Tuesday, July 24, 2012

MANA BANTAL SAYA?

Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Selamat menjalani ibadah berpuasa. Selamat juga melayan karenah anak-anak yang comel yang senantiasa mewarnai hidup kita. Masih ingat lagi tip yang saya kongsikan berkaitan bantal seperti link tertera.
http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-15bantal.html

Dikongsikan satu artikel menarik berkaitan bantal dan juga pendapat sahabat seperjuangan saya Dr Mastura Badzis (UIA) untuk manfaat semua.

Mana bantal saya?





BU, mana Kiki?” soal Aliyah Afifah Zamrud kepada ibunya. “Tak payah bawa Kikilah. Kita nak pergi stesen minyak saja,” balas ibunya. “Ala, nak Kiki juga....” rengek anak sulung daripada tiga beradik itu kepada ibunya lagi.

Kiki yang dimaksudkan kanak-kanak comel berusia enam tahun ini adalah anak patung Garfield yang sudah berwarna pudar. Anak patung ini menjadi teman karib si comel ini sejak dia berusia satu tahun lagi.

Menurut ibunya, Suhaiza Sharudin, bukan sahaja anak sulungnya, malah anak keduanya, Aliyah Athirah juga mempunyai tabiat yang sama. Bezanya, si kakak mengendong Kiki manakala adik pula dengan bantal kecil yang sudah pun bertukar warna (bantal busuk).

Namun ibu berusia 34 tahun ini mungkin bernasib baik sedikit kerana Aliyah Athirah ‘merelakan’ bantal busuk itu ditukar sarung tetapi tidak isi dalamnya. Jika tidak katanya, malu juga memandangkan bantal ini mempunyai ‘corak’ tersendiri dan tidak lagi berwarna putih bersih.

Kedua-dua teman karib kanak-kanak dikendong ke mana sahaja mereka pergi.

“Balik kampung atau melancong sudah pasti dibawa. Keluar dari rumah untuk ke kedai sekejap pun hendak bawa malah ke taska juga, cuma mereka tinggalkan dalam kereta kerana malu dengan kawan-kawan,” katanya lagi.

Situasi seperti ini pastinya bukan sahaja dialami oleh Suhaiza malah ramai ibu di luar sana melalui pengalaman yang sama. Anak sukar untuk berpisah dengan teman akrab mereka - “si bantal busuk.”

Punca

Mengulas isu minggu ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mastura Badzis berkata tabiat tidak mahu renggang dengan bantal ini dipanggil clinging behaviour atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.

Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut tertentu, sapu tangan dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka.
Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak diperingkat awal,” katanya.

Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka.

“Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis.

Kata beliau lagi, sesetengah kanak-kanak ini juga berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka.

“Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasi tadi,” kata beliau.

Selamat
Menurut Dr. Mastura, satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure).

“Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara,” katanya.
Jelasnya, mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka.

“Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan,” jelasnya.

Risau

Dr. Mastura berkata, sebenarnya ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara.

“Dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan,” katanya.

Ibu bapa atau pengasuh katanya perlu cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.

Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini katanya adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.

“Aktiviti seharian di taska yang banyak juga mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka,” katanya.

Bantal busuk hingga dewasa

Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil.

“Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal,” kata Dr. Mastura.

Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama.

Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.


Monday, July 23, 2012

TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI


“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.

“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti insya-Allah tersedia hidangan enak tapi bayangkan orang miskin yang lapar tu belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.

Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya juga akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain dengan cara memujuk contohnya. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.

Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Antara lain lapar dan dahaga mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain. Ia juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa anak insya-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul.

Wallahua’lam.
Rosnah Ahmad
Madrasah Ramadhan
Sebuah rumah kecil di Perkampungan Cenderawasih

Wednesday, May 9, 2012

RUMAH KECIL INI...

Dayung sudah di tangan
Perahu sudah di air
Belayar sambil memapan

Merapat sambil belayar
Hujan emas di negeri orang
Hujan batu di negeri sendiri

Bak belut pulang ke lumpur
Bagai ikan pulang ke lubuk
Bagai sirih pulang ke gagang
Di rumah kecil ini

Kasih bersulam
Cinta bersemi...


Rosnah Ahmad
Teratak Damai
Perkampungan Cenderawasih, Kuantan, Pahang.

SYURGA HATIKU...

Lili putih 
Menguntum di rumpun
Mekar Mawar
Mewangi segar

Bersiul Kumilang
Bertenggek di dahan
Terbang Merpati 
Bebas berkawan

Hinggap pepatung 
Di dedaun inai
Singgah rama-rama 
Di debunga matahari

Menyeri laman
Mengindahkan taman
Menghias syurga
Hatiku….

Rosnah Ahmad
Kg. Durian Sebatang, Raub, Pahang

Monday, May 7, 2012

PERMATA HATI


Saban pagi
Ku sambut tangan mu
Ku redakan tangis mu
Ku pimpin tangan mu

Bersama mu
Sepanjang hari
Ku penuhi kehendak mu
Ku asuh fitrah mu
Ku galakkan kau
Bermain dan meneroka
Memberi makna
Pada kehidupan
Biar berbunga cinta
Di hati

Saban petang
Kau cium tangan ku
Tubuh kecil mu ku rangkul
Ku bisikan sayang
Ku cium pipi mu
Lambaian mu ku iringi
Dengan kuntuman senyum
Moga esok bersama lagi

Namun saban tahun
Pada sambutan hari guru
Pada sambutan hari ibu
Ku bagai dilupai
Kau pula masih kecil
Untuk mengerti

Tak mengapa sayang
Bukan itu pinta ku
Hadir mu cukup membahagiakan
Bagi mewarnai hidup ku
Tiap masa
Kasih ku makin mendalam
Mendetik doa dalam sanubari

Tersenyum jua daku
Penuh syukur
Melihat diri mu
Meniti kejayaan
Demi kejayaan

Wahai anak jagaan
Permata hati ku…
Gilap  bercahaya
Menyuluh
Syukur…
Aku pernah bersama mu…

Dari diari seorang yang bernama Pengasuh
Rosnah Ahmad

Kampung Durian Sebatang, Raub, Pahang.

TIKA KU MEMERLUKAN...


Tika ku kesejukan
Cerita mu menghangatkan
Tika ku kepanasan
Bayu hembusan mu mendinginkan
Tika ku kesunyian
Merdu suara mu menghiburkan
Tika ku kesedihan
Sentuhan mu membelai rasa
Tika ku menangis
Pelukan mu mendiamkan sendu
Tika ku keriangan
Senyum mu menambah bahagia

Tika ku ketakutan
Kau selimutkan ketenangan
Tika ku kelaparan
Kau suapkan kelazatan
Tika ku kehausan
Kau hirupkan kenikmatan
Tika ku kesakitan
Kau sapukan penawar
Tika ku keresahan
Kau bicarakan nasihat

Tika ku jatuh
Kau bangkitkan keyakinan
Tika ku keletihan
Kau picitkan kelegaan
Tika ku mengantuk
Kau dodoikan zikir
Tika ku lena
Kau renungkan kasih
Tika ku terjaga
Kau panjatkan syukur

Waktu mendewasakan
Kau cekal kan hati
Kau layari aku
Ke sungai kehidupan
Dalam sampan restu
Berdayungkan semangat
Berpayungkan doa
Berbekalkan harapan

Detik berlalu
Sampan berlabuh
Ku tambat tali di aur 
Kaki melangkah
Meniti tebing
Merintis denai
Menyusuri jalan
Meredah liku

Tika ku memerlukan
Kau subur di jiwa
Menemani
Sepanjang perjalanan
Mewarnai pemandangan
Menyemarak semangat
Merawat duka
Dalam perjuangan mencari
Redha Kekasih
Demi
Mengecapi kemanisan
Iman….

Ibu…ibu…ibu…


Rosnah Ahmad
Kg. Durian Sebatang, Raub, Pahang.

Damai

Hati saya selalu damai apabila pulang ke kampung, menziarahi  keluarga dan alam.
Alam membuatkan hati tersentuh dan Dia memberi ilham.

DAMAI

Keheningan malam
Mengusik jiwa
Menguris rasa
Sepi...

Sepoi meniup
Menghembus rindu
Menyapa kenangan
Sayu...

Kepekatan malam
Mengamit diri
BersamaMu
Kekasih...

Gemersik suaraMu
Menghibur lara
Memutik bunga
Cinta...

Kamar hati ku
Kian berseri
Kini ku kembali
Damai....

Rosnah Ahmad
Kampung Durian Sebatang, Raub. Pahang