehendak anak. Usah biasakan anak dengan kemewahan dan kesenangan kerana ia boleh merosakkan.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ayyuha Al-Walad, anak harus dihindari dari kehidupan mewah dan bersenang lenang kerana dikhuatiri mereka tidak biasa dengan ujian hidup pada masa akan datang. Jika dibiarkan ia boleh jadi kebiasaan atau I'tiyad dan sukar dibentuk.

Pesanan ini harus kita hayati terutama mutakhir ini iaitu zaman yang sangat mencabar di mana  kebendaan sudah menjadi ukuran dan perbandingan kejayaan serta kebanggaan.

Zaman ibu bapa saya dahulu mungkin lebih mudah kerana mereka hidup dalam serba kekurangan. Jadi anak-anak dibiasakan dengan sikap tolong menolong, berkongsi dan bersyukur dengan rezki yang ada. Contoh waktu makan anak-anak makan bersama apa sahaja yang dihidangkan tanpa meminta-minta selain apa yang ada. Mereka bukan sahaja menolong dalam proses memasak dan mengemas malah menolong menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan.

Kadangkala oleh kerana kesusahan dahulu menyebabkan ada ibu bapa sekarang yang lebih berada cuba memenuhi kehendak  dan menyediakan segalanya untuk anak-anak.

Apa pun anak-anak belum tahu menilai sepenuhnya dan tidak tahu apa yg baik untuk mereka. Seharusnya ibu ayah menilai kehendak anak dan memberi keperluan yang berpatutan.

Sebaiknya biasakan anak-anak untuk terlibat dalam kerja-kerja rumah yang mampu mereka lakukan mengikut tahap umur. Jelaskan pada anak-anak proses kehidupan melalui cerita dan nasihat. Latihlah mereka dengan gaya hidup sederhana dengan bersyukur terhadap nikmat Allah walaupun sedikit. Ajar anak untuk menghargai, berjimat cermat dan menabung dari usia awal.

Dikongsikan artikel Pengurusan Kewangan Si Kecil dari blog saya.

http://rentis.blogspot.my/2014/11/pengurusan-kewangan-si-kecil.html?m=1

Anak-anak adalah rahmat dan ujian. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menjadi ibu bapa yang mendidik anak-anak menurut ajaran Islam.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Allahu A'lam
#SentuhanBapaBelaianIbu