Apabila fitrah tidak dirai
Semua jadi tidak natural
Dan jadi lebih rumit
Anak boleh jadi keliru dan stres
Kembali kepada fitrah
Mudahkan yang mudah
Penerokaan kehidupan yang perlu dirintis dan dikongsi bagi memudahkan perjalanan semua dalam dunia yang sementara ini. Moga usaha kerdil ini memberi manfaat serta dirahmati dan diberkatiNYA.
Wednesday, November 30, 2016
Kembali kepada fitrah
Tuesday, November 29, 2016
Thomaninah Seorang Trainer
Thomaninah Seorang Trainer ( Guru dan Pemimpin juga)
Tazkirah utk saya dan sahabat semua.
Sebagai trainer kita perlu ada thomaninah- berhenti sebentar untuk refleksi dan belajar.
Kita juga perlu membaca dan menulis-menajamkan gergaji ie sharpening the saw. Usah "just on the go" sehingga kita tiada masa untuk thomaninah.
Sebagai trainer kita perlu ingat bahawa kita hendaklah mendidik diri dan keluarga kita dahulu dan lakukan apa yang kita cakap sebelum mengajar orang lain.
Surah As-Saff, Verse 2:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
Surah As-Saff, Verse 3:
كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Surah As-Saff, Verse 4:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Wallahu A'lam
Rosnah Ahmad
Pantun Kehidupan
Asal beras darilah padi
Asal kayu menjadi arang
Payah kita menabur budi
Emas juga dipandang orang
Pohon meranti tinggi menjulang
Tempat tempua membuat sarang
Budi sedikit tidakkan hilang
Akan menjadi sebutan orang
Biarlah orang bertanam buluh
Mari kita bertanam padi
Biarlah orang mencari musuh
Marilah kita menanam budi
Jangan suka mencabut padi
Bila dicabut hilang buahnya
Jangan suka menyebut budi
Bila disebut hilang berkahnya
Kalau keladi sudah ditanam
Jangan menanam sebelah pulasan
Kalau budi sudah ditanam
Jangan ditanya apa balasan
#sesekali berpantun...hihihi
Zamri Prk
Kuantan, Pahang
29.11.2016
Hidup subur rimbun menjadi
Makin bertandan si pisang tanduk
Hidup umpama resmi padi
Makin berisi makin tunduk
Rosnah Ahmad
Monday, November 28, 2016
Fitrah
Fitrah
Nukilan: Rosnah Ahmad
Anak kecil itu
Suka sekali menolong
Namun...
Selalu saja dilarang
Anak kecil itu
Suka sekali mencuba
Namun...
Selalu saja dikritik
Anak kecil itu
Suka sekali meneroka
Namun...
Selalu saja dikongkong
Anak kecil itu
Suka sekali berusaha
Namun...
Selalu saja dibanding
Anak kecil itu
Selalu saja berbeza
Namun...
Fitrahnya tidak dirai
Anak kecil itu
Selalu saja kecewa
Namun...
Adakah yang memahami
Anak kecil itu
Sebaik-baik kejadian
Anugerah Illahi
Amanah buat...
Ibu dan ayah.
GALAK ANAK URUS DIRI DENGAN HIKMAH
TIP SENTUHAN BAPA BELAIAN IBU
GALAK ANAK URUS DIRI DENGAN HIKMAH
Oleh: Rosnah Ahmad
Mengapa ibu bapa sering melakukan apa yang anak boleh buat sendiri?
Kemahiran urus diri anak perlu diterapkan di rumah oleh ibu bapa. Rutin dan persekitaran rumah yang kondusif membantu anak mengurus diri dengan baik.
Anak yang boleh mengurus diri adalah anak yang yakin, berdikari, mempunyai sahsiah diri yang baik dan berpotensi menjadi anak yang cemerlang InsyaaAllah.
Contoh: Anak 4 tahun sudah boleh mengurus diri sebelum tidur dan bangun pagi.
Bagaimana melakukannya?
1. Sediakan bilik tidur, perabut dan peralatan anak atau sudut khas jika berkongsi bilik dengan adik beradik lain.Galak anak lukis ( tulis bagi yang sudah boleh menulis) senarai barang keperluan untuk di bawa ke tadika dan pusat jagaan dan tampal senarai untuk peringatan.
Tip:Gunakan laci untuk anak lelaki supaya tak kecoh di waktu pagi.http://rentis.blogspot.my/2016/11/gunakan-laci-untuk-galak-anak-lelaki.html?m=1
2. Ibu bapa perlu ingatkan anak buat permulaan dengan skrip yang sama. Contoh: Sekarang masa untuk kemas barang kakak. Ibu sebagai contoh juga mengemas barang sendiri dan barang anak kecil yang belum mampu buat sendiri. Usah berleter atau memarahi anak.
3. Galak anak kemas tempat tidur sendiri. Bimbing bagaimana melakukan dengan membuat bersama anak. Ibu perlu tegas jika anak tidak mahu melakukan tugasan supaya anak tahu walau apapun dia mesti melakukan rutin harian.
4. Bercerita bersama anak sebelum tidur. Pastikan anak tidur awal dan pada masa yang sama setiap malam. Bercerita sebelum tidur membantu menenangkan emosi anak Anak yang tenang sebelum tidur akan bangun dengan tenang. Baca doa tidur dan bangun tidur bersama anak. Anak mudah ingat dengan cara ini.
5. Ayah kejutkan anak bangun dengan menyeru anak untuk solat. Ayah diberi kelebihan untuk mendisiplinkan anak seperti Surah Luqman ayat 7:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
6. Ayah asuh anak mandi dan urus diri sendiri. Ibu sediakan sarapan. Makan sarapan bersama.
7. Ayah hidupkan enjin kenderaan tanda masa untuk keluar. Anak pakai kasut dan bawa beg sendiri. Baca doa naik kenderaan. Hantar anak dengan doa, pelukan dan senyuman
8. Ibu bapa perlu sentiasa positif dan mendoakan kesejahteraan anak apabila menyerahkan anak pada tadika dan pusat jagaan.
9. Jika berlaku masalah, ibu bapa perlu sabar dan bantu anak sebagai pemudahcara. Sebelum tidur atau waktu senggang ibu berperanan mendengar masalah dan galakkan anak memikirkan alternatif untuk menyelesaikan masalah dan memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.
Surah Al-Baqara, Ayat 45:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
Surah Al-Baqara, Ayat 46:
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
10. Ibu bapa perlu bersatu hati menjadi pemimpin dan berperanan memperkasakan anak-anak menjadi pemimpin yang hebat.
" Parents must be a team. Life is to complete not to compete. "
" A good leader produces more leaders not followers"
Sekian. Wallahu A'lam.
Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu
Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Perkasakan Institusi Keluarga
Rumah Sekolah Pertama
Ibu Bapa Guru Utama
Thursday, November 24, 2016
MAKNA KALLAA (كلا) DALAM BAHASA ARAB
Memahami bhs al quran...dr fb ustaz firdaus sulaiman👇�
MAKNA KALLAA (كلا) DALAM BAHASA ARAB
Bahagian 2
Kallaa mempunyai dua fungsi, iaitu :
1. Huruf jawab. --> ia sudah dibincangkan pada bahagian 1
2. Huruf al Rad'i wa al Jazri. Iaitu huruf yang menegaskan kenyataan yang berbentuk tegahan dan larangan daripada melakukan sesuatu perkara.
Seperti :
+ سأخرج ليلا مهما كان الأمر
+ كلا، لا تخرج
+"Saya akan keluar malam walau apapun yang terjadi."
+Jangan, jangan sekali kali awak keluar.
Oleh itu, dengan mendatangkan Kallaa, larangan kita menjadi tegas dan kuat.
Seperti dalam firman Allah SWT berikut:
وَاتَّخَذُوْا مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ اٰلِهَةً لِّيَكُوْنُوْا لَهُمْ عِزًّا
"Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka."
(QS. Maryam: Ayat 81)
Menyembah tuhan selain Allah adalah perkara syirik yang sangat dibenci Allah. Lalu Allah melarang dengan tegas daripada melakukan itu dengan berfirman :
Allah SWT berfirman:
كَلَّا ؕ سَيَكْفُرُوْنَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُوْنُوْنَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا
"Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka."
(QS. Maryam: Ayat 82)
Maksud tidak sekali-kali pada ayat kedua adalah tidak dan jangan melakukan syirik yang disebut pada ayat sebelumnya.
Wallahu A'lam
3 Kemudahan Pada al Quran
3 Kemudahan Pada al Quran
Allah telah menjamin al Quran itu sebagai sesuatu yang mudah. Allah SWT sendiri yang menyatakan jaminan itu melalui firmanNya yang ditegaskan beberapa kali dalam surah al Qamar.
Allah berfirman :
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْاٰنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُّدَّكِرٍ
Terjemahan :
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?"
(QS. Al-Qamar: Ayat 17)
Sebenarnya makna Zikr pada ayat di atas bukan hanya bermakna peringatan dan pengajaran.
Ulama tafsir mempunyai beberapa pendapat tentang makna zikr pada ayat di atas. Antaranya :
+ Zikr bermakna sebut dan lafazkan.
+ Zikr bermakna ingat dan hafal.
+ Zikr bermakna peringatan dan pengajaran.
Ketiga makna di atas boleh masuk untuk perkataan zikr.
Oleh itu, Allah telah memudahkan al Quran untuk dilafazkan atau dibaca, diingat atau dihafal, dijadikan peringatan dan pengajaran.
Hanya saja, adakah yang mahu?
Kemahuan amat penting untuk dimudahkan Allah mendapatkan perkara - perkara di atas. Di mana ada kemahuan, di sana ada jalan.
Wallahu A'lam