"Tadika ini ada berapa subjek dan buku kerja apa yang digunakan?"
Itulah antara soalan lazim dari ibu bapa apabila mencari tadika untuk anak.
Kurikulum di prasekolah atau tadika bukanlah dijalankan mengikut subjek yang terpisah-pisah dengan buku-buku kerja bercetak yang menentukan objektif atau hasil.
Pendekatan integratif adalah lebih sesuai dengan fitrah kanak-kanak prasekolah.
📌Apa itu pendekatan integratif?
Prof Madya Dr Mastura Badzis dalam kertas kerjanya bertajuk "Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif" menghuraikan integratif bermaksud ilmu pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di peringkat awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya terpecah-pecah mengikut subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak menjadi keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami sesuatu ilmu atau pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Jika sesuatu pengalaman pembelajaran yang didedahkan kepada kanak-kanak adalah berasaskan ‘subjek’ maka sudah pastinya perasaan dan naluri ingin tahu mereka terbatas dengan pemfokusan kapada subjek dan mereka akan menjadi ‘rigid’ sebaliknya jika pendedahan pengalaman pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan aspek perkembangan dan bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, nescaya kanak-kanak akan lebih kreatif, memiliki daya kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk semangat jati diri dan keyakinan yang tinggi.
📌Jadi bagaimanakah pendekatan integratif dijalankan?
Ianya bermula dengan guru membuat rancangan pelajaran yang bertujuan mewujudkan persekitaran pengajaran yang merangsang kanak-kanak menggunakan kemahiran asas, memahami hubungan antara komponen atau tunjang perkembangan yang berbeza-besa, menghargai unsur kepelbagaian, dan berusaha secara produktif ke arah pencapaian satu matlamat yang sama.
Contoh: Rancangan pelajaran harian kanak-kanak 5 tahun yang merangkumi kompenon fizikal(motor halus), bahasa, kreativiti & estetika dan sosioemosi.
1. Galakkan kanak-kanak menghasilkan model ahli keluarga bertemakan "Keluarga Saya" menggunakan doh pelbagai warna.
2. Galakkan kanak-kanak melukis dengan meniru model ahli keluarga yang dihasilkan pada sehelai kertas kosong dan mewarnanya. Kanak-kanak menamakan ahli keluarga dan menulis "ibu, ayah, abang, kakak atau adik" dengan bimbingan guru.
3. Galakkan kanak-kanak bercerita mengenai "keluarga saya" berpandukan lukisan mereka dengan yakin kepada kawan-kawan.
Dalam contoh ini guru menggunakan pendekatan integratif yang mengabungjalinkan beberapa pendekatan, kaedah, strategi dan teknik supaya kanak-kanak mudah memahami, memaknai dan menguasai sesuatu perkara.
📌Peranan Guru Sebagai Pemudahcara
Pendekatan integratif memberi tumpuan kepada strategi yang BERPUSATKAN kanak-kanak dan PEMBELAJARAN AKTIF dengan guru berperanan sebagai PEMUDAHCARA atau fasilitator.
Guru membimbing kanak-kanak dalam PROSES pembelajaran berbanding kaedah mengajar berpandukan "work sheet" yang dibuat oleh guru atau menggunakan lembaran buku kerja bercetak yang memfokuskan kepada HASIL yang tidak mengambilkira kepelbagaian dan kreativiti kanak-kanak.
Guru sepatutnya mengembangkan potensi kanak-kanak berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan mereka lebih berminat untuk mendalami sesuatu perkara.
“Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akalnya” Begitulah pesanan rasul s.a.w. kepada umatnya.
Rujukan:
http://www.mindamadani.my/topik/umum/item/185-pendidikan-anak-anak-di-peringkat-awal-umur-berasaskan-binaan-kurikulum-yang-integratif.html
Wallahu 'Alam.
🌾Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang
rentis.blogspot.com
t.me/RentisMakLong